Baru-baru ini dia mendaftar untuk pertandingan larian secara maya. Suka-suka untuk memaksa dirinya bergerak. Bukannya dia tidak bergerak cuma seminggu sekali dan musim-musim covid begini makin jarang dia bersenam. Lagipun kesihatannya bertambah baik, rutin regangan semakin teratur jadi mengapa tidak keluar dan berjalan-jalan. Itu hematnya ketika mendaftar.
Dia tidak berniat untuk berlari pecut kerana kesihatan tidak mengizinkan. Jika dia sihat sekalipun dia tidak mahu berlari pecut atau apa-apa melainkan melakukan sesuatu dengan penuh timbang rasa (mindful). Dia tidak mahu berbuat sesuatu hanya mengikut-ngikut atau kerana memenuhi masa. Antara perkara yang dia mulakan adalah melakukan sesuatu dengan sebab dan timbang rasa terutama dalam dunia yang penuh pertandingan ini.
Maksimum jarak untuk mendapatkan hadiah utama ialah 21 km berupa jam digital. Jadi dia mengira-ngira dan membahagi tempoh masa lebih kurang 20 hari, jadi jika dia berjaya berjalan paling maksimum 1.5 km sehari maka dia sudah layak untuk memenangi hadiah utama.
Jadi setiap hari dia hadkan 1.5 km atau kurang. Mungkin ada hari yang terlebih tapi misi utama bukan untuk melebih kerana melalui pengalamannya apabila sesuatu yang dilakukan berlebihan ianya mengundang penat dan mengambil masa di mana di celah situ dia akan mencipta alasan untuk mengelak melakukan perkara lain. Contoh berlari 10 km di hujung minggu membuatkan badan letih dan menyebabkan dia menghabiskan masa seharian hanya berehat berbanding berlari satu km sehari. Ini terpulang kepada individu, tidak ada betul atau salah cuma apapun sendiri buat sendiri tanggung.
Apa sahaja yang kita buat, tidak ada salah atau betul. Mungkin salah pada sesetengah orang tetapi betul pada sesetengah orang. Kerana akhirnya diri sendiri yang menanggung.Paling penting, setiap orang belajar dalam momen mereka sendiri.
Dia sedar rupanya untuk bangun awal pagi hanya untuk berlari hanya 1 kilometer setiap hari bukanlah perkara mudah. Tentu ada cabaran. Ada hari dia berlari tetapi applikasi tidak berfungsi, jadi dia belajar untuk redha bahawa rezekinya hari itu adalah peluh tanpa rekod. Ada hari hujan dan begitulah setiap hari pelbagai ragam dan warna.
Perlahan-lahan dia belajar redha, oh jangan marah-marah. Dia pesan pada diri sendiri, target kamu bukan setiap hari tetapi mencipta rutin. Sehinggalah hari Sabtu terakhir, lagi 2 km lebih untuk dia cukupkan 21 km. Ya, dia berjaya cukupkan 21 km lebih tetapi dia tidak berjaya menghantar rekod hari Sabtu jadi dia bercadang untuk menghantarnya hari Isnin setelah online ke jaringan syarikatnya. Mungkin anda pening ketika membaca tetapi cukuplah anda faham kadang-kadang perkara mudah boleh jadi komplikasi.
Malangnya pihak pengurusan menolak kerana tidak cukup syarat. Mula-mula rasa ralat, yalah lari lebih 21 km dalam tempoh yang betul tetapi hanya kerana tidak menghantar rekod terakhir membuatkan dia tidak layak.Salah dia juga, kalau betul betul dia berusaha untuk menghantar rekod pada hari sepatutnya perkara begini tak terjadi. Kalau...
Baik...
tahan nafas dan belajar redha. Mungkin bukan rezekinya untuk jam digital tetapi rezekinya untuk melakukan rutin pagi. Dalam menyabarkan hati dia merungut. Pihak pengurusan pun satu, bila buat borang tak ada notis samada berjaya hantar atau tidak. Tak apa, simpan sahaja semua itu nanti untuk komen membina suatu hari nanti.
Jadi dia meneruskan hidup hariannya seperti biasa sehingga salah seorang jawatankuasa bertanya, mungkin kerana ada sesuatu yang pelik pada rekod yang dihantarnya. Setelah berbual baru dia tahu selama ini rekod-rekod yang dihantar pada pihak pengurusan yang sampai cuma 14 km yang bakinya entah ke mana.
Mengikut pengiraannya jika dia hanya terlepas hanya sehari, rekod hari Sabtu sepatutnya rekod sedia ada di tangan pihak pengurusan sepatutnya sudah18 km. Maka dia diminta untuk menghantar semula rekod-rekod lariannya.
Jadi dia pun terus menulis email, dikepilkan jumlah bukti rekod dan gambar. Namun kali ini dia tidak berharap pun untuk dapat hadiah. Entah kenapa hatinya berbunga-bunga saat mengira jumlah rekod lariannya total 22 km dalam masa kurang 20 hari.
Jika 22/10 = 2.2 km sehari. Wow!
Dalam hatinya dia tertanya-tanya mengapa dia sudah tidak berminat dengan hadiah tetapi saat membalas email hatinya cukup gembira.
Dia perasan sesuatu, rupanya hadiah sebenar bukan jam tangan digital jenama Garmin itu tetapi rutin larian di waktu pagi yang sedang dicatatkan satu persatu.
Suatu hari nanti di akhirat, setiap kerjaan yang baik disebut satu-satu tentulah perasaan tersebut sukar digambarkan. Apatah lagi jika di dunia kerjaan yang baik itu dihina atau tidak dipedulikan.
Tidak kisah samada dia menang atau tidak, tidak kisah sama ada pihak penganjur memikirkan dia tidak layak atau layak, tidak kisah apa orang kata. Kerana pertandingan ada syarat tersendiri. Jika layak menang sekalipun, kemenangan ditentukan pihak lain. Itu adat.
Bisik hatinya, tetapi rutin itu milik kamu dan tiada sesiapa yang boleh mengubahnya. Ianya sudah dibuat dengan jaya. Dia melihat data data tersebut dengan senang hati. Ya, ianya sudah dilakukan dan tidak dapat diubah lagi.
Ulasan
Catat Ulasan