Menolong orang yang akhirnya menyusahkan diri sendiri
Jika perkara ini tak berlaku dalam masyarakat, pepatah ini takkan ada. Manusia bijak mengambil pengajaran dan selalunya menggunakan alam untuk mencerminkan sesuatu.
Jikalah ini berlaku dalam dunia biawak, saya terfikir adakah peribahasa seperti 'bagaikan mengendong manusia hidup' wujud dalam masyarakat biawak?
Bagaimana nak mengatasi manusia yang bercirikan biawak hidup?
Katakan tidak. Tidak pernah terlambat pun untuk mengatakan tidak. Kita memang akan mengambil masa untuk mengenali spesis biawak ini, kadang-kadang apabila sudah lama berkawan, sudah terbuang masa, wang dan tenaga. Kesalahan yang paling besar ialah menangguh-nangguhkan atau memikirkan ianya sudah terlambat. Biawak akan gembira, ianya sejenis yang akan mengambil kesempatan selagi mana ada orang yang sudi memikul mereka. Jadi selama mana anda masih berkira-kira, selagi itulah biawak itu akan membebankan belakang awak. Cara nak hilangkan beban, mudah sahaja iaitu dengan meletakkan biawak itu ke tanah.
Mendidik biawak. Katakan tidak adalah salah satu cara untuk mengajar biawak. Biawak takkan tahu berjalan sendiri selagi anda mendukungnya. Biawak akan memikirkan mendukungnya itu adalah kerja yang mudah. Jadi letaklah ia di bawah, biarkan ia berjalan. Ia akan faham betapa susah nak berjalan dengan beban di atas bahu. Kebanyakan spesis biawak tidak faham jika anda hanya menegur secara teori, mereka memerlukan pengalaman untuk belajar.
Kenakan bayaran atau beritahu bayaran awal-awal. Bayaran tidak semestinya dalam bentuk wang. Ingat, anda perlu menanggung kos sakit bahu dan tulang belakang dan juga masa, tenaga yang anda telah gunakan untuk memikul biawak. Jangan tunggu sakit belakang dan tak boleh berjalan baru nak beritahu. Kemungkinan besar biawak itu lari dan mencari orang lain yang sihat untuk memikulnya. Manusia normal tak kisah dengan bayaran yang dikenakan dan faham konsep memberi dan menerima tetapi biawak tak faham. Ingat, biawak tidak suka bertanggungjawab.
Bagaimana hendak mengenali biawak?
Ianya memang mengambil masa untuk mengenali biawak tetapi jika anda pernah melalui pengalaman memikul biawak, ianya menjadi sangat mudah. Naluri anda akan memberitahu anda seawal anda berkenalan dengannya kemudian terpulang pada anda untuk memastikannya.
Selalunya ciri-ciri paling utama ialah ia mempunyai minda mangsa. Apa sahaja solusi, selalunya mereka akan mempertanggungjawabkan atas orang lain. Dari segi kebersihan banyak perkara yang kita boleh tahu. Ada orang yang suka-suka hati sahaja membiarkan barang mereka membusuk, pinggan mangkuk tak terbasuh dengan harapan orang lain tolong basuhkan. Kalau setakat sekali dua tertinggal pinggan kat sinki tu tak apa. Ataupun memang ada tugasan membasuh pinggan yang dibahagikan tak apa.
Ini yang memang habitnya begitu. Sekali tinggal orang basuhkan. Jarang dia nak ucapkan terimakasih. Apabila ada orang bising suruh basuhkan atau tiba-tiba berhenti membasuh, selalunya dia akan sentap dan berkata, "ala pinggan sebiji pun tak boleh basuhkan ke?!"
Selalunya biawak hidup tidak gemar membersih dan kalau bersih pun sekadar melepaskan batuk di tangga. Selalunya mereka suka dianggap baik. Mereka tak kisah pun kalau orang lain bersusah payah membersihkan rumah tetapi mereka akan tidak senang kalau tiba-tiba mereka terpaksa membersihkan. Menjadi manusia perlu mempunyai keseimbangan memberi dan menerima tetapi biawak kedekut, tidak suka memberi dan lebih senang menerima.
Jikapun mereka mempunyai orang gaji, selalunya mereka tidak akan membayar setimpal untuk orang gaji dan mereka akan sentiasa menyusahkan orang gaji. Manusia yang bertanggungjawab akan memastikan mereka adil terhadap pembantu mereka tetapi biawak akan menyusahkan pembantu mereka.
Ini tidak terhad kepada kebersihan. Biawak selalunya menghadapi kesusahan dalam banyak perkara dan punca masalah mereka kebanyakannya boleh diselesaikan dengan memperbaiki diri. Tetapi biawak tidak suka memperbaiki diri, mereka tidak suka berjalan sendiri. Kalau boleh mereka hendak baring menunggu makanan disuap. Kunyah pun kalau boleh tak mahu. Selalunya sifat kebiawakan ini datang sekali dengan set pemalas, pengotor dan suka merungut. Jika diberi solusi pun, mereka tidak mahu menerimanya. Jika mereka suka memperbaiki diri dan suka menyelesaikan masalah, mereka dah bukan lagi biawak.
Mereka akan salahkan orang lain, keadaan malah Allah pun kalau boleh hendak disalahkan. Hidup susah salahkan ibu bapa. Hidup susah salahkan pasangan. Hidup susah sebab dilahirkan ke dunia. Seumur hidup merungut dan kalau boleh batu kayu pun hendak disalahkan.
Mereka mudah mempertanggungjawabkan urusan dekat orang lain tanpa membayar apa-apa pun. Mereka mudah meminta tolong tetapi sukar nak beri pertolongan. Mereka ini tak ada masa, duit atau tenaga untuk orang lain. Ada sahaja alasan. Akan tetapi kalau mereka hendakkan pertolongan, mereka akan siap aturkan masa untuk kita. Biawak akan menganggap dirinya keutamaan dalam setiap hal.
Biawak kalau sudah biasa didukung, ia akan marah jika anda tiba-tiba berhenti mendukung. Jangan terkejut bila anda meletakkan ia ke tanah ia akan bertanya,'Kenapa selama ni kau boleh dukung aku? Kenapa tidak sekarang?' Seperti biasa dia akan mencari-cari salah anda. Dia tidak mahu faham yang selama ini anda sakit.
Kadang-kadang anda masih mengendong biawak kerana anda tidak mahu dipandang buruk. Yalah, nanti kalau biawak tu mengumpat anda dekat orang lain macam mana? Biawak memang suka spesis yang menjaga air muka ni. Senang hendak dimanipulasi biawak.
Kita boleh merungut pasal biawak seumur hidup tetapi suatu hari nanti kita akan ditanya, kenapa kita pikul juga biawak tu? Sudah habis ke perkara yang hendak dipikul dalam dunia ini sehinggakan anda memilih untuk memikul biawak hidup? Kalau biawak tu sudah mati tak apalah, memang kena pikul untuk dikambus.
Entri ini tidak relevan jika anda suka memikul biawak. Tidak menjadi masalah pun jika anda menyukai cabaran. Masalahnya jika anda merungut. Takut-takut nanti anda bertukar menjadi biawak secara tidak sedar. Jadi, berhentilah merungut. Letaklah biawak tu ke tanah dan biarlah dia berjalan sendiri.
Mengeluh itu berjangkit. Hati-hati apabila berkawan dengan si pengeluh, ianya menjadikan anda pengeluh juga.
Nota : Dalam dunia biawak yang sebenar, tiada siapa yang memikul biawak. Malah biawak pun tak suka dipikul melainkan anda mencari nahas. Biawak akan berdikari mencari bangkai untuk dimakan. Maafkan kami biawak kerana menggunakan anda untuk peribahasa ini.
Rujukan : Bahaya mengeluh
Ulasan
Catat Ulasan