Langkau ke kandungan utama

Entri 217 : Pandan Nak Bersalin

Selasa 22 Februari 2022 

Pandan tidak kelihatan di bilik saya seperti kebiasaannya malah tidak datang apabila saya memanggil.Selalunya apabila terjaga saya akan mendapati dia akan tersidai memerhatikan saya dan jika dia tidak berada di bilik dia akan segera datang apabila saya memanggil.

Pandan bukan seekor kucing yang vokal. Dia sangat jarang mengiau, malah pernah saya terlampau leka bekerja sehingga terlupa pinggan dan bekas airnya kosong, dia tidak mengiau. Cuma akan menunggu atau menggeselkan badan atau mukanya ke saya. Itu yang membuatkan saya sedikit risau jika dia hilang dari pandangan.

Saya mula mencari akhirnya saya dapati Pandan di balkoni, di atas rak baju yang tinggi. Saya tahu dia tak berani turun. Malah sebelum ini saya yang terpaksa mengambilnya. Melihat muka Pandan saja saya tahu dia kelaparan kerana berada di situ semalaman. Jadi saya terpaksa memanjat untuk mengambilnya.

Setelah Subuh saya menghabiskan beberapa minit di sejadah. Pandan waktu ini sudah kenyang, dia akan menggeselkan badannya ke saya atau menunjukkan perutnya kepada saya supaya saya menggosoknya. Cuma ketika berjalan, saya perasan seperti ada najis yang melekat di ekor Pandan, cepat-cepat saya usung Pandan ke bilik air untuk mencuci. Tetapi setelah diteliti, ianya bukan najis tetapi darah.

Berderau darah saya. Risau jika Pandan keguguran. Cepat-cepat saya menggoogle simptom. Saya juga baru dapat tahu bahawa rahim kucing dapat menyerap janin yang gugur bergantung pada peringkat kandungan. Namun tentulah saya mahu Pandan dan anak-anaknya selamat. Bukan senang nak dapatkan anak.

Akhirnya saya membawa Pandan ke Hospital Haiwan (KM Animal Hospital ) di Batu Caves. Klinik yang saya selalu pergi tidak menyediakan perkhidmatan untuk kucing bersalin seperti ultra sound dan sebagainya. Mujur saya menelefon mereka terlebih dahulu.

Apabila sampai di hospital, saya berasa kagum dengan suasana dan kemudahan yang disediakan. Di tingkat bawah untuk anjing manakala kucing dirawat di tingkat atas. Hospital ini juga mempunyai makmal, bilik bedah dan tentunya beberapa bilik rawatan. Malah ada wad, perkhidmatan hotel kucing dan pelbagai lagi. Jururawat dan doktor berpakaian seragam seperti hospital yang biasa kita lihat. 

Setelah bertanyakan beberapa soalan kepada saya dan meneliti Pandan, doktor memutuskan untuk melakukan X-ray, ultra-sound dan ujian darah.

Perkara yang saya belajar ialah 'daging mentah adalah mesti dijauhi oleh kucing mengandung' . Saya meletakkan perkataan mesti kerana doktor menggelengkan kepala apabila saya menjawab saya ada juga memberi ayam atau daging mentah kerana Pandan paling sukakannya. Malah ketika di kampung, Pandan boleh berlari ke dapur sedangkan dia sangat penakut dengan orang asing apabila emak membasuh ayam. Malah saya membeli daging ayam yang dicincang halus semata-mata untuk Pandan. Bukan selalu tetapi sebagai makanan tambahan sahaja.

Doktor membalas, 'daging mentah adalah benda yang NO NO untuk pregnant cat'. Sebelum membuat ultra-sound/X-ray doktor memberitahu kosnya terlebih dahulu. Malah doktor juga memberitahu jika didapati denyutan jantung anak kucing lemah, mereka akan melakukan pembedahan secepat mungkin.

Ketika saya menunggu Pandan selesai melakukan ujian, air mata sudah berjurai-jurai. Saya sendiri tak tahu kenapa. Saya terfikir, setengah orang memelihara kucing tetapi dengan perspektif ianya hanya seekor kucing.  Sesetengah orang memelihara kucing dengan perspektif itulah teman mereka. Tetapi bagi kucing, tuannya yang memeliharanya adalah segala-galanya. 

For you, your pet is just a pet. But for your pet, you is their life.

Selepas ini kalau melihat orang itu sayang sangat dekat haiwan peliharaannya hatta ikan keli atau pun ayam saja, percayalah kerana perspektif anda dan dia berbeza.  Saya pernah memelihara hamster, saya memanggilnya Cik B. Percayalah kalau saya katakan dia adalah haiwan pembersih, manja dan comel. Kadang-kadang saya tidur di lantai dan dia akan menggigit kaki saya terutama jika lapar. Malah di waktu pagi atau petang dia akan mencuri-curi menggigit kaki saya. Bengang juga apabila waktu itu saya tengah meeting online. Pandai masuk sangkar sendiri bila lapar atau hendak bermain. Paling comel bila dia masuk semata-mata untuk tidur. Saya masih teringat bila dia tidur terbongkak dengan kaki kecil menjulur keluar. Tak pernah membuang air di ruang saya solat. Malah ianya cuma membuang air di tempat tertentu dan kebanyakan dalam sarangnya. Lantai saya bersih sebab saya terpaksa mengelapnya selalu dek kasihan bila melihatnya seperti selsema bila terkena habuk. Pada sesetengah orang, memelihara haiwan menjadikan rumah kotor tetapi pada sesetengah orang memelihara haiwan menjadikan rumah mereka lebih bersih. Ketika Cik B hidup, saya mengelap lantai hampir setiap hari.

Setelah selesai ujian, doktor menunjukkan saya hasil scan. Ada empat ekor anak dalam rahim Pandan. Songsang sebab kaki dahulu. Tidak ada bukaan rahim, dijangka mungkin dalam dua minggu lagi. Doktor memberitahu supaya memerhatikan tanda-tandanya. Melalui ujian darah, kami mendapati darah merah Pandan sedikit rendah. Pandan perlukan supplement seperti asid folic. Malah saya dinasihatkan untuk menyediakan makanan khas untuk kucing mengandung dan menyusu.Baru saya tahu ada rupanya makanan khas untuk kucing hamil. Sekali doktor ingatkan saya untuk memberi makanan mentah.

Lega sedikit saya apabila mengetahu keadaan sebenar. Pandan pulang ke rumah dengan perut dan leher yang dicukur. Nampak sangat perutnya sudah sarat benar.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan...

Entri 21: Hati yang mendengar

Nurindah mengucapkan salam.Tak ada jawapan.Dia membuka pintu, kelihatan seorang gadis merenung di luar jendela.Nurindah mengucap salam.Sunyi.Tiada respon, mungkin dia sedang bergayut di telefon. Nurindah menekan punat tv. Gadis itu datang , menonton sekali. “Seorang je ke kat rumah hari ni?” Nurindah berbasa basi. Gadis itu buat tak dengar.Sedikit Nurindah tersinggung.Pekakkah budak ni?Sombong benar. “Yang lain ke mana?” Nurindah memancing lagi. Kebetulan gadis itu menoleh. Dia menunjukkan jari ke telinga dan mulut , kemudian menggoyangkan jarinya ke kiri ke kanan berulang kali sambil tersenyum. “Eh?’ Nurindah tidak percaya. Gadis itu berulang kali memberi isyarat yang sama. Maka fahamlah Nurindah, rakan barunya ini istimewa. Tidak dapat mendengar dan juga bercakap.Pekak dan bisu.Terasa bersalah kerana berburuk sangka. Dan perkenalan mereka bermula dengan tulisan-tulisan di atas kertas. Gadis itu bernama Yana, boleh menulis walaupun ayatnya agak tungging terbalik. Dan Nurindah mula ...

Entri 33: Rama-rama

Cantik.Berwarna warni dan sangat gemalai. Semua orang menikmatinya. Semua orang memujinya. Bunga dan rama-rama seperti irama dan lagu. Keindahan yang sempurna. Geli.Jijik dan memualkan. Jarang sekali yang menyukainya.Jika boleh mahu diracun.Merosak tumbuhan. Tetapi kita lupa, makhluk yang memualkan itu bakal menjadi rama-rama yang cantik. Apa agaknya perasaan rama-rama saat kita memujinya padahal dulu dia dihina?