"Kasihan Shima. Kerja sampai lewat malam lepas tu balik nak menguruskan anak. Suami tak nak tolong langsung you." Nora mengadu pada Yati. Dia mencapai kek pisang dan mengunyah perlahan. Kek pisang dan teh panas, hui terangkat. Yati memang suka menjamu orang makan. Kalau duduk dengan Yati lama-lama boleh jadi gemuk.
Yati cuma mengangkat kening, dia kenal Shima. Selalu bercerita masalah rumah tangganya pada Nora. Nora memang pendengar yang baik dan dia juga memang senang menunjukkan simpati. Mungkin kerana itu Shima suka bercerita dengannya.
"Biarkanlah jangan dilayan sangat cerita rumah tangga orang." Nasihat Yati sambil menyambung menaip. Ada beberapa nota yang perlu disiapkan.
"I takut dia stress nanti mental illness sebab tu I dengar." tukas Nora, teh panas diteguknya. "Susah betul nak dapat suami baik sekarang ni. You bayangkan dia balik lewat kerja kemudian terpaksa bangun pukul tiga pagi nak menguruskan suami dan anak-anak. Eh you tak kasihan ke kat dia?" Nora cuba memancing Yati yang leka mengadap skrin laptop.
Yati diam, memuncungkan mulutnya. Dia menggeleng, matanya masih mengadap skrin laptop. Sekarang Nora pula menjadi tempat Shima meluahkan perasaan. Kalau berjumpa itulah perbualannya. Dalam Whatsapp itula ceritanya. Masalah ipar duai semua diceritakan pada Nora. Mungkin dia patut mencadangkan Shima untuk menulis novel yang bertajuk 'Suamiku Berhantu' dek kerana gigih menaip panjang-panjang dalam Whatsapp.
"You... you bergaduh dengan Shima ke?" Nora bertanya. Dulu Yati selalu sahaja menyertai mereka, malah banyak memberi nasihat pada Shima. Kebelakangan ini kelihatan Yati seperti acuh tak acuh saja bila Shima datang. Jika Shima bercerita, cepat-cepat dia melarikan diri.
Yati menarik nafas. Nampak gayanya dia tak dapat melarikan diri. Mengelak dari Shima tapi tersangkut pula dengan orang tengah. Ahh... telinga ini tak boleh dimute. Keadaan menjadi infinite loop, tidak ada penamat seperti bug dalam sistem. Dia mengangkat muka, direnungnya wajah Nora.
"Kenapa kita perlu dengar masalah rumah tangga dia ya?" tanya Yati, laptop ditutup.
"Eh, eh... you dah kenapa? Dia kawan baik kita kan."Nora kehairanan. Adakah dia tersalah tekan punat.
"Memang kawan baik tetapi dia tu isteri orang. Kita ni kahwin pun belum tau. Kenapa nak mengadap isu rumah tangga orang lain?" tempelak Yati.
"You tak kasihankan kat dia ke Yati? Patutlah dia kata you tak faham masalah dia." balas Nora, betullah apa yang diceritakan Shima. Tak ada sesiapa memahami Shima. Kasihan betul.
Kata-kata Nora membuatkan darah Yati mendidih.
"I lagi kasihan dekat diri I tau. Tak menikah lagi tapi terpaksa mengadap isu rumah tangga orang. Cuba fikir, tah-tah kita ni susah dapat jodoh sebab kepala otak kita dah dibasuh dengan masalah Shima. Padahal sekarang tah-tah dia tengah sedap tidur dengan suami dia!"
Nora terdiam. Sedikit terkejut kerana Yati bukanlah seorang yang cepat marah.
"Shima tu kalau betul dia bermasalah dia akan cari jalan yang betul untuk selesaikan masalah rumah tangga dia. Orang yang berumah tangga sepatutnya lagi matang nak menyelesaikan masalah. Yang I hairankan, dia tak terfikir pula nak tinggalkan suami dia tapi mengutuk bukan main."
"Eh, you ingat senang ke bercerai." Nora mendengus. Sedikit bengang bila Yati memandang rendah pada permasalahan rumah tangga.
"Memang tak senang. Yang senang adalah mengumpat suami sendiri. I am not backing up her husband tapi kalau ikut gaya aku rasa cara dia salah. I told her to find counselor, enroll classes, talk to her husband and she said that I don't understand!Masa nak bernikah tergedik-gedik bila ada masalah tahu merungut saja!"
Nora menjegilkan mata, patutlah. Yati ni kalau naik hantu memang boleh tahan.
"Dia ada masalah rumah tangga pun sebab dia dah bersuami, kita terperuk kat sini sebab kita tak ada suami. I don't think she tell you to solve her problem, in fact maybe she loves it. Sebab tu dia cari you yang bujang terlajak ni untuk mengumpat sebab dia tak perlu dengar nasihat kita." Yati mencapai kek pisang yang masih panas, menggigitnya sedikit.
"Kalau I ada masalah dengan kek, I cari baker. I takkan buang masa lama bercerita dengan orang yang tahu makan jer!" Yati bangun meninggalkan Nora terkebil-kebil di ruang tamu.
Nora meneguk teh panas, terasa tawar. Hatinya terasa sepi sekali, tiba-tiba dia teringatkan Shima. Mungkin sedang diulit mimpi indah bersama suami!
Nota penulis : Ya Allah, sedapnya kek pisang panas!
Ulasan
Catat Ulasan