Langkau ke kandungan utama

Entri 188 : Putih

"Puan, saya hendak bercakap tentang program Rumah Kebajikan Annur  tu boleh?" Zaril , seorang pemuda kurus tinggi berkelulusan multimedia kelihatan gugup berhadapan dengan Puan Nurindah. Puan Nurindah dikenali sebagai seorang yang tegas dan kadang-kadang anginnya tak menentu. Jika putih katanya putihlah, jarang sekali hendak berubah warna menjadi hitam. Bertuah kalau sesiapa dapat mengubah warnanya.

Namun Zaril tak ada pilihan, pasukannya yang mengendalikan program ini tidak bersetuju dengan arahan terbaru ini. 

Arahan terbaru kali ini tidak  membenarkan live atau upload apa sahaja rakaman program di sosial media dan semua jenis medium komunikasi. Hanya jurukamera yang ditugaskan dibenarkan untuk merakam peristiwa dan segala hasil kerja seperti montaj mesti diteliti dahulu sebelum diterbitkan. Tidak dibenarkan swafoto atau apa sahaja. Malah sesiapa yang didapati merakam tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan tegas.

"Duduk." Puan Nurindah berhenti menaip. Dia merenung Zaril tepat. "Kenapa dengan program tu?"

 "Err... saya...I mean pasukan saya merasakan arahan baru ini tidak selari dengan misi kita. Kita mahu masyarakat sedar dan mengambil pengajaran dalam setiap misi kebajikan yang kita lakukan. Sebelum ini kita melakukan progam Oh Banjir Oh Banjir, Jom Ngaji dan pelbagai lagi. Puan pun tahu kan, setiap kali program dilancarkan kita mendapat ribuan likes dari Facebook dan Insta. Malah dengan berinteraksi dengan follower-follower di sosial media kita mendapat banyak sponsorship." 

"Jadi?" Puan Nurindah menopang dagu, tidak ada senyuman. Direnungnya wajah Zaril yang sedikit cengkung. 

"Arahan puan kali ini berisiko membuatkan penganjur yang menyertai program ini tidak selesa, mereka merasakan ini membataskan impak yang mereka harapkan." Zaril menggenggamkan jari-jemarinya yang sedikit berpeluh. Terasa seperti cacing kepanasan apabila direnung begitu.

"Maaf, keputusan itu tidak berubah." jawab Puan Nurindah tegas. Dia memfokuskan kembali kerjanya di laptop. 

"Tapi puan..."Zaril mengeluh, sepanjang dia bekerja dengan Puan Nurindah dia sudah lali ditolak. Cuma sedikit ralat kerana Puan Nurindah jarang bercakap. 

"Tak ada tapi-tapi. Keputusan itu muktamad." 

"Saya minta maaf, saya rasa puan tak faham risiko arahan ini. Ianya akan membuatkan banyak pihak tidak berpuas hati." Zaril tidak berputus asa, kali ini dia mahu berusaha memahamkan orang atasannya ini.

Puan Nur tersenyum namun Zaril tidak selesa dengan senyumannya. Senyum itu sinis. 

"Apa yang awak faham tentang program ini Zaril?" tanya Puan Nurindah, senyuman sinis tadi berganti dengan wajah serius.

Zaril mengeluh, soalan temuduga yang sarkastik. "Program Annur adalah program bantuan untuk Rumah Annur yang menempatkan 134 anak-anak yang terabai." Ada nada ralat pada jawapannya, takkan itupun tak tahu. 

"Siapa anak-anak ini?" 

"Anak-anak ini adalah anak-anak yang diabaikan samaada mereka ditinggalkan oleh ibu atau bapa atau hasil dari hubungan sumbang mah..." Zaril tidak dapat meneruskan jawaban terutama apabila melihat wajah Puan Nurindah berubah. Wajahnya yang garang tadi berubah menjadi muram.

"Teruskan." 

"Hasil sumbang mahram  dan juga anak-anak banduan, puan."Zaril menelan air liur, terasa seperti ada kaktus di tekaknya.

"Saya yakin baru sekarang awak faham misi program yang terbaru ini." tempelak Puan Nurindah. Dia mengubah posisi kerusinya kemudian melepaskan keluhan berat.

"Misi kita bukan sekadar beri duit, makanan dan kemudian tinggalkan mereka. Anak-anak ini mengalami sesuatu yang buruk, yang kita sendiri tidak mahu bayangkan dalam fikiran Zaril." suara Puan Nurindah tegas berbaur geram.

"Memang jika kita buat live atau upload di media sosial program ini akan laku. Malah lebih laku daripada program sebelum-sebelum. Rumah Annur hanyalah salah satu rumah yang menempatkan anak-anak seperti ini, banyak lagi rumah lain. Malah banyak lagi di luar sana yang belum dapat diselamatkan." Puan Nurindah berhenti sebentar mengambil nafas.

"Zaril kamu hanya  fikir tentang berapa banyak likes dan berapa banyak penganjur yang akan suka tetapi tidakkah kamu terfikir apa yang akan jadi jika wajah-wajah yang kamu rakam itu terpampang merata tempat? Apa akan jadi jika temubual dengan anak-anak ini diwar-warkan begitu sahaja? Sekali kita upload kita, kita takkan dapat kawal ke mana maklumat itu merebak!"

Kali ini Zaril tidak dapat bersuara, betullah ada kaktus besar tersekat di tekak.

Mata Puan Nurindah kelihatan sedikit berair.

"Benar kamu mahu memberi pengajaran pada masyarakat. Tetapi kamu kena sedar mana satu lebih penting. Ingat audien kita bukan semuanya baik. Bayangkan jika ada audien yang berniat buruk, adakah kamu mahu  bertanggungjawab untuk melindungi Rumah Annur sampai bila-bila?"

Zaril tidak dapat menjawab. Dia dapat mengesan Puan Nurindah sedikit mengah, mungkin kerana jarang Puan Nurindah bercakap panjang. Selalunya pendek-pendek sahaja.

"Zaril, menjadi anak-anak  yang terabai sudah cukup berat buat mereka. Sampai bila-bila mereka takkan dapat mengubah nama ayah atau ibu bapa mereka. Maka saya pinta, boleh kamu buat program ini bermakna buat anak-anak tu?" tanya Puan Nurindah penuh harap.

"Baik puan." Zaril menjawab tanpa berfikir panjang.

Puan Nurindah tersenyum untuk pertama kali mungkin. Zaril sendiri lupa berapa kali bossnya ini senyum.

"Err... terima kasih puan kerana sudi menerangkan sebab kenapa arahan baru ini dikeluarkan." Zaril bangun. "Saya akan pastikan arahan ini dapat diikuti." katanya bersemangat.

"Eh, duduk. Tugasan kamu yang sebenar baru bermula." Muka Puan Nurindah tegas kembali.

Cepat-cepat Zaril duduk, bertambah lagi kerjanya.

"Pertama kali saya mahu kamu fahamkan semua staff yang menyertai program ini. Saya mahu kamu jadualkan mesyuarat dengan penganjur, terangkan kepada mereka agenda dan juga peraturan program ini. Dan juga aturkan mesyuarat dengan jurukamera kita. Mereka dibenarkan mengambil rakaman akan tetapi semuanya perlu diedit. Saya mahu lihat dahulu hasil kerja mereka. Ingat kita masih perlu beri pengajaran pada masyarakat dan pada masa yang sama perlu menjaga masa depan anak-anak ini." 

Zaril mencatat poin-poin penting, program kali ini penting lebih penting dari sebelumnya. Saat dia keluar dari bilik Puan Nurindah, kawan-kawan sepasukannya Nina dan Zukri menerpa.

"Putih dapat tukar jadi hitam ke?" tanya Nina.

"Putih tetap putih tapi kali ini aku setuju ianya kekal putih." jawab Zaril dengan nada ceria. "Eh, sudahlah kita ada misi nak diselesaikan ni."

Zukri dan Nina berpandangan. Untuk kali pertama Zaril tidak mahu mengubah warna yang ditetapkan Puan Nurindah.



 







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan...

Entri 165 : The philomel

T his entry was parked under my draft quite some time, I was having hard time to choose to write this in Malay or English.  It is not because I am good in both language, in fact I am not good in both. Either one makes me tremble whenever I type the word, thinking whether is it proper, is it the right one?  Honestly, there is no word to describe feeling. We I always use the word as metaphors to describe it and most of the time peoples get misunderstanding regardless what word we I chose. Plus typo all over the places, some small mistakes such missing important coma ,  but or pause can cause catastrophes. Such as we and I, since I was small I used the word kita  to represent I but actually kita means we . Because of the misplaced ' kita' sometimes I get into troubles. I have to correct it every-time I accidentally use it - nope kita does not mean you and me but it means me -- but kita means we ... and there we go to the next argument. Trying to straighten me...

Entri 179 : Aku sebatang pensil ...

Aku sebatang pensil, berwarna biru. Di batang tubuhku terukir dengan tinta emas nama pelangganku, sebuah rangkaian hotel terkemuka di dunia. Aku tidak berapa pasti dari mana asal usulku. Cuma menurut cerita aku ini kacukan dari dua bangsa yang sangat berbeza. Samada ayahku berasal dari kayu kayan yang hidup berakar di bumi ataupun ibuku mungkin galian dari tanah. Plumbum barangkali. Aku masih ingat ketika aku diusung keluar dari kilang, bersama-sama dengan kawan-kawanku. Kami dibahagikan ke beberapa cawangan hotel di seluruh Malaysia. Setibanya kami di hotel, kami diletakkan di dalam bilik berasingan, di atas meja bersama buku nota kecil. Tetamu datang dan pergi. Kadang-kadang mereka menggunakan aku, mencatatkan nombor-nombor dan kemudian aku ditinggalkan di atas meja semula. Aku tidak ingat berapa lama aku terdampar di atas meja,  jika ada tamu yang cemerkap aku terpelanting di bawah meja. Juru kemas akan memeriksa keadaanku dan meletakkan aku semula di atas meja. Suatu hari ada ...
Buy Me A Coffee
Thank you for visiting. You can now buy me a flower!