Dec 7, 2017

Entri 88 : Ujian


Nak hadiah notebook? Sila ke Entri 0: 2017 YANG BERMAKNA BAGIKU
-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Beberapa hari yang lalu , hari yang dia sendiri sudah lupa.

Nurindah : Ibu, Nur ada ujian.Ibu doakan ya?
Ibu : Ibu mana pernah berhenti doa.

Jawapan yang sama, yang berlalu ditiup angin dan tidak disimpan di dalam hati.

Cuti umum, Maulidur Rasul.


Buka buku sedikit, main yang banyak.Rasa bersalah, lalu di petang hari pergi ke kuliah Maulidur Rasul.

Hari Sabtu.Cuti.


Buka buku sedikit.Main banyak.Youtube tak pernah berhenti memberi hiburan samada dalam bentuk ilmu atau tidak.Jika menonton video ilmu sehari suntuk siang malam dan mengabaikan kehidupan sebenar adalah sama dengan buang masa.Otak terisi secara teori tapi tidak praktikal.

Rasa bersalah, lalu bingkas bersihkan dapur dan bilik air sampai berkilat.

Hari Ahad.Cuti.


Tetapi UJIAN ITU ESOK!! Panik, menggelabah melayari sistem peperiksaan dengan niat menangguhkan tarikh ujian seperti yang selalu dibuat.

Untuk menangguhkan ujian ini, anda perlu membayar USD75.00

Terkesima,disebabkan masa yang suntuk sistem mengenakan denda.
USD75.00 adalah hampir sama nilainya dengan membayar yuran untuk ujian ulangan.

Tak apalah, hadapi ujian tu.Jika gagal, ulang. Pasrah.

Lalu dia belajar-untuk-masa-masa-terakhir. Benarlah lapang sebelum sibuk.

Dia menyesal seperti kesalan-kesalan yang dahulu dan tertidur bersama soalan-soalan ramalan.

Hari Isnin.Ujian.

Pasrah.Dia menjawab soalan sehingga detik terakhir.Sehingga skrin terpadam dan menghantar jawapan secara auto.

"Jika aku gagal aku redha."

Mengakui salah sendiri.

Congratulations, Trailblazer! You've successfully completed the certification exam to become a Salesforce Certified Platform App Builder (WI18). Welcome to the worldwide community of Salesforce Certified Professionals!. 
Test Taker Name: Nurindah[bukan nama sebenar]
Exam: Salesforce Certified Platform App Builder (WI18)
Result: Pass
Date Completed: 03 December 2017 

Sekejap.Dia menenyeh mata beberapa kali dan mencari perkataan 'Fail'. Dia berjaya? Dan dia tidak faham kenapa?

Lalu dia meraikan diri sendiri.Bukan kerana usaha keras tetapi kerana selamat dari ujian mungkin.

Lalu dia bertanya sendiri, kenapa aku lulus? 

Kun Fayakun.

Hari Selasa.Hari yang seperti hari hari biasa.

Nurindah: Assalamualaikum Ibu, Nur lulus ujian.
Ibu: Ya kah? Alhamdulillah,syukur.Ibu risau, ibu ada buat solat hajat.
Nurindah:Solat hajat?
Ibu:Ya, ibu bangun pukul dua pagi buat Solat Hajat untuk Nur.
. . .

Diam.

Diri sendiri pun tidak bangun di tengah malam mendoakan diri sendiri.

Nota: 
  • Perkara yang  berharga bagi anak anak di dunia ini adalah doa ibu bapa.
  • Perkara yang paling berharga bagi ibu bapa di akhirat adalah doa anak-anak.
  • Nak hadiah notebook? Sila ke Entri 0: 2017 YANG BERMAKNA BAGIKU



Dec 1, 2017

Entri 0: 2017 YANG BERMAKNA BAGIKU [KEMAS KINI]

DIUMUMKAN TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH 18 DISEMBER 2017
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selamat menyambut Hari Maulidur Rasul, semoga kita diberikan kemudahan untuk mengikuti dan berusaha mencontohi Nabi Muhammad S.A.W. Amin.

Ini kali pertama saya berhubung dengan anda secara terus.Semoga anda suka dan mendapat faedah daripada entri entri di blog ini.

Dengan rasa rendah hati dan syukur, saya ingin menghadiahkan dua planner dan satu buku nota kepada kalian yang terpilih.Ianya sebagai tanda terima kasih atas kesudian anda membaca blog saya.

Dua acara diadakan serentak, yang membezakan adalah satu acara adalah undian dan satu lagi dipilih secara ekslusif oleh saya sendiri.Berikut adalah syarat-syarat :
  1. Terbuka kepada mereka yang beralamat di Malaysia.
  2. Pilih entri selain dari entri ini untuk anda tinggalkan komen.
  3. Ciri-ciri komen:
    • Komen tersebut tidak ditulis di entri ini.Entri ini terhad untuk contoh dan soal jawab mengenai acara ini sahaja.
    • Mulakan komen dengan '2017 YANG BERMAKNA UNTUKKU' . 
    • Di bahagian bawah '2017 YANG BERMAKNA UNTUKKU', tuliskan kenapa anda suka entri tersebut, apa penambahbaikan yang ingin anda lihat atau kata-kata yang positif untuk penulis.Anda bebas untuk menulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.Penulisan yang teratur sangat digalakkan.
    • Sila tinggalkan email untuk saya hubungi.
    • Jika anda masih keliru,sila lihat contoh yang saya tinggalkan di bahagian komen.
  4. Anda bebas untuk menulis komen di seberapa banyak entri yang anda suka.Namun nama hanya akan dimasukkan sekali sahaja untuk acara undian. Untuk acara istimewa sila rujuk syarat di bawah.
  5. Acara Istimewa di mana penyertaan anda tidak berdasarkan undian, tetapi berdasarkan seberapa banyak entri yang anda komen dan seunik mana komen anda.Ianya dipilih oleh saya sendiri.Jadi ada kemungkinan walaupun anda tidak terpilih untuk acara undian,anda masih boleh menang untuk Acara Istimewa.
  6. Tarikh mula adalah hari ini 1hb Disember 2017 dan tarikh tamat adalah pada18hb Disember 2017.Komen yang ditulis pada 19hb Disember 2017 tidak dikira sebagai penyertaan.Saya anggap komen yang ditulis pada 19hb Disember sebagai hadiah anda untuk saya.
  7. Tarikh pengumuman adalah pada minggu berikutnya.InshaaAllah, hadiah anda akan sampai sebelum tahun 2018.
Mudah bukan?Mana tahu salah satu dari buku di video ini akan menemani anda di tahun 2018 nanti.
A post shared by unid's Adventure (@cheunid) on
Saya harap dengan acara ini, saya juga dapat menambahbaik penulisan saya di sini.

Jadi apa tunggu lagi, sila kongsi entri ini.

Oh oh... unid pun ada acara Awesome 2017 .Jika anda berminat sila ke Awesome 2017 untuk syarat-syarat penyertaan.

Salam Sayang,
Nur

Nov 30, 2017

Entri 87: Doakan yang baik baik

Setiap pagi aku berjuang untuk bangun awal dan solat Subuh.
Ada hari hari yang aku terlepas.Aku manusia.

Setiap hari aku berjuang untuk kekal positif dan ceria, 
namun ada hari yang aku kesal.Aku menangis.Aku hanyalah manusia.

Setiap hari aku berkata kepada diri ku;
gunakan hari ini untuk perkara-perkara berguna. 
Di tengah malam, kudapati diriku berjaga, mengabaikan tidur untuk perkara perkara yang sampah.

Setiap hari aku buat silap, aku pesan kepada diriku lupakan yang lepas.
Teruskan hidup.
 Namun ada pagi yang aku lihat diriku masih di atas katil bersedih, meratapi kelmarin.

Setiap hari ada yang nampak kekuranganku, mereka mengejiku.Ya, aku layak dikeji kerana aku silap.Maafkan aku.

Aku cuba yang terbaik, ada hari yang aku tersungkur.Aku dikeji lagi.Aku terfikir,adakah manusia yang bahagia bila dihina?

Aku tahu manusia yang dicela itu selalunya lebih baik dari mencela.Aku pesan pada diriku supaya kuat.Namun ada hari, aku terkilan.
Aku cuma manusia.

Manusia yang memberi nasihat dan doa yang baik baik lebih baik dari yang mencela.
Doa yang baik diaminkan para malaikat.Aku tahu, jadi biarkan aku berdoa setiap pagi, setiap hari.

Manusia tidak hidup dek pujian, tidak mati dikeji.Aku berdoa setiap hari untuk kamu yang mencela dan memuji dan untuk aku terutamanya.Moga Allah memberi yang terbaik untuk kita.

Aku tidak ditakdirkan hidup dalam dirimu.Aku tidak memijak jalan yang kehidupan sama seperti kamu.Seperti kamu tidak hidup dalam diriku walaupun kadang aku mohon supaya kamu faham hidup dan perjuanganku.

Perjuangan mu dan aku lain lain.Aku mohon doakan perjuangan ku mudah.Aku akan doakan kita juga.Moga suatu hari di Syurga kita sama-sama berbual tentang perjuangan yang telah kita lalui.

Hari ini aku bangkit lagi, dengan senarai kerja dan azam positif.
Moga Allah beri kekuatan untukku untuk berusaha.
Semoga Allah memberkatiku dan kamu selalu.

Cherating, Nov 2017


Kutulis ini  untuk Nur Fazura Sharifuddin dan mereka yang berjuang setiap hari sepertiku.Kita cuma manusia.



Nov 17, 2017

Entri 86:Pilihan

Tiada manusia yang paling malang di dunia ini malah tiada pula yang paling beruntung.

Untung , malang adalah perspektif kaca mata manusia.

Jika ditanya sama malaikat, menjadi manusia itu beruntung.Malah lagi dicemburui iblis.

Asalnya dari air mani yang hina, tidak dipandang sesiapa pun.

Tiba-tiba jadi manusia yang cemerlang.

"Sayangnya dia tidak sedar betapa cemerlangnya dia.Betapa cemerlangnya sehingga Quran diserahkan kepadanya sedang gunung gunung tidak sanggup memikulnya."Pohon pohon seolah berbisik sesama sendiri.

Namun dia masih terasa kerdil.Dibandingkan diri dengan manusia yang lain.Yang paling kaya, paling cantik dan paling pandai.

Malah dia kepingin menjadi burung atau pokok atau apa sahaja atau lebih baik dia langsung tidak diciptakan.Kenapa Tuhan ciptakan aku?Sepatutnya aku tak wujud dari mula lagi.Dia berkabung, mencela nasibnya.

"Alangkah ruginya.Di sebalik kemalangan itu dia diberi pilihan untuk senyum atau meratap nasib."Sang burung berterbangan pula ke sarang.

"Bangunlah manusia , senyum dan orakkan langkah mu.Sebelum aku membahammu ke dalam perutku nanti.Saat itu kesal mu tiada guna lagi."Jerit tanah berselaput rumput rumput yang bersusah payah bertahan walau sentiasa dipijak-pijak.

"Lihatlah aku manusia.Lihatlah matahari, bulan dan bintang di dadaku sebelum aku digulungkan nanti.Saat itu semuanya sia-sia."Sahut langit yang kadang biru dan kadang hitam lebam.

Dia tersenyum perlahan.Menguis tanah yang melekat di kakinya.

"Ahh.. sudah jatuh masih lagi senyum.Tidakkah kau sedar kau sedang parah?Tiada apa lagi yang mampu kau lakukan!"Jerit suara manusia lain.

"Bangunlah wahai makhluk yang berakal.Tuhanmu tidak pernah meninggalkan mu."Jerit suatu suara.

Dia cuba bangkit dan terjatuh.Cuba merangkak.Dalam kepayahan dia tersenyum.Alangkah nikmatnya dahulu berjalan dengan dua kaki.

"Begitu malang nasibmu tapi masih lagi tersenyum."

Dia senyum.Nasibku serahkan pada Tuhan tapi biarkan aku tersenyum.Sekurang-kurangnya ia dapat mengubati hati hati yang lain.


Apr 13, 2017

Entri 85 : Impian

Apa impian mu?

Impianku pulang ke kampung, menjaga orang tuaku tanpa risau tentang duit atau hutang.

Kamu tidak ingin bernikah?

Ya.Aku ingin menikah tapi yang penting impianku mahu menjaga kedua ibu bapaku.Itu yang pasti.Semua orang yang lahir belum tentu akan bernikah di dunia ini.Tapi semuanya pasti mempunyai ibu bapa.Ramai yang mendirikan rumah tangga tapi terlupa kebajikan ibu bapa di kampung.Pulang hanya sewaktu ibu sakit atau hari raya.Kalau sudah berkahwin, tergantung pula rumah mertua di mana.Jika tidak pulang, berapa kerap yang selalu menelefon orang tua bertanya khabar?Selalu call bilamana ada kecemasan sahaja.

Padahal masing masing tahu betapa susahnya ibu bapa memelihara kita dahulu seperti mana kita berasa susah memelihara anak kita sekarang.Sayang, saat kita sibuk membina keluarga, kita meninggalkan keluarga kita.Aku tak mahu itu.Sekarang aku bujang,tinggal berjauhan.Jika berdekatan juga aku akan sibuk bekerja.Bayangkan sekarang sebelum kahwin aku tidak ada masa untuk mereka.Tapi aku perlu bekerja juga supaya kami hidup senang.Suatu hari aku harap aku dapat menggunakan masa untuk mereka tanpa memikirkan soal duit.

Tapi kahwin itu sunnah?

Mar 23, 2017

Entri 84 : Menang

"Ayah, cepat sikit.Razif dah lambat." Razif panik apabila kereta ayah bergerak macam siput.Perlawanan pukul 4.00 petang dan sekarang sudah pukul 3.45 petang.

Dia tidak boleh lambat.Dia pemain utama, tunggak kepada pasukan.Saat kereta ayah menghampiri pintu mini stadium dia sudah bersedia membuka pintu kereta."Terima kasih yah."ucapnya sambil melompat dari kereta.

Saat dia sampai pasukannya sudah berkumpul dan sedang melakukan senaman.Segera dia membuka beg, mahu mencapai jersi...alamak.

Jersi tertinggal dalam kereta.Panik.Ahh, tak apa dia kan pemain tunggak, mesti cikgu lembut hati membenarkan bermain walaupun dia terpaksa meminjam jersi dari pemain simpanan.Ada cara, yang penting pasukan tidak boleh bermain tanpanya.Pasukan Sekolah Menengah Asam Jawa bukanlah calang-calang pasukan.Lagi pula dia sudah berlatih bersungguh-sungguh selama ini.

"HAH kamu Razif!! Apa yang kamu terhegeh-hegeh tu? Sudah lah lambat!Cepat  masuk padang sekarang." Jerit Cikgu Kamil.

"Cikgu, saya lupa bawa jersi..."

"Okay, kamu duduk sana. Saya panggil pemain simpanan."Cikgu Kamil tidak mempamerkan rasa risau, langsung melambaikan tangan pada salah seorang pemain simpanan yang sedang bersenam bersama rakan pasukan yang lain.

"Tapi cikgu..."

Feb 26, 2017

Entri 83 : Pengembala kambing

"Anehnya, kamu seorang pengembala kambing.Bagaimana kamu tahu membaca?"

Suara kecil gadis itu terngiang ngiang ditelinganya.Sambil memejam mata dia terbayang mata besar anak gadis yang kurang lebih sebayanya apabila dia bercerita tentang Pergunungan Fagaras.

Tujuan hidupnya adalah mengembara.Tetapi itu bukan tujuan ibu bapanya yang bertani.Mereka bekerja keras semata-mata hidup cukup untuk makan dan minum ,tidak lebih dari itu.Mereka mahu anak lelaki mereka menjadi berguna dan dihormati.Mereka menyekolahkannya dengan harapan dia akan menjadi pendeta yang disegani.

"Aku cuma mahu mengembara ayah, aku mahu melihat dunia luar."

Ayah menghela nafas, matanya merenung bukit bukit menghijau.Pergunungan Fagaras kelihatan sayup dan misteri."Ramai orang luar datang melalui kampung ini.Tujuan mereka sama,mencari sesuatu yang baru.Tetapi apabila mereka pergi, mereka masih lagi orang yang sama."

"Mereka mendaki gunung,merentas tasik,mencari istana dan berfikir fikir betapa beruntungnya keadaan orang dahulu berbanding kita sekarang.Rambut dan mata mereka mungkin lain tapi mereka sama sahaja seperti kita."

"Tapi aku ingin sekali melihat dari mana mereka datang.Bagaimana bandar mereka?Samakah hidup mereka dengan kita?"Dia berkeras.

Raut wajah ayah kelihatan hampa."Namun orang luar datang ke sini,mereka cemburu melihat kehidupan kita dan mereka ingin sekali hidup di sini."Dia tidak berputus asa memujuk satu-satunya anak lelaki.

"Aku masih ingin melihat bagaimana kehidupan mereka ayah?Adakah mereka bertani seperti kita?"Dumitru tidak berganjak dari keputusannya.

"Orang yang datang ke sini mempunyai banyak wang untuk mengembara.Mereka mampu.Di kalangan kita yang mengembara hanyalah penggembala biri biri."

"Jadi biar aku jadi pengembala."Tegas Dumitru .

Mata Lucian berkaca-kaca memandang anaknya.Dia tidak berkata apa-apa lagi.Dumitru, anaknya itu berjiwa kental seperti dirinya.Keesokan pagi Lucian menghulurkan kantung yang berisi 3 keping syiling emas purba.

"Ini kepingan wang yang aku jumpa semasa meneroka tanah.Aku tidak punya apa apa untuk dijadikan warisan melainkan ini.Gunakan ia untuk membeli biri-biri dan pergilah mengembara semahu mu."

Dumitru terdiam sambil merenung kepingan syiling purba tersebut,dia menggenggamnya erat.Dia sedar keluarganya bersusah payah selama ini dengan harapan dia akan kekal di sini dan menjadi pendeta yang dihormati.

"Pergilah anakku.Semoga suatu hari nanti kamu akan sedar kampung kita inilah yang terbaik dan wanita di kampung ini adalah yang paling cantik."

Dumitru membuka mata,langit cerah membiru.Dia bangun dan menoleh, tujuh belas ekor biri-birinya masih sibuk meragut rumput.