Langkau ke kandungan utama

Entri 182 : Kronologi Donat Tidak Rupawan 1.0

Keinginan hendak menikmati donat yang gebu berasap-asap sudah lama terpendam di dalam hati. Yang diidamkan bukanlah donat popular yang dijual di kedai-kedai kayangan tetapi yang dijual di pasar-pasar.

Malangnya setiap kali dibeli, dicuit-cuit keras rupa bentuknya dan hambar rasanya. Seorang sahabat membeli bombolini juga tidak dapat memuaskan keinginannya.

Terbayang-bayang di waktu kecil bonda menguli donat di waktu malam dan keesokan paginya mereka anak beranak bersarapan dengan donat yang gebu, bulat dan lembut sempurna.

Begitulah keinginan hati Che Unid yang membuak-buak, akhirnya setelah menghabiskan masa beberapa hari di YouTube terjumpalah dia akan resepi donat Che Nom  maka nekadlah dia untuk membuat sendiri donat idamannya.

Jangan ditanya kenapa Che Unid tak bertanya resepi dari Che Odah, bondanya. Saat Che Unid menulis entri ini Che Unid sendiri berasa hairan kenapa dia boleh terlupa langsung tentang kepakaran Che Odah memasak terutama resepi-resepi lama. Mungkin kerana itulah  walau sebijak mana pun ibu bapa, mereka masih menghantar anak-anak berguru kerana anak-anak acap kali  mendengar kata orang luar daripada ibu bapa sendiri.

Bermulalah perjalanan hidup Che Unid untuk membuat donat dengan membeli yis yang belum pernah wujud lagi di dapur bujangnya. Sebiji ubi kentang mula distim pada suatu malam tetapi disimpan di dalam peti sejuk selama dua hari kerana setiap kali dia berhasrat untuk menguli tepung saja hal yang datang menerpa. 

Pada pagi Sabtu di hujung bulan Februari yang panas, Che Unid mula menguli tepung. Sedikit kecewa kerana hasil adunannya melekit tidak selicin Che Nom. Di dalam hati Che Unid meneka-neka apalah yang silap. Mungkin terlebih air atau mungkin kerana dia menggunakan susu segar sedangkan resepi Che Nom menggunakan susu tepung.

Akan tetapi tidaklah Che Unid mahu membeli susu tepung kerana memikirkan sudah berpuluh tahun dia tidak minum susu tepung. Maka dia menambah tepung gandum supaya adunannya kurang melekit tetapi seperti tidak berhasil. Akhirnya dia berhenti menambah tepung dek teringat akan sejarah kueh keria yang bertukar menjadi batu dek terlebih tepung.

Che Unid bertawakal saja dengan harapan adunan tepung naik  dua kali ganda sambil mencuci bilik air dan melakukan perkara-perkara yang patut.

Perkara yang tidak patut dilakukan ketika menunggu adunan naik  ialah bermain Instagram filter dengan mengunakan akaun yang dikongsi bersama kawan-kawan. Memang leka sekali bermain filter sebab macam-macam filter tersedia, muka yang bulat boleh diruncingkan, bulu mata boleh ditambah, ada yang berlagu, ada kucing yang comel-comel. Sambil memeriksa adunan donat  tanpa sengaja dia tertekan Post pada gambar swafoto dengan bertuala dan topeng muka.

Memalukan!

Panik sebab akaun Instagram itu bersambung terus dengan akaun Facebook, jika dipadam di Instagram maka perlu dipadam di Facebook dan persoalannya dalam masa hendak memadam itu sempatkah orang lain melihat post tersebut.

Mujurlah nasibnya baik tak ada rambut yang terdedah walaupun  kepalanya berbalut tuala dan mukanya bertopeng. Che Unid sempat memaki hamun diri sendiri termasuk applikasi, mudah betul nak post,  tertekan sedikit termasuk Camera, tertekan sedikit terpost.

Memang sudah terlanjur maka Che Unid pun mendapat idea untuk memuatnaik post-post yang berkaitan donat supaya kelihatan berkait dengan post pertama yang tidak disengajakan. Alahhh... kononnya post yang pertama dengan tuala berbalut itu seolah-olah sengaja dimuatnaikkan. 

Berbalik semula pada cerita adunan donat tadi, maka adunan tersebut naik dan kembang luar biasa walaupun rupanya tidak selicin seperti adunan Che Nom. Maka Che Unid berkira-kira juga sama ada mahu menggoreng menggunakan Air Fryer atau secara tradisional. Setelah dipertimbangkan yang donat ini adalah hasil pertama Che Unid, lebih baiklah dia mengikut saja cara Che Nom.

Che Unid pun menggoreng donat yang bulat dan lubang pelbagai. Kali pertama hampir hangit kerana minyak terlampau panas. Setelah siap 13 biji donat digoreng, maka diperuntukkan yang mana mahu dimakan dan ditaburnya gula pasir. Donatnya walaupun tidak segebu Che Nom tetapi lembut. Tercapailah sudah hasrat Che Unid untuk menikmati donat yang lembut. Kawan serumah Che Unid juga beruntung dapat makan petang percuma walaupun donat tersebut tidak rupawan.

Pagi ini Che Unid mengeluarkan baki donat tempoh hari dan memanaskannya menggunakan Air Fryer. Gula pasir dikisar halus dan ditabur ke atas donat yang masih panas. Dijemputnya sahabat serumah untuk merasa donat.

"Eh kenapa yang hari ini lagi sedap daripada hari tu?"

Soalan sahabat terngiang-ngiang di telinga Che Unid. Che Unid sendiri kurang pasti jawapnnya. Adakah kerana kali ini donat itu dipanaskan menggunakan Air Fryer atau kerana gula yang halus? Selalunya makanan yang dipanaskan semula tidak sesedap makanan yang baru dimasak segar. Berlainan pula kes donat Che Unid.

Mungkin Che Unid perlu lagi bereksperimen dengan donat. Mungkin nanti akan ada entri Kronologi Donat 2.0.



Nota : Terima kasih kerana sudi membaca entri ini. Kepada sesiapa yang ingin mencuba donat silalah rujuk resepi Che Nom di YouTube. Che Unid tidaklah disponsor oleh Che Nom dan Che Unid tidak berani berkongsi resepi donat tidak rupawan kerana takut nanti dikecam pembaca. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan...

Entri 21: Hati yang mendengar

Nurindah mengucapkan salam.Tak ada jawapan.Dia membuka pintu, kelihatan seorang gadis merenung di luar jendela.Nurindah mengucap salam.Sunyi.Tiada respon, mungkin dia sedang bergayut di telefon. Nurindah menekan punat tv. Gadis itu datang , menonton sekali. “Seorang je ke kat rumah hari ni?” Nurindah berbasa basi. Gadis itu buat tak dengar.Sedikit Nurindah tersinggung.Pekakkah budak ni?Sombong benar. “Yang lain ke mana?” Nurindah memancing lagi. Kebetulan gadis itu menoleh. Dia menunjukkan jari ke telinga dan mulut , kemudian menggoyangkan jarinya ke kiri ke kanan berulang kali sambil tersenyum. “Eh?’ Nurindah tidak percaya. Gadis itu berulang kali memberi isyarat yang sama. Maka fahamlah Nurindah, rakan barunya ini istimewa. Tidak dapat mendengar dan juga bercakap.Pekak dan bisu.Terasa bersalah kerana berburuk sangka. Dan perkenalan mereka bermula dengan tulisan-tulisan di atas kertas. Gadis itu bernama Yana, boleh menulis walaupun ayatnya agak tungging terbalik. Dan Nurindah mula ...

Entri 33: Rama-rama

Cantik.Berwarna warni dan sangat gemalai. Semua orang menikmatinya. Semua orang memujinya. Bunga dan rama-rama seperti irama dan lagu. Keindahan yang sempurna. Geli.Jijik dan memualkan. Jarang sekali yang menyukainya.Jika boleh mahu diracun.Merosak tumbuhan. Tetapi kita lupa, makhluk yang memualkan itu bakal menjadi rama-rama yang cantik. Apa agaknya perasaan rama-rama saat kita memujinya padahal dulu dia dihina?