Langkau ke kandungan utama

Entri 116 : Tosai

Selepas puasa, sudah banyak hari dia teringin nak makan tosai.

"Dosa."

"Tosai."

Kawannya dari India membetulkan sebutannya bukan tosai tapi dosa. 

Tapi, tapi dosa itu bunyinya agak ralat bila nak memesan. "Boss, dosa satu!"

Pagi-pagi lagi dia sudah bangun. Nawaitunya sudah diset dari semalam, esok pagi sarapan mesti tosai. Sedapnya bila dibayangkan lempeng nipis yang masam masam sedikit dicicah dengan kuah kelapa campur yogurt dan sedikit rasa pudina. Lama betul tak makan, asyik bantai roti canai dan roti bom sahaja.

Saat dia keluar dari stesen LRT Ampang Park, wahh banyaknya orang jual sarapan. Selalunya dia agak lewat jadi banyak gerai-gerai kecil sudah tutup.Dia jarang beli pun.  Kalau ada sesiapa perasan ada sepasang suami isteri yang jual nasi lemak dan nasi biasa berdekatan esklator digelar  'makcik tangga'. Nasi lemak dan lauk pauknya sedap dan banyak, sehingga boleh dikongsi lagi dengan kawan-kawan. Murah pula tu. Makcik tangga ini berniaga sangat awal, jika bernasib baik pukul sembilan masih ada tapi lauk dan nasinya pula tak ada. Pernah dia datang pukul lapan pagi, ikut beratur bersama orang lain sebab nasi lemaknya betul-betul rasa seperti dimasak penuh ikhlas dari hati. Makcik ini memang jenis manusia awal pagi, maka pelanggan sasarannya adalah burung-burung yang awal.

Tapi hari ini dia nekad. Tosai, tosai sudah menjadi zikirnya dari semalam.

Di mana ada ya? Otak berpusing-pusing. Ada mamak NZ di G-Tower, tapi di Citibank pun ada mamak yang air bancuhannya membuatkan orang beratur pagi-pagi.

"Kita pergi Citibank jer la." Dia berbual dengan diri sendiri.Lama tak minum air tangan pakcik tua yang ramah tu. Pakcik itu sangat teliti walaupun kerjanya hanya bancuh air.

Saat berjalan menuju ke Citibank, seorang makcik berdiri dengan bubur nasi. Bubur nasinya memang sedap sebab dia pernah rasa. Harum bersama cili padi, ikan bilis, telur asin dan lengkap zat kalau hendak dibandingkan dengan bubur nasi dari kedai makanan segera.Uihh...sedapnya.

Ahh... bubur nasi. "Makcik bagi satu."

Saat menjinjing bungkusan bubur nasi, dia menyesal. "Kenapa pula kau beli bubur nasi?Kata tadi nak makan tosai!" Dia memarahi dirinya sendiri. Jarang datang awal, sekali datang awal sarapannya seperti mahu turun ke bendang.

"Ahh, tak apa kita makan dua-dua." Dia memujuk hati.Sebal sedikit."Bukan selalu kan."

Sampai di kedai mamak di Citibank, bau roti canai semerbak. "Tosai ada?" Dengan mata penuh harapan dia bertanya.

"Tosai tak ada cik. Kat sini roti canai, roti tulur sahaja yang ada." Kecewa tapi mujurlah dia sudah terbeli bubur nasi.

Alamak pakcik yang selalu bancuh air tak ada pula hari ini. Bertambah sedih lagi rasanya.

"Air apa tadi?"

"Nescafe tarik kurang manis.Panas."

Wanita yang membuat Nescafenya membancuh, melebihkan Nescafe dan menuang susu pekat, susu cair. Kemudian menariknya supaya rasanya sebati, penuh prosedur. Fahamlah kenapa ramai orang beratur semata-mata beli air sama ada minum atau bungkus.

Rezeki hari ini bukan tosai, rezeki hari ini bubur nasi dan Nescafe tarik yang bukan pakcik biasa buat. Sebenarnya Allah takdirkan dia bakal berjumpa tosai yang paling sedap yang dia pernah rasa setakat ini.

Tosai yang mengisi perut untuk hari-hari seterusnya.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba