Langkau ke kandungan utama

Entri 55 : Yang Keruh ...[Bahagian 1]

20 Mac 2012. Hampir malam saat sms adik sampai."Hari ni hari lahir emak, tak ingat kah?"
Ya, saya betul-betul terlupa, cepat-cepat hantar sms dekat emak.Tapi saya tak sedar yang sms saya tidak dihantar tetapi tersangkut atas masalah teknikal.Malam makin larut saat saya sedar sms saya tidak dihantar.Terus saya telefon emak.
"Emak ...selamat hari lahir.Maaf lambat."Saya sedikit bersalah.
"Iya.. dah malam pun."Ada nada merajuk di situ.
"Maaf... emak ada apa-apa tak yang emak nak?"Saya cuba memujuk.
"Tak ada apa.Anak emak semua dah besar-besar.Dah berdikari.Alhamdulillah itupun dah cukup."kata emak.Saya terharu.


Hidup saya pahit.Saya tak ingat sejak bila.Mungkin dalam umur 16 tahun begitu.Masa itu saya terpaksa berjimat cermat semata-mata untuk belajar.Bukan untuk diri sendiri saja, untuk adik-adik yang ramai.Mereka pun mahu makan, belajar dan hidup.

Saya ingat emak bangun seawal kadang-kadang pukul 3 pagi , sediakan makan minum untuk suami dan anak-anak untuk sehari sebelum dia pergi kerja.Dan tidur pukul 12 tengah malam atau kadang-kadang pukul satu pagi setelah membasuh baju dan membersihkan rumah selepas pulang dari kerja.

Emak mencuba pelbagai jenis pekerjaan, katakan saja jual pisang goreng, jual nasi lemak.Tapi tak cukup.Anak-anak yang ramai semua mesti bersekolah dan mereka bergantung padanya seorang.

Emak cuba kerja kilang.Emak kerja kilang kayu.Penuh habuk.Tangan emak mengelupas.Emak tetap sabar.Emak kerja juga sampai suatu hari emak batuk darah.Tak ingat kenapa emak berhenti, kerana sakit atau kerana kilang tutup atau kerana ada peluang lain.

Ya, kemudian emak kerja kilang di Pulau Pinang.Kilang baju.Tugas emak bunyi macam senang, cuma seterika baju.Di dalam ruang yang penuh dengan seterika panas berkuap.Emak seterika baju setiap hari.Setiap kali pulang, emak senyum emak bercerita baju-baju yang diseterika.Emak cerita keadaan bilik yang panas.Darah tinggi emak naik.Emak selalu sakit.

Kemudian emak dapat kerja di Prai.Kerja kilang sardin.Kilang itu kebanyakan yang bekerja di situ orang-orang tua ataupun mereka yang terdesak.Jarang gadis cantik bekerja di situ.Busuk.Busuk sebab bekerja dengan ikan,sotong dan kilangnya panas berkuap walaupun berhawa dingin dek kerana aktiviti masakan.Kalau bernasib baik , emak dapat kerja bahagian kupas kentang atau bawang.Jadi bau busuknya kurang.Malah adik saya pernah pengsan sewaktu bekerja sementara di situ.Saya biasa lihat orang lain memicit hidung , berkata busuk apabila lalu berdekatan dengan pekerja kilang sardin.

Ada suatu hari, saya bekerja sementara menunggu keputusan SPM di sebuah kilang elektronik dan kebetulan petang itu bas kilang sardin rosak.Maka kami berkongsi bas.Saya lihat beberapa pekerja sardin termasuk emak berjalan dari seberang jalan mahu naik bas bersama kami.Saya seronok dapat balik sekali emak padahal kawan-kawan saya yang lain merungut “Mereka busuk.” Saya diam.Yang dikatakan busuk itu adalah ibu saya.Insan yang paling mulia.

Gaji emak tak sampai pun RM400 ratus.Malah nilainya mungkin lagi kecil dari RM300, itu belum lagi jika terpaksa bercuti , hilang duit rajin hampir RM150 kalau tak silap walaupun itu cuti tahunan.Bayangkan dengan duit begitu emak boleh sara kami.Bukan setakat bekerja, malah mengurus anak sekolah.Terpaksa ambil cuti naik bas berulang alik untuk uruskan pendaftaran, malah ada suatu ketika apabila pihak pejabat dan pihak sekolah main tarik tali.Pergi ke pejabat pendidikan, mereka kata perlu rujuk sekolah, pergi ke sekolah mereka kata kena rujuk pejabat pendidikan.Sampai lima kali naik bas berulang, faham-fahamlah bas kampung bukannya 15 minit sekali datang.Sampaikan konduktor bas tanya,”Makcik nak pergi mana ya?Dah banyak kali saya tengok makcik naik bas ni hari ni.”

Itu belum termasuk emak terpaksa berjalan kaki dari pekan Baling ke Sekolah Model Khas, jika anda pernah ke sana naik kenderaan bayangkan emak saya berjalan kaki semata-mata untuk berjimat wang untuk yuran sekolah.Tak termasuk adik yang bersekolah pondok di Lanai.Keadaan sangat tertekan saat itu disebabkan sekolah pondok makan minum terpaksa urus sendiri.Jika sekolah asrama biasa, jika terlambat bayar yuran makan masih lagi boleh makan di dewan makan.Tapi sekolah pondok, jika tidak ada beras bagaimana nak makan?Dan jika tak ada makanan bagaimana mahu belajar?

Adik lelaki  saya yang itu memberontak.Dia tidak mahu bersekolah malah tak minat pun.Akademi dia pun memang tidak memberangsangkan.Jadi dia berhenti kerja kilang sardin dengan emak , mahu tolong mak.Emak tanya, betulkah?Sebab emak paling sedih bila anak mahu berhenti belajar.Saya sendiri pun pernah mahu berhenti, tapi tak sampai hati bila emak bersedih.Adik saya yang seorang ini sedikit degil.Bila dikenangkan, saya langsung tak salahkan dia dan emak.Malah sekarang saya fikir ada hikmahnya.Seolah-olah Allah menyiapkan sesuatu untuknya, untuknya yang boleh dibanggakan sekarang.Mungkin dia lagi bernasib baik dari saya sekarang.Dia bekerja sebagai pengendali kren berlesen, tidak ada hutang PTPTN.Gajinya tak banyak, tapi bersih.Dan yang penting memang itu cita-citanya dari kanak-kanak , minat dengan kenderaan besar begitu.

Oh, ya mana tadi?Melalut pula.Memang saya pun pernah bernekad berhenti sekolah selepas SPM.Tapi emak sedih, dia cakap,”Cukuplah emak seorang yang bodoh.Emak tak mahu anak-anak mak  bodoh dan dipermainkan orang macam mak.”

Saya susah hati, mana nak korek duit.Emak cakap,”Jangan risau, selagi emak hidup.Emak takkan biarkan anak-anak mak tak mengaji semata-mata susah.Belajarlah kalau sayangkan emak.”Itulah ugutan emak saat saya berputus asa.Maka saya pun selepas SPM sedaya upaya kerja di kilang , kumpul duit untuk masuk universiti.Bukan senang, apatah lagi bukan seorang yang berkata... “Alaa..selalunya dah pegang duit takkan ingat nak belajar punya.Silap hari bulan terus kahwin.”Dan saya bersyukur sebab tak ada lelaki pun mengurat saya, kalau tidak mungkin saya juga terjebak.

Jadi saya berjaya masuk universiti.Dan bukan senang pun belajar.Saya asyik mengulang walaupun saya rasa saya sudah pun bersungguh sehabis hati.Dengan duit PTPTN itulah saya menyara hidup, termasuk adik-adik saat diperlukan.Saya tak banyak menyertai persatuan atau rombongan,cuma sertai apa yang perlu kerana semua itu perlukan duit.Matlamat saya hanya mahu menamatkan pelajaran dan tolong keluarga maka yang lain dikira remeh.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba