Langkau ke kandungan utama

Entri 210 : Di balik tabir

Saya tidak mahu meminta maaf kerana sudah lama tidak bersiaran. Adakah orang yang menagih kemaafan dari saya?

Saya pulang ke kampung setelah sekian lama.Mungkin hampir setahun. Cuma yang pelik saya tidak berasa ghairah untuk pulang ke kampung seperti selalu. Malah hendak keluar rumah untuk membeli barang pun seperti terpaksa.

Pagi-pagi saya paksa diri saya keluar. Jika tidak saya akan memerap di rumah. Pelik, walaupun keseorangan dan tiada TV saya rela terperap di rumah. Mungkin kerana telefon bimbit tapi ramai saja yang mempunyai telefon tidak lekat di rumah.

Mungkin Covid mengubah saya. Saya tidak berkeinginan untuk keluar mengembara seperti dulu. Terperuk di rumah sehingga terasa tulang belulang menjadi berat. Kalau dibiarkan berkemungkinan berat saya bertambah.

Namun emak menelefon, ya tentulah dia mahu semua anak-anaknya pulang. Jadi saya pulang bersama Cik Pandan. Kasihan Cik Pandan terpaksa berkurung di dalam kurungan selama dua minggu. Cik Pandan tidak betah suasana bising hingar bingar. Dia terpaksa menyembunyikan diri dalam kotak pasir.

Saya tidak salahkan Cik Pandan. Saya tidak tahu pun bagaimana Cik Pandan berhubung dengan manusia sebelum ini. Cuma yang pasti jika Cik Pandan dibuli dia tidak boleh melawan balik. Jika dia melawan balik, natijahnya tidak akan berpihak padanya. 

Adakah ibu bapa sanggup memukul anak yang memukul kucing? Silap hari bulan kucing itu pula yang dibuang. Jadi tidak salah pun kalau Cik Pandan menyembunyikan diri. Jika dia tercedera, sakit habis sangat manusia hanya menggelengkan kepala. Tak ada yang sanggup mencari doktor haiwan di tengah malam-malam melainkan saya.

Saya merasakan diri saya dan Cik Pandan banyak persamaan. Mungkin orang lain melihatnya sekadar seekor kucing tetapi saya melihatnya sebagai daripada Allah waktu saya memerlukan teman rapat untuk berbual. Cik Pandan satu-satunya yang tidak mengambil kesempatan atau menghakimi.

Mungkin emosi saya tidak stabil dalam beberapa minggu ini. Saya cuba bergaul tetapi tidak dapat. Saya seolah-olah terkurung dalam cermin kaca dan memerhatikan kehidupan orang lain yang ke depan tetapi tidak saya.

Apabila saling berjumpa saudara mara, masing masing akan bertanya tentang anak, keluarga pasangan dan berbagai dan satu pun tidak dapat saya masuk campur. Nenek cuba berbicara dengan saya tetapi soalan-soalannya ialah tentang adik beradik saya bukan saya. Tentulah tentang orang lain kerana saya tidak ada suami atau kerenah anak untuk diceritakan. Dan kebanyakan jawapan yang saya berikan ialah "Entah." saya sendiri tidak tahu jawapan apa yang perlu saya beri. 

Akhir sekali nenek berpesan ,"Jaga diri baik-baik."

Tentulah, saya menjawab dalam hati. Dulu pesanan orang ,"jaga adik beradik" , "Alonglah yang dapat ubah keluarga." sekarang tiada sesiapa lagi perlukan saya. Saya juga tidak dijaga maka tentulah saya terpaksa menjaga diri. Saya sudah ketinggalan jauh dengan tenaga tua yang bersisa sedikit.

Emak kata, "Allah ada jangan risau."

Saya tak risau. Cuma jawapan "Allah ada." di tengah-tengah perbualan orang lain akan kedengaran pelik.

Saya tidak sedih dengan kehidupan tetapi melihat riak-riak wajah manusia yang melihat saya seperti kekurangan amat menyakitkan.

"Along bila pula nak menikah?"

"Belum ada rezeki." Saya cuba memberikan jawaban yang terbaik. Lupakan jawapan dari pakar-pakar motivasi kerana jika mahu dijawab nanti tercengang pula mereka yang bertanya.

"Jangan risau. Allah ada."

Saya tak risau, saya cuma menjawab pertanyaan. Akhirnya saya memilih untuk kurang bercakap supaya tidak lagi menyakiti hati sesiapa.

Dek kerana bisingnya di luar mungkin sebab itu saya gemar terperap di balik tabir, cuba memegang tali hayat yang kadang-kadang seperti mahu terlepas.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 207: Lebah sesat masuk rumah

Sudah hampir pukul 10 malam. Dia sudah siap menvakum rumah dan menadah air. Baldi-baldi, bekas-bekas plastik, jag-jag sudah dipenuhkan dengan air. Esok dijangka ada gangguan bekalan air. Oktober mungkin boleh diistiharkan Pesta Tiada Air mungkin?  Bunyi berdesing mengganggu telinganya. Seekor serangga berputar-putar di siling menghampiri lampu sedang kucingnya yang bernama Pandan melihat dengan mata yang bulat. Dia berdiri di bawah lampu, merenung ke arah serangga yang berputar-putar. Seperti tebuan. Serangga berbisa. Dia menarik nafas. Otaknya berpusing, bagaimana mahu menyahkan serangga ini dari rumah? Oh, dia teringatkan vakum. Dicabutnya nozel vakum, dihalakan ke arah serangga yang berputar-putar sambil kucing melompat-lompat mahu menerkam. "Jangan Pandan!" ZzzZZZZZ Serangga itu disedut ke dalam vacum. Dia melihat bekas habuk yang jernih. Tebuan itu masih hidup. Eh, warnanya berbelang kuning hitam.  Lebah rupanya. Tiba-tiba dia berasa seram. Lebah yang menerima arahan dar...

Entri 190 : Pak Min

"Assalamualaikum Pak Min. Selamat Hari Raya, kerja lagi hari ni?" tegur Pak Tam, Mak Utih yang mengekorinya bergeseran lengan. "Tengah buat kerja la ni." Pak Min menjawab dengan riang sambil menyapu lantai yang dipenuhi sisa makanan semalam. Pak Min dikenali dengan kerajinannya walaupun baru saja berpindah ke taman aqua ini. Pantang nampak sampah, semua nak disapu.  "Uii... tak penat ke kerja tiap-tiap hari. Tak bergaji pula tu." Mak Utih menyampuk. "Nak buat macam mana takdir. Lagi pun kerja mencuci ni kerja yang takkan pernah berhenti sampai mati sebab semua makhluk suka perkara bersih. Yang pengotor pun suka bersih."jawab Pak Min sambil menyapu pasir, lobak yang tersangkut dikoreknya dengan teliti. "Ehh... ehh bang cepat. Tu makanan dah sampai." Mak Utih menerpa ke arah makanan. Pak Tam juga menurut laju. Sempat Pak Tam berpaling, "Pak Min cepatlah! Nanti makanan habis ditelan Mak Utih." Pak Min menggeleng,"Tak apa, ak...

Entri 85 : Impian

Apa impian mu? Impianku pulang ke kampung, menjaga orang tuaku tanpa risau tentang duit atau hutang. Kamu tidak ingin bernikah? Ya.Aku ingin menikah tapi yang penting impianku mahu menjaga kedua ibu bapaku.Itu yang pasti.Semua orang yang lahir belum tentu akan bernikah di dunia ini.Tapi semuanya pasti mempunyai ibu bapa.Ramai yang mendirikan rumah tangga tapi terlupa kebajikan ibu bapa di kampung.Pulang hanya sewaktu ibu sakit atau hari raya.Kalau sudah berkahwin, tergantung pula rumah mertua di mana.Jika tidak pulang, berapa kerap yang selalu menelefon orang tua bertanya khabar?Selalu call bilamana ada kecemasan sahaja. Padahal masing masing tahu betapa susahnya ibu bapa memelihara kita dahulu seperti mana kita berasa susah memelihara anak kita sekarang.Sayang, saat kita sibuk membina keluarga, kita meninggalkan keluarga kita.Aku tak mahu itu.Sekarang aku bujang,tinggal berjauhan.Jika berdekatan juga aku akan sibuk bekerja.Bayangkan sekarang sebelum kahwin aku tidak ada masa u...