Langkau ke kandungan utama

Entri 192 : Pelampung

 "Hei Nur, kamu tahukah cerita tentang konflik di Tebing Barat yang berlaku baru-baru ini?" Mesej Fabian beberapa hari yang lalu masih tidak terjawab. Fabian, pelajar di Kolej King berhampiran mengajaknya berjumpa pagi ini.

"Aku ke sana nanti, bolehlah aku bawa kamu bersiar-siar di sekitar Hampstead Heath Park." kata Fabian bila mengetahui Nurindah menginap di London selama dua minggu.

Nurindah memasukkan sebuah buku tebal bersama-sama sebotol air kosong ke dalam beg kulit yang berwarna coklat lusuh. Pertanyaan Fabian masih bergelumang di benaknya. Semalaman dia tidak lena tidur dan pagi ini dia bangun awal kerana mereka sudah berjanji untuk berjumpa di Masjid dan Pusat Islam Brent.

Pagi Sabtu yang cerah, bilik Maria masih lagi gelap saat dia membuka pintu untuk keluar. Mungkin tuan rumahnya itu masih lagi tidur. Dia menghembus tapak tangan dan menggosoknya berulang kali. Musim panas di London tidak berupaya menghangatkan tubuhnya. Dia membayangkan dirinya seperti lolipop bergerak kerana berkaki kecil dan berpakaian tebal berwarna merah. Cepat-cepat dia melangkah melalui deretan rumah batu dua tingkat yang berwarna merah, melepasi Jalan Mora memasuki Jalan Cedar dan sesekali terserempak dengan beberapa orang yang turut berjalan kaki. Masjid yang hendak dituju kurang dari satu kilometer dari rumah Maria.

Sekumpulan lelaki bertopi tinggi, berjambang dan berkot labuh hitam turut melalui jalan yang sama; mereka sama-sama beralih memberi jalan kepadanya. Dia tertanya-tanya, ada upacara apa hari ini?Kumpulan tersebut berjalan terus tanpa menghiraukannya.

Teringat kata-kata Maria saat pertama kali dia sampai ke sini, "Di sini mudah mencari makan kerana ramai Muslim dan Yahudi."

Yahudi tidak makan babi, Muslim juga tidak makan babi. Agak sukar dipercayai yang kedua-dua ini bermusuhan kerana masing-masing mempunyai aturan diet yang sama agak sama. Ahh, adik beradik sendiri pun selalu bergaduh sesama sendiri.

Fikirannya menerawang memikirkan soalan Fabian tempoh hari. Fabian bukanlah orang yang pertama melontarkan soalan-soalan tersebut. Tidak ada salahnya pada soalan-soalan tersebut. Bukankah bertanya itu ubat kepada kejahilan?

Yang silapnya soalan itu ditujukan kepadanya. Seorang gadis Muslim yang pengetahuan agamanya masih lagi cangkat dan tercari-cari. Namun dek kerana soalan-soalan tersebut Nurindah mula membaca dan belajar  tentang konflik. Tetapi semakin banyak dia tahu, semakin dia berasa kecewa.

Pertumpahan darah itu rencah manusia. Jika sudut ini aman, pasti di suatu sudut lain bergolak. Dia mahu percaya manusia suka keamanan tetapi pengalamannya melihat tempat-tempat berdarah membuatkan dia patah hati. Trauma selepas melawat terowong Jepun, sekolah rejim Polpot, A Famosa membuatkan dia tidak tidur lena berhari-hari. Bau tempat tersebut melekat pada hatinya berminggu-minggu.

Kekejaman dan kezaliman tidak hanya berlaku di Tebing Barat Palestin tetapi di merata tempat. Itulah yang berlaku di Myanmar, China, India, Korea Utara dan juga di sudut-sudut dunia di mana ada campur tangan Amerika atau kuasa-kuasa besar lain. Malah jangan terkejut jika ianya juga berlaku di tempat sekecil Malaysia. 

Pernah seorang rakan mengkritik sikapnya yang disangka tidak ambil kisah, "Nur, ini kebenaran yang perlu kamu ambil tahu, jangan sampai kamu tergolong menjadi orang yang ignorant terutama saat dunia akhir zaman ni." Malangnya apabila dia cuba mengambil tahu, dia menjadi mabuk. Kemabukan maklumat yang menyebabkan dia ketagihan skrin dan mengabaikan hidup realiti. Malah terbawa-bawa ketagihan tersebut sehingga ke meja makan.

Setiap kali Fabian atau sesiapa saja mengajukan soalan, hatinya bergelojak. Dia mahu terus bercerita dan berdebat dengan apa-apa yang diyakininya. Namun setiap manusia mempunyai versi kebenaran yang berlainan. Jika tidak mengapa Polpot mempunyai pengikut yang ramai?

Itu yang membuatkan soalan Fabian dibiarkan tidak terjawab. Kerana setiap kali dia menemukan jawapan, di situ juga dia mendapatkan soalan. Masakan dia dapat merumuskan sesuatu konflik yang lebih tua dari usianya. Apatah lagi Fabian seorang pelajar jurusan Sains Politik, tentu sekali jawapannya akan ditimbang balik. Dia mengeluh berat.

"Hey beautiful, how are you doing?" Sapaan lelaki tempatan disambut dengan senyuman pendek, terus dia berjalan menuju ke masjid berkubah hijau. Sepanjang berada di London dia sudah lali dengan sapaan begitu. Dia mengagak mungkin kerana dia bertudung atau mukanya dikira eksotik pada pandangan penduduk tempatan.

Nurindah menarik nafas lega apabila melihat kelibat Fabian berdiri di tembok masjid yang berwarna coklat kemerahan.  

Fabian menggawang tangannya apabila melihat Nurindah, "Sini!" jeritnya tanpa menghiraukan beberapa orang yang lalu lalang. Nurindah menggeleng kepala apabila melihat Fabian yang tinggi menggalah itu cuba melompat untuk menarik perhatiannya. Sudah lama dia tidak berjumpa lelaki Taiwan ini, wajah Fabian semakin matang dan sedikit cengkung. Mungkin kerana terlampau banyak membaca. 

"Kamu sudah makan? Aku belikan kopi dan kebab. Ayuh duduk sana." Fabian menunjukkan bungkusan berisi makanan. Bau harum kopi memancing Nurindah untuk menurut.

"Sudah lama tak berjumpa, bagaimana kuliahmu?" tanya Nurindah berbasa basi saat mereka duduk di satu bangku.

"Baik."jawab Fabian sambil menghulurkan kopi yang masih berasap,"Cuma kamu tahulah orang selalu menyangkakan aku ini dari China terutama dalam kuliah mengenai ekonomi dan sebagainya." Ada sedikit nada kecewa pada suaranya. "Hati-hati kopi ini panas." pesan Fabian, nada suaranya berubah ceria.

Nurindah tersenyum kecil sambil menyambut cawan kopi. Konflik antara China dan Taiwan juga pernah menggemparkan dunia suatu ketika dahulu.

"Ian, mengenai mesejmu tempoh hari-"

"Maafkan aku Nur. Bilaku fikirkan kembali soalan aku itu kurang sopan." potong Fabian.

"Kenapa?"

"Iya, memanglah kamu Muslim. Tetapi tidak bererti kamu perlu menjawab segala konflik yang dikaitkan dengan Islam. Tentu kamu pening. Aku ini langsung tak bertimbang rasa." kata Fabian dengan nada kesal.

Nurindah meneguk kopi sedikit, panas. Dia membuka penutup cawan dan meletakkan di atas bangku untuk menurunkan suhu. 

"Lihat, aku memang tidak ada jawapan untuk segala konflik di dunia." kata Nurindah perlahan sambil mencapai begnya dan mengeluarkan buku tebal berwarna merah,"Tapi aku yakin ini jawapan yang perlu kamu tahu."

Fabian menyambut buku tersebut dari tangan Nurindah. Matanya penuh tanda tanya. "Ini bukankah buku Muslim?"

"Itu terjemahan al Quran dalam bahasamu. Ambillah, aku hadiahkan padamu."

"Kenapa?" tanya Fabian sambil membelek Quran terjemahan dengan takjub.

"Apa yang terjadi sekarang dan akan datang seperti gelombang tsunami yang bertimpa-timpa, Ian. Kita boleh terus-terusan mencari jawapan tetapi aku takut lemas sebelum berjumpa jawapan. " ayat Nurindah terhenti seketika, dia menarik nafas pendek. 

"Jadi anggaplah aku hadiahkan pelampung ini untuk memastikan kamu dapat teruskan hidup dalam mencari jawapan." Nurindah berasa lega. Kali ini dia yakin dengan jawapannya.

"Eh, tak apakah kalau aku baca buku ini?" Fabian kelihatan ragu-ragu.

"Kamu manusia Ian, Al-Quran diturunkan kepada manusia. Hak kamu untuk membacanya. Sama ada kamu percaya atau tidak selepas itu terpulang. " jawab Nurindah, dia sendiri membaca banyak buku dan tidak banyak buku yang dia percaya.

"Kepercayaan pula bergantung antara aku dan Tuhan." Fabian menyambung sambil tersenyum. Dia membelek buku itu sejenak, sampul buku ditulis dengan tinta berwarna keemasan. Kemudian dengan berhati-hati dia menyimpannya ke dalam beg sandang berwarna kelabu.

Nurindah meneguk semula kopi yang sudah mulai sejuk sambil Fabian membuka bungkusan kebab, mereka mengalas perut sebelum menapak ke Hampstead Heath.
















Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan...

Entri 165 : The philomel

T his entry was parked under my draft quite some time, I was having hard time to choose to write this in Malay or English.  It is not because I am good in both language, in fact I am not good in both. Either one makes me tremble whenever I type the word, thinking whether is it proper, is it the right one?  Honestly, there is no word to describe feeling. We I always use the word as metaphors to describe it and most of the time peoples get misunderstanding regardless what word we I chose. Plus typo all over the places, some small mistakes such missing important coma ,  but or pause can cause catastrophes. Such as we and I, since I was small I used the word kita  to represent I but actually kita means we . Because of the misplaced ' kita' sometimes I get into troubles. I have to correct it every-time I accidentally use it - nope kita does not mean you and me but it means me -- but kita means we ... and there we go to the next argument. Trying to straighten me...

Entri 179 : Aku sebatang pensil ...

Aku sebatang pensil, berwarna biru. Di batang tubuhku terukir dengan tinta emas nama pelangganku, sebuah rangkaian hotel terkemuka di dunia. Aku tidak berapa pasti dari mana asal usulku. Cuma menurut cerita aku ini kacukan dari dua bangsa yang sangat berbeza. Samada ayahku berasal dari kayu kayan yang hidup berakar di bumi ataupun ibuku mungkin galian dari tanah. Plumbum barangkali. Aku masih ingat ketika aku diusung keluar dari kilang, bersama-sama dengan kawan-kawanku. Kami dibahagikan ke beberapa cawangan hotel di seluruh Malaysia. Setibanya kami di hotel, kami diletakkan di dalam bilik berasingan, di atas meja bersama buku nota kecil. Tetamu datang dan pergi. Kadang-kadang mereka menggunakan aku, mencatatkan nombor-nombor dan kemudian aku ditinggalkan di atas meja semula. Aku tidak ingat berapa lama aku terdampar di atas meja,  jika ada tamu yang cemerkap aku terpelanting di bawah meja. Juru kemas akan memeriksa keadaanku dan meletakkan aku semula di atas meja. Suatu hari ada ...
Buy Me A Coffee
Thank you for visiting. You can now buy me a flower!