Langkau ke kandungan utama

Entri 227 : Dodol Cirit Birit

 Sejak semalam baru saya perasan Dodol mengalami cirit-birit, mungkin beberapa hari kerana saya teringat sisanya yang agak lembik tetapi saya mengabaikannya. Tetapi semalam betul-betul saya perasan kerana Dodol comot selepas membuang hajat.

Haru biru juga perasaan dibuatnya. Yalah anak kucing mana tahu bercakap dan tentulah salah saya kerana tidak memantaunya. Setakat ini yang saya tahu Dodol makan makanan yang dikhaskan untuk anak kucing dan tumpang sekaki makan makanan ibunya. Dek kerana itu saya melebihkan makanan anak kucing, pun begitu saya berasa bukan itu puncanya.

Beberapa hari yang lalu saya ada merakam video untuk mengetahui selera Pandan. Ya tentu Dodol tumpang sekaki dan malam itu saya biarkan makanan tersebut dan keesokannya kesemua makanan hampir habis. Maka saya mengagak mungkin Dodol makan makanan yang tidak sesuai untuknya.

Walaupun kesemua makanan kucing yang saya belikan bermutu dan baik pada pendapat saya kerana saya meneliti bungkusan dan bertanya merata akan tetapi berdasarkan pengalaman peribadi bukan semua yang terbaik di pasaran sesuai untuk kucing kita.

Sebagai contoh, ada satu jenama premium yang agak mahal, tinggi protein malah dicampur dengan beras perang - Pandan mengalami cirit birit apabila memakannya. Bukan sekali, banyak kali. Sehingga ada satu ketika saya membawanya ke klinik kerana cirit birit, akhirnya saya memberhentikan makanan tersebut. 

Ada jenama yang saya kurang gemar, sangat popular dan mahal. Bagi saya ada banyak jenama lain yang setanding dengannya akan tetapi setakat ini memang tidak memberi masalah kepada Pandan dan Dodol. Saya terpaksa membelinya walaupun jenama itu agak kontroversi dek kerana mahal dan kualitinya tetapi setakat ini ianya paling sesuai.

Berbalik kepada Dodol yang sakit perut. Mujur saya mempunyai ubat cirit birit kepunyaan Pandan yang masih saya simpan. Saya potong empat pil tersebut dek kerana usia Dodol lebih kurang dua bulan. Kemudian saya juga memberi separuh probiotik kepunyaan Pandan dengan menggaulkannya ke dalam makanan basah.

Jika kucing anda mengalami cirit birit dan anda tidak mempunyai akses ke klinik haiwan cuba ke farmasi dan tanyakan pil arang (charcoal), ianya berwarna hitam. Jika anak kucing, belah pil tersebut kepada empat dan jika kucing dewasa belah dua dan berikan kepada kucing anda. Jika tidak terlampau terdesak, anda boleh cuba resepi ayam bercampur labu.

Pagi-pagi tadi Dodol masih lagi cirit. Saya tahu kerana semalam saya sudah membersihkan bontotnya dan pagi ini tiba-tiba kotor lagi. Jadi pagi-pagi saya memberi lagi pil cirit birit kepadanya. Kemudian saya pergi membeli labu. Saya rebus labu dan kemudian gaul bersama ayam rebus. Saya tidak meletakkan garam atau apa apa perisa. Sambil menunggu ayam dan labu empuk, saya membersihkan Dodol; susah juga kerana kotorannya sudah bergumpal dengan bulu. Jadi proses pembersihan menjadi tidak selesa. Lain kali mungkin saya patut bersihkan pada waktu kotoran tersebut masih baru.

Saya hidangkan ayam bercampur labu untuk mereka dalam porsi secukupnya. Saya ingat pesan doktor tentang makanan basah, jangan biarkan terlalu lama. Pantau kerana bakteria boleh hinggap dalam kadar sepuluh minit. 

Mereka sangat menyukai labu yang dilenyek bersama ayam. Terutama Dodol berulangkali dia makan. Kalau begini mungkin saya akan menyediakan untuk mereka selalu. Mungkin lagi baik daripada makanan basah. 

Setakat ini bontot Dodol masih kering. Mohon doakan ia cepat sembuh. Kasihan kerana Dodol seekor anak kucing yang cergas dan cerdas. Nakalnya boleh membuatkan darah naik ke kepala. Baru tadi saya memekik kerana mereka menumpahkan dua mangkuk air bersih yang saya sediakan untuk mereka. Dodol ni nakal betul tak padan dengan sakit.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 207: Lebah sesat masuk rumah

Sudah hampir pukul 10 malam. Dia sudah siap menvakum rumah dan menadah air. Baldi-baldi, bekas-bekas plastik, jag-jag sudah dipenuhkan dengan air. Esok dijangka ada gangguan bekalan air. Oktober mungkin boleh diistiharkan Pesta Tiada Air mungkin?  Bunyi berdesing mengganggu telinganya. Seekor serangga berputar-putar di siling menghampiri lampu sedang kucingnya yang bernama Pandan melihat dengan mata yang bulat. Dia berdiri di bawah lampu, merenung ke arah serangga yang berputar-putar. Seperti tebuan. Serangga berbisa. Dia menarik nafas. Otaknya berpusing, bagaimana mahu menyahkan serangga ini dari rumah? Oh, dia teringatkan vakum. Dicabutnya nozel vakum, dihalakan ke arah serangga yang berputar-putar sambil kucing melompat-lompat mahu menerkam. "Jangan Pandan!" ZzzZZZZZ Serangga itu disedut ke dalam vacum. Dia melihat bekas habuk yang jernih. Tebuan itu masih hidup. Eh, warnanya berbelang kuning hitam.  Lebah rupanya. Tiba-tiba dia berasa seram. Lebah yang menerima arahan dar...

Entri 190 : Pak Min

"Assalamualaikum Pak Min. Selamat Hari Raya, kerja lagi hari ni?" tegur Pak Tam, Mak Utih yang mengekorinya bergeseran lengan. "Tengah buat kerja la ni." Pak Min menjawab dengan riang sambil menyapu lantai yang dipenuhi sisa makanan semalam. Pak Min dikenali dengan kerajinannya walaupun baru saja berpindah ke taman aqua ini. Pantang nampak sampah, semua nak disapu.  "Uii... tak penat ke kerja tiap-tiap hari. Tak bergaji pula tu." Mak Utih menyampuk. "Nak buat macam mana takdir. Lagi pun kerja mencuci ni kerja yang takkan pernah berhenti sampai mati sebab semua makhluk suka perkara bersih. Yang pengotor pun suka bersih."jawab Pak Min sambil menyapu pasir, lobak yang tersangkut dikoreknya dengan teliti. "Ehh... ehh bang cepat. Tu makanan dah sampai." Mak Utih menerpa ke arah makanan. Pak Tam juga menurut laju. Sempat Pak Tam berpaling, "Pak Min cepatlah! Nanti makanan habis ditelan Mak Utih." Pak Min menggeleng,"Tak apa, ak...

Entri 85 : Impian

Apa impian mu? Impianku pulang ke kampung, menjaga orang tuaku tanpa risau tentang duit atau hutang. Kamu tidak ingin bernikah? Ya.Aku ingin menikah tapi yang penting impianku mahu menjaga kedua ibu bapaku.Itu yang pasti.Semua orang yang lahir belum tentu akan bernikah di dunia ini.Tapi semuanya pasti mempunyai ibu bapa.Ramai yang mendirikan rumah tangga tapi terlupa kebajikan ibu bapa di kampung.Pulang hanya sewaktu ibu sakit atau hari raya.Kalau sudah berkahwin, tergantung pula rumah mertua di mana.Jika tidak pulang, berapa kerap yang selalu menelefon orang tua bertanya khabar?Selalu call bilamana ada kecemasan sahaja. Padahal masing masing tahu betapa susahnya ibu bapa memelihara kita dahulu seperti mana kita berasa susah memelihara anak kita sekarang.Sayang, saat kita sibuk membina keluarga, kita meninggalkan keluarga kita.Aku tak mahu itu.Sekarang aku bujang,tinggal berjauhan.Jika berdekatan juga aku akan sibuk bekerja.Bayangkan sekarang sebelum kahwin aku tidak ada masa u...