“Cikgu, ajarlah saya sampai darjah enam.” Baiti memegang tangan Nurindah saat mereka menyaksikan beberapa penghuni asrama berlatih nasyid.
“Kalau diizinkan Tuhan.”Nurindah menepuk bahu Baiti.Hatinya sedikit lega melihat Baiti ceria berbanding beberapa hari yang lalu.Dia sendiri tidak tahu sampai bila dia boleh berada di situ memandangkan dia cuma pekerja kontrak.Mungkin sampai akhir tahun ini, mungkin sampai bila-bila.Mungkin, dia cuma menyerahkan hidupnya di tangan Tuhan kerana sesetengah perkara dia tidak mampu untuk mengatasinya.
“Dah, jom masuk kelas.”Nurindah bangun setelah melihat beberapa orang pelajarnya sudah sampai.
Nurindah mengeluarkan buku-bukunya tatkala Baiti menjerit.”Eii..cikgu ni tak senonoh!”
Nurindah terkejut, segera diteliti apa yang direnung Baiti.Baiti dengan Maryam ketawa kecil manakala beberapa pelajar lelaki kebingungan.
Sesuatu yang berwarna merah jelas kelihatan di balik beg birunya yang jarang.Nurindah menjegilkan mata, adakah itu?Tuala wanita.
Segera Nurindah menarik beg birunya, menyorokkannya di bawah kerusi sedang Baiti dengan Maryam ketawa.”Cikgu uzur ya?” tanya Baiti.
Nurindah sendiri tak sedar sama ada apakah warna pipinya, mungkinkah sudah menjadi merah atau biru.
“Ishh..Tak baik la cakap macam tu.Tak malu betul.”Danish membela Nurindah.
“Dah, dah.Mari sambung buat latihan.” Nurindah cuba sedaya upaya menyembunyikan perasannya . Segera menumpukan perhatian kepada kerja sekolah Maryam.Keadaan kelas seperti biasa, hiruk pikuk.
Baiti dan Maryam membelek beg biru Nurindah membuatkan Nurindah merasa sedikit cuak.”Cikgu ada apa dalam beg cikgu ni?Panjang-panjang.”Baiti menyoal.
“Sudah Baiti.Cepat buat kerja sekolah kamu.”Nurindah menepis tangan Baiti dari terus menerus membelek beg birunya.Baiti selalu hilang fokus dan Nurindah selalu pening menguruskannya.
Kelas akhirnya tamat pukul sepuluh malam.Saat Nurindah berjalan menuju ke kereta Baiti dan Maryam berlari-lari anak ke arahnya.
“Cikgu ada apa dalam beg cikgu?”Maryam bertanya.
“Yang panjang-panjang cikgu.”Baiti mencelah.
Isu tuala wanita lagikah?Nurindah mulai bosan.Tetapi Baiti dan Maryam tersengih-sengih seakan mengusiknya.
“Cuba cikgu periksa beg cikgu?”Baiti dan Maryam mendekatinya lagi dekat.Baiti menarik beg biru Nurindah.
Nurindah cuba mengelak, namun Baiti pantas meragut beg yang disandangnya.Nurindah menjadi sedikit geram.
“Cikgu tahu, nanti cikgu-“
“Ini cikgu.”Baiti mengeluarkan sesuatu dari beg Nurindah.Panjang dan berwarna merah.Dua kuntum bunga mawar plastik yang kecil dan comel.
“Untuk cikgu.”Baiti tersenyum.
“Selamat hari guru.”ucap Maryam.”Kami beli yang murah saja.”
Nurindah kelu.Dia sendiri tak perasan bila mereka menyumbat bunga itu ke dalam begnya.”Terima kasih.”Dia tak tahu apa yang perlu diucapkannya.Tangannya memegang dua kuntum bunga mawar tersebut.”Bunga ni sangat comel.”
“Murah saja cikgu, tak ada duit nak beli yang mahal.”Baiti tersenyum.
“Terima kasih.”
Malam itu Nurindah mendapat satu lagi pengajaran.Dia terasa bersalah kerana menganggap budak-budak itu mahu mempermainkannya dengan tuala wanita.Dia sedar, mungkin banyak lagi perkara dalam kehidupan ini yang selalu disalahertikan.
Bunga merah comel diletakkan di atas meja di sebelah katilnya.Setiap kali Nurindah melihat bunga tersebut, dia akan tersenyum.
Selepas ini dia akan lebih berhati-hati menyimpan tuala wanitanya.
Ulasan
Catat Ulasan