Langkau ke kandungan utama

Entri 128 : Sebaik baik wanita

Saat sang anak bercerita tentang seorang budak baru di sekolah yang busuk dan berkutu, emak cuma membalas.

"Ajaklah dia datang ke rumah nanti."

Sang anak yang baru belajar berkawan, tidak faham mengapa budak berbaju lusuh kuning, busuk dan berkutu itu disuruh datang ke rumah.

Dia masih ingat kanak-kanak yang bermata kecil berwarna coklat, malah rambutnya juga agak coklat terutama bila terkena sinar matahari.

Emak tak banyak cakap, memandikan anak tersebut bersama anak-anaknya. Disyampu dan disikatnya rambut budak itu sambil anak anak yang lain ketawa. Kutu kutu luruh beremut maka anak anak yang lain menjerit kegelian sambil menindih kutu kutu tersebut.

Emak masak. Lauk yang ada tidak seberapa. Ikan dikerat kecil-kecil, emak cuma merasa kuah.Senang hati melihat anak-anak makan.

Emak capai sehelai baju sekolah lama anaknya yang sudah tidak muat. Disuruh kawan baru anaknya cuba.

Anak kecil itu berpusing-pusing menggayakan uniform sekolah rendah berwarna biru gelap.

Sungguh, aku masih ingat lagi cahaya di matanya yang coklat itu. Entah dia masih ingat kami atau tidak?

Cuma sekarang, bila aku berteleku di sejadah, berkira-kira dengan Tuhan  memberikan yang terbaik untukku.
Sesungguhnya Dia telah mengurniakan padaku seorang ibu.
Yang mendoakanku siang dan malam sebelum aku menjadi manusia.
Yang melupakan sakit dan nyawanya untuk aku.
Saat manusia lain memilih-milih untuk mencintaiku.
Ibu tidak pernah dapat memilih untuk mencintai anaknya
Hujan di Tanjung Dawai, 28 Ogos 2019



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan...

Entri 0: 2017 YANG BERMAKNA BAGIKU [KEMAS KINI]

DIUMUMKAN TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH 18 DISEMBER 2017 Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat menyambut Hari Maulidur Rasul, semoga kita diberikan kemudahan untuk mengikuti dan berusaha mencontohi Nabi Muhammad S.A.W. Amin. Ini kali pertama saya berhubung dengan anda secara terus.Semoga anda suka dan mendapat faedah daripada entri entri di blog ini. Dengan rasa rendah hati dan syukur, saya ingin menghadiahkan dua planner dan satu buku nota kepada kalian yang terpilih.Ianya sebagai tanda terima kasih atas kesudian anda membaca blog saya. Dua acara diadakan serentak, yang membezakan adalah satu acara adalah undian dan satu lagi dipilih secara ekslusif oleh saya sendiri.Berikut adalah syarat-syarat : Terbuka kepada mereka yang beralamat di Malaysia. Pilih entri selain dari entri ini untuk anda tinggalkan komen. Ciri-ciri komen: Komen tersebut tidak ditulis di entri ini.Entri ini terhad untuk contoh dan soal jawab mengenai acara ini sahaja. Mulakan komen dengan ...

Entri 177 : Daya tahan

Hei kamu, Ya, kamu sahabatku. Dengar aku bicara dengan kamu! Kamu yang selalu bersedih dan gelisah. Kamu yang selalu memikirkan dugaan hidup yang tidak jemu-jemu. Kamu yang merasakan diri kamu terkurung di dalam gua yang gelap. Ternanti-nanti bila ada cahaya. Kamu yang sudah penat meraba-raba di dalam gelap. Letih, haus dan lapar. Kamu yang memikirkan, "Sudah tidak ada jalan keluar, mungkin aku harus mati saja di sini." Ya, untuk kamu.  Kamu sebenarnya penat, berehatlah sebentar. Gua ini gelap jalannya kamu tidak nampak tetapi Dia tahu jelas. Walaupun gua ini gelap dan tidak selesa, paksakan dirimu untuk berehat. Bukankah Tuhanmu melenakan pemuda-pemuda kesayanganNya beratus-ratus tahun di dalam gua? Ada jalan keluar, cuma kamu perlukan rehat. Setelah fikiran kamu lapang, nanti mungkin kamu akan mendapat ilhamnya.  Tuhan tidak akan menciptakan kamu sia-sia. Kamu cuma diuji konflik yang sama seperti mereka yang beriman. Dia memilihmu untuk menerima konflik ini. Ucapkan Alhamdu...