Langkau ke kandungan utama

Entri 162 : Benar?

Dia masih ingat rumah yang berdekatan dengan penjara Fremantle itu. Rumah rekabentuk kolonial itu membawa mereka ke era Victoria. Bau hapak seperti muzium dek barang barang antik yang tidak diketahui usianya. 

Dia masih ingat di waktu malam dia cuba sedaya upaya tidak keluar dari bilik merayau di sekitar rumah. Patung-patung bertopeng dan kepala Buddha yang besar, terasa dirinya diperhatikan tatkala dia ke bilik air. Malah kepala paip diperbuat dari gangsa , berukir sangat antik ...dia cuba mengelakkan diri dari memandang ke cermin saat menggosok gigi. Tidak pasti apa yang menyeramkan, rumah itu atau penjara yang berjiran. 

 Seorang lelaki Itali duduk sambil mencuba gitar , dia melepak di rumah. Jarang sekali dia keluar. Dia masih ingat muka lelaki itu, memakai gelang etnik di tangan berambut ikal paras bahu. Mungkin umurnya awal dua puluhan.

"Lelaki Itali tu sepertinya seorang lelaki yang baik." komennya saat tuan rumah meluahkan rasa risau.

"Ya, dia seorang yang baik cuma dia tidak seperti pengembara yang lain."

Dia mengangkat kening, tidak faham.

"Pengembara selalunya akan keluar seberapa kerap dan lama yang mungkin. Tapi dia cuma melepak di rumah tamu." Merisaukan kerana pengembara itu lebih banyak memerap di rumah.

Ya, apa guna membayar tiket kapal terbang mahal-mahal tetapi menghabiskan masa melepak di rumah AirBnB.

Atau mungkin kerana ketenangan itu tidak didapati di rumah sendiri di tanah air sendiri.

Tuan rumah itu seorang wanita berusia sekitar 70 an , bekas jururawat. Melalui trauma di waktu kecil, berpindah ke Australia, bercerai dengan suami; sungguh dia menyaksikan pelbagai perkara. Berbual dengannya seperti masuk ke dalam buku Sejarah, tidak membosankan.

Namun kerisauannya tentang lelaki Itali yang jarang keluar rumah itu hilang sementara waktu dek kesibukannya melayan tamu tamu yang lain.

"Kamu mesti rasa yang ini. Kawanku mencadangkan aku cuba mi segera ini." Beria ia dia membeli Ibumie mi segera. Tamu yang berdua itu tercengang-cengang kerana seumur hidup mereka tidak pernah makan mi segera Ibumie walaupun mereka berasal dari Malaysia.

Ya, ianya dijual di Malaysia tetapi bukan jenama pilihan.

Dia tercengang-cengang. Dalam fikirannya halal ke, rasanya apa, boleh ke perutnya menghadam. 

Dalam keadaan dia masih lagi berkira-kira, kawannya sudah siap mengadap mangkuk yang berasap.

Tak ada was-was.

"Bagaimana dengan kamu?" Tuan rumah itu bertanya. 

Dia menggeleng."Aku masih kenyang." Sejurus dia menjawab saat tiba-tiba lelaki Itali itu masuk ke dapur.

Tuan rumah berlalu keluar, kali ini lelaki Itali menarik kerusi dan menyertai mereka.

"Kamu menipu."

Tiba-tiba dia berasa tidak selesa dengan tuduhan lelaki Itali tersebut. Terlampau melulu.

"Kamu bukan kenyang. Tetapi kamu tidak berani mencuba, kamu menipu hanya mahu menjaga hati tuan rumah." Tuduhan langsung tanpa berlapik itu cukup membuatkan mukanya memerah.

"Aku dari Itali. Gerak badan, ekspresi muka dan pelbagai lagi kami terpaksa belajar untuk survive." Lelaki tersebut menyambung. 

"Tidak, aku betul betul kenyang." Dia berasa jengkel, entah lelaki ini dari mana kenal pun tidak tetapi sesuka hati menuduh orang menu.

Lelaki Itali itu tersenyum."Benar?"

Diam.

Lelaki itu berterusan bercerita tentang Itali, mafia, godfather dan kawannya masih lagi menghirup mi segera yang panas.

Keramaian menyaksikan fenomena gerhana.Fremantle War Memorial, Feb 2018.

21092020



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 190 : Pak Min

"Assalamualaikum Pak Min. Selamat Hari Raya, kerja lagi hari ni?" tegur Pak Tam, Mak Utih yang mengekorinya bergeseran lengan. "Tengah buat kerja la ni." Pak Min menjawab dengan riang sambil menyapu lantai yang dipenuhi sisa makanan semalam. Pak Min dikenali dengan kerajinannya walaupun baru saja berpindah ke taman aqua ini. Pantang nampak sampah, semua nak disapu.  "Uii... tak penat ke kerja tiap-tiap hari. Tak bergaji pula tu." Mak Utih menyampuk. "Nak buat macam mana takdir. Lagi pun kerja mencuci ni kerja yang takkan pernah berhenti sampai mati sebab semua makhluk suka perkara bersih. Yang pengotor pun suka bersih."jawab Pak Min sambil menyapu pasir, lobak yang tersangkut dikoreknya dengan teliti. "Ehh... ehh bang cepat. Tu makanan dah sampai." Mak Utih menerpa ke arah makanan. Pak Tam juga menurut laju. Sempat Pak Tam berpaling, "Pak Min cepatlah! Nanti makanan habis ditelan Mak Utih." Pak Min menggeleng,"Tak apa, ak...

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan...

Entri 64 : Asing

Kebelakangan ini semuanya terasa sempit, sesak dan rimas.Tekanan membunuh rasa bersyukur. Masalah peribadi menerpa, kerja di pejabat menimbun.Masa ini juga , ada isu dalam sistem.Nurindah mengeluh, kerjaya sebagai jurutera perisian memang antara bukan kerjaya isteri idaman.Siapa mahu isteri yang kerjanya tidak tentu, balik rumah pun kadang-kadang menatap komputer.Siapa mahu?  Ah, mungkin  kerana dia bujang jadi semua kerja ditugaskan untuknya. 'Kamu kan bujang, jika kamu balik awal pun buat apa?Macam kami ni dah kahwin, susah...banyak benda perlu diuruskan.Anak isteri perlu dijaga.'  Rasa mahu ditampar saja suara yang berbunyi itu.Jika bujang ini hidupnya sangat mudah kenapa kamu tergedik sangat mahu kahwin dulu? Berontaknya dalam hati.Kalau kahwin sekadar mahu lari dari tanggungjawab,mana pergi keberkatan.Aneh pula ya bila syarikat mengadakan  business trip ke luar negara, pandai pula menawarkan diri.Berbulan pun tak apa.Ke mana pergi anak isteri yang dijad...