Langkau ke kandungan utama

Entri 110 : Syawal 1440

Kali ini raya betul betul raya. Sebelum ini trafik mungkin biasa biasa saja tapi kali ini dekat Baling pun boleh jam. Jarak setengah jam mungkin jadi berjam jam.Menderitalah siapa yang menjadi runner, keluar beli tepung jagung mungkin terkandas separuh hari di jalan.

Kali ini orang betul betul balik kampung.
Kali ini orang betul betul nak ziarah saudara mara.

Dan kali ini insta, facebook boom kebaboom dengan #raya2019 #syawal1440 tag. Meriahnya raya di alam maya diharap sama meriah raya di dunia nyata.

Sedih makcik makcik bawang, kalau sudah takda siapa nak membawang sekali bila masing masing sibuk membawang di phone.

Sedih lagi ibu , saudara mara yang sibuk mengemas tapi yang menolong hanya sekadar memegang penyapu sambil berkata ,’Mak mari selfie!’ Dan orang tua itu tersenyum sumbing bila disuruh bergambar berkali-kali dek kerananya posenya tak cukup Instagrammable.Dan bertambah tambah terkilan si ibu bila selesai senyum yang dibuat buat masing masing duduk menempel di tangga sambil edit gambar, tunggu like dan reply komen.

Bila balik kampung di ceruk ulu, tak ada line boleh menjadi satu bala.

Minta simpang jauh jauh lah raya sebegitu.

Syawal tahun ini semua orang beraya sungguh sungguh sebab sudah bersungguh sungguh berlatih bagai nak rak di bulan Ramadhan. Kursus satu bulan disambut dengan pesta konvo yang meriah diiring Alhamdulillah dan Allahuakbar.

Maka bertuahlah mereka yang betul betul mengutip pahala sepanjang Syawal sejak Ramadhan lagi.

Atap bilik air kedua dipasang, aktiviti panjat, paku memaku dilakukan semasa Ramadhan dengan harapan bila saudara mara balik nanti tak berebut bilik air di pagi raya.Rahmat buat mereka yang berpeluh keringat ketika berpuasa memudahkan untuk orang lain nak beraya.

Rahmat buat mereka yang mengemas dan membersihkan rumah dengan harapan saudara mara dan tetamu selesa dan tenang bila nak bersembang.

Rahmat buat mereka bertungkus lumus memasak dengan harapan saudara mara gembira bila dapat merasa kelazatan nasi impit Maklong, ketupat Mak Ndak, lemang Tok Esah. Nak buat pulut palas dan lemang bukan sat sat (sekejap), perancangan nak tebang lemang dibuat sejak Ramadhan lagi tahu.Dan moga moga sambil tetamu mengunyah akan membawa perbualan yang lebih bermakna apabila dimulakan , ‘Wah ada ketupat palas.’ sambil baca Bismillah sebelum makan dengan rasa syukur.

Tak lupa juga pada yang berusaha beratur untuk menukar nota duit raya , walaupun kecil tapi bau duit baru memang tak sama dengan duit lama.Ada yang turun ke bank di awal Ramadhan sambil disambut dengan senyuman pegawai bank dengan jawapan ,

’Maaf cik, awal sangat nak tukar duit raya. Nanti kami letak notis depan ni ya.’

Maka hampir setiap hari dia menjenguk bank dengan harapan nota nota duit baru tidak kehabisan. Moga moga Maklong bahagia bila bau duit baru walaupun hanya lima ringgit.

Rahmat buat yang sabar dengan kerenah kerenah tak masuk akal ibu bapa, sanak saudara , sepupu sepapat berkelahi kerana ada yang sejenis suka berkurung di bilik, yang tidur sepanjang masa, yang asyik dengan gadjet, yang malas, yang tiba-tiba tetamu datang baru nak rajin, yang suka membebel, yang basuh pinggan macam opera Cina dan pelbagai lagi dari sebesar-besarnya sehingga sekecil kecilnya boleh jadi sebab bermasam muka.

Rahmat buat mereka yang saling mendoakan di bulan mulia ini, moga moga doa itu berpanjangan sepanjang hayat.

Kemudian masing-masing berkumpul dan ambil gambar walaupun baju tak sedondon dek kerana ada yang keliru tona hijau kepala itik itu dengan hijau Emerald. Dengan senyum tawa ikhlas yang dirakam di Insta, Facebook, Twitter, Youtube dan seribu satu jenis media sosial dari lubuk hati.Moga moga muka muka ini adalah muka muka yang yang beratur ke syurga atas rahmat Ilahi.

Apabila bukan insta-famous cuba cuba berposing dan difoto-bom dengan sengaja oleh orang pertama, difoto-bom lagi dengan tidak sengaja oleh orang kedua dan difoto-bom lagi dengan lembu.

Nota : Penulis ingin memohon maaf jika ada kesilapan dan kesalahan sepanjang penulisan di namakunurindah. Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin. Mohon didoakan yang baik baik selalu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan...

Entri 21: Hati yang mendengar

Nurindah mengucapkan salam.Tak ada jawapan.Dia membuka pintu, kelihatan seorang gadis merenung di luar jendela.Nurindah mengucap salam.Sunyi.Tiada respon, mungkin dia sedang bergayut di telefon. Nurindah menekan punat tv. Gadis itu datang , menonton sekali. “Seorang je ke kat rumah hari ni?” Nurindah berbasa basi. Gadis itu buat tak dengar.Sedikit Nurindah tersinggung.Pekakkah budak ni?Sombong benar. “Yang lain ke mana?” Nurindah memancing lagi. Kebetulan gadis itu menoleh. Dia menunjukkan jari ke telinga dan mulut , kemudian menggoyangkan jarinya ke kiri ke kanan berulang kali sambil tersenyum. “Eh?’ Nurindah tidak percaya. Gadis itu berulang kali memberi isyarat yang sama. Maka fahamlah Nurindah, rakan barunya ini istimewa. Tidak dapat mendengar dan juga bercakap.Pekak dan bisu.Terasa bersalah kerana berburuk sangka. Dan perkenalan mereka bermula dengan tulisan-tulisan di atas kertas. Gadis itu bernama Yana, boleh menulis walaupun ayatnya agak tungging terbalik. Dan Nurindah mula ...

Entri 33: Rama-rama

Cantik.Berwarna warni dan sangat gemalai. Semua orang menikmatinya. Semua orang memujinya. Bunga dan rama-rama seperti irama dan lagu. Keindahan yang sempurna. Geli.Jijik dan memualkan. Jarang sekali yang menyukainya.Jika boleh mahu diracun.Merosak tumbuhan. Tetapi kita lupa, makhluk yang memualkan itu bakal menjadi rama-rama yang cantik. Apa agaknya perasaan rama-rama saat kita memujinya padahal dulu dia dihina?