Langkau ke kandungan utama

Entri 209 : Rutin

Saya memelihara Pandan sejak bulan Ogos yang lalu, mungkin lebih tepat 25 Ogos. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah memelihara kucing sepanjang saya menyewa rumah. 

Saya tidak berpengalaman membela kucing dalam rumah dan saya tidak terfikir pun saya akan memiliki kucing. Melihat segelintir rumah orang yang memelihara kucing yang kadangkala kotor dan berbau membuatkan saya tidak berminat untuk memelihara kucing kerana menyangka kucing adalah penyebabnya.

Namun saya fikir Pandan dihantar kepada saya untuk mengajar saya bahawa bersih dan kotor bukan terletak pada haiwan tetapi pada manusia. Saya percaya kucing dan kebanyakan haiwan mempunyai fitrah yang bersih. Tetapi dek kerana penjajahan manusia; haiwan menjadi keliru. 

Seperti mana orang kampung yang biasa menggunakan tandas duduk keliru dengan tandas di negara Jepun begitu juga haiwan keliru dengan susun atur pembandaran/rumah manusia.Manusia pula boleh memilih untuk menjadi pengotor atau pembersih; jadi jika haiwan-haiwan ini jatuh kepada manusia yang pemalas dan pengotor mana mungkin ia menjadi bersih.

Di sini saya ingin kongsikan perkara-perkara yang saya belajar setelah beberapa bulan memelihara Pandan dan setelah mendapat reaksi tetamu yang datang ke rumah saya yang bertanya, kenapa rumah saya tidak berbau? 

Saya sebenarnya tidak yakin dengan hidung saya kerana orang kata tuan kucing sudah lali dengan bau kucing dan itu berkemungkinan sesetengah pemilik kucing tidak sedar rumah mereka berbau busuk kerana hidung sudah kebal. Saat saya menulis entri ini saya belum memiliki penapis udara dan dalam proses untuk membelinya jadi jika anda tidak ada penapis udara jangan risau, petua ini mungkin berguna untuk anda.

1. Rutin kebersihan rumah dan diri sendiri wajib teratur

Jika diri sendiri tidak teratur dan apabila rutin membersih hanya dilakukan atas dasar perasaan maka lupakanlah hasrat untuk memiliki kucing. Jika diri sendiri tak terurus maka secara umumnya seseorang itu belum mampu menjaga makhluk hidup yang lain. Sedangkan kucing pun menimbun najisnya sendiri , apatah lagi manusia. Janganlah terfikir untuk memelihara kucing, takut nanti teraniaya haiwan atau anak orang. Nanti tak fasal-fasal kucing difitnah menjadi haiwan pengotor sedangkan yang kotor itu tuannya.

2. Pasir kucing

Hari pertama saya mendapat Pandan, saya terdesak mencari pasir kucing. Saya tidak sempat membuat kajian tentang jenis-jenis pasir dan kelebihan atau kekurangannya. Saya terus ke kedai haiwan dan bertanya, pasir kucing apakah yang paling bagus?

Maka jurujual menunjukkan saya sejenis pasir yang berbau lemon. Itu yang paling wangi kata penjual itu. Malah pada waktu itu yang tinggal hanya sebungkus. Terus saya beli tanpa fikir panjang.

Baunya betul betul kuat sampai saya pun berasa pening. Malangnya bau yang kuat apabila bercampur dengan najis dan kencing ianya memburukkan lagi keadaan. Waktu itu saya kebingungan kerana saya membersihkan kotak pasir setiap malam tetapi masih lagi berbau tengik.

Akhirnya ini yang saya dapati;

- Pasir yang terlampau wangi tidak baik untuk kesihatan kucing. Bayangkanlah jika kita pun pening, apatah lagi haiwan yang memang bergantung pada deria bau.

- Wangian tidak dapat menutup bau najis. Rutin membersih yang teratur dapat menutup bau.

Akhirnya saya memutuskan untuk membeli pasir tofu yang kurang berbau dan lebih baik. Mungkin mahal sedikit tetapi saya lebih rela membayar lebih untuk bau yang nyaman. 

3. Rutin set dan lupa

Saya membersihkan kotak pasir setiap malam. Ya, SETIAP MALAM. Saya memilih waktu malam kerana mahu bangun dalam keadaan bersih. Lagipun membersih sebelum tidur seolah-olah menjadi terapi pula.

Malah disebabkan sudah biasa dengan rutin tersebut saya tidak rasa berat. Malah apabila dilakukan tiap-tiap hari ianya menjadi cepat dan mudah. Lagi pula melakukan rutin ini setiap malam akan mengurangkan risiko beban jika tiba-tiba rutin ini terbabas. Contoh, katakanlah saya sakit dua hari, sekurang-kurang saya terbabas cuma dua hari. Bayangkan jika saya mencuci pasir seminggu sekali dan tiba-tiba saya sakit pada hari yang sepatutnya saya mencuci, tidakkah ianya menjadikan saya terbabas seminggu lebih?

Ianya lebih mudah jika anda mempunyai rutin hidup yang sudah bagus. Sekarang anda tahu kan kenapa pengurusan diri penting jika anda ingin hidup bersama benda hidup yang lain? Ini kerana kucing juga mempunyai rutin yang anda perlu jaga dan ianya hanya boleh dilakukan jika anda sendiri bijak menguruskan diri sendiri.

Mengatur rutin dapat mengurangkan stress. Ini kerana anda sudah biasa dengan jadual rutin berbanding jika anda hanya buat bila anda rasa nak buat. 

4. Biarkan ia bebas

Saya kurang gemar mengurung kucing. Mungkin saya biasa memelihara kucing di kampung. Malah pertama kali Pandan tinggal dengan saya, saya terpaksa melatih Pandan untuk menghabiskan masa di luar tandas. Bayangkan Pandan suka berkurung dalam tandas malah kalau Pandan rasa takut ia akan berlari ke tandas. Ianya membuatkan saya terfikir, adakah sebelum ini Pandan biasa dikurung dalam tandas.

Saya menyukai kucing kerana kucing haiwan yang bebas. Tinggal di apartment sudah mengongkongnya apatah lagi jika saya mengurungnya dalam kurungan bersama pasir kucing. Bayangkan kucing dikurung dalam sangkar kecil berjam-berjam berdekatan dengan kotak pasir. Bagaimana ia hendak berbau wangi?

Malah secara peribadi, Pandan bebas menjadi kucing apabila saya tidak mengurungnya. Saya mendapati kadang-kadang ada lipas mati di pagi hari, bermakna malam tadi Pandan memburu. Saya juga mendapati Pandan mempunyai tempat tidur tertentu malah berubah dari masa ke semasa. Begitu juga dengan mainan kegemarannya. Malah baru Sabtu lepas, Pandan akhirnya memilih untuk tidur di hujung kaki saya padahal sebelum ini dia tidak suka tidur di atas katil.

Jika saya mengurung Pandan, saya tidak dapat mengenali sifat Pandan. Memang ada juga kes Pandan kencing dan mencakar tetapi saya memilih untuk mengambil pendekatan lain. Rumah saya masih ada peraturan yang Pandan juga perlu ikut.

Memang ada pemilik kucing mengurung kucing, saya tidak ada masalah tentang itu.Mungkin mereka ada alasan tersendiri. Memelihara kucing ini samalah seperti memelihara anak. Lain orang lain caranya dan lain pula hasilnya. Setakat ini saya masih mampu untuk mendidik Pandan.

5. Menjadi lebih sensitif

Kenapa naluri ibu selalunya tepat? Naluri selalunya berkaitan rapat dengan rutin,pengalaman dan kepekaan. Semakin rajin dan mengambil berat seorang ibu, semakin sensitif nalurinya dan ia menjadi semakin tepat. 

Kucing adalah haiwan emosional dan seperti kebanyakan haiwan lain mereka hidup bergantung dengan bau. Jika mereka gembira mereka menandakan bau, jika mereka benci juga ianya ditunjukkan dengan bau atau cakaran. Contoh Pandan juga pernah kencing dan berak merata, seingat saya adalah sekali dua di awal waktu dahulu.

Saya faham Pandan tertekan. Mengenangkan bagaimana Pandan boleh sampai ke rumah saya, saya sendiri tak berani memikirkan apa yang Pandan pernah hadapi? Kawan-kawan saya bertanya jika Pandan pernah didera kerana reaksinya yang panik setiap kali ada orang asing di rumah.

Ada ketika Pandan kencing di longgokan baju kotor saya. Maka waktu itu saya belajar, Pandan sensitif dengan bau. Pernah ada kes Pandan kencing di luar kotak pasir sedangkan saya baru sahaja basuh lantai. Waktu itu baru saya dapat tahu bahawa sesetengah bahan pencuci mempunyai komponen kimia yang juga terdapat dalam kencing kucing, jadi kucing akan keliru akhirnya membuang air di tempat yang salah.  Jadi jangan marah jika kucing kencing di tempat yang anda baru basuh, mungkin ada sesuatu dalam cecair pencuci yang anda gunakan.

Jadi saya berhati-hati dengan longgokan baju. Semuanya saya simpan dalam bekas dan tutup. Saya juga berhati-hati dengan bahan pencuci. Malah saya meluangkan masa untuk melayani Pandan dan bermain dengan Pandan. Asalkan dia mengiau, saya akan menyahut. Ada kala sewaktu saya mahu tidur, dia berlari sambil menggonggong kertas ke bilik dan mengiau. Saya gagahi untuk keluar dan bermain dengannya beberapa minit sampai dia puas.  Sejak itu Pandan tidak lagi kencing merata.

Saya menjadi peka terhadap Pandan, jika ada perubahan sikap. Contoh ada hari yang dia asyik menggaru telinga, saya ambil dan periksa rupanya telinganya kering dan mengelupas. Maka saya letakkan ubat. Samada dia membuang setiap hari atau tidak. Makanan dan bekasnya saya perhatikan. Kucing juga boleh sakit dan tertekan tetapi mereka tidak dapat mengadu macam manusia jadi kenalah belajar menjadi empati dan peka perubahan sikap mereka.

Memelihara kucing lebih kurang sama memelihara anak cuma jika tersalah jaga kucing masih lagi kucing. 

6. Menambah ilmu

Rupanya kegemaran saya menonton video binatang terutama kucing banyak membantu. Banyak perkara yang saya belajar tentang kucing. Bagaimana hendak mengurangkan risiko cakar dan kencing. Dari pemilihan pasir, makanan sehinggalah terapi penenang, pendek kata semua masalah ada pendekatannya.

Sodium Bikarbonate menjadi antara bahan yang mesti ada. Setiap kali saya melakukan pencucian dalam, saya akan sertakan sodium bikarbonate.

Jangan mudah mengatakan kucing anda jahat. Periksa dulu rutin anda dan persekitaran anda. Cari ilmu. Bila kita sedih kita memutuskan untuk membela kucing, bila kita tak suka kita buang. Kalau betul tak suka cari jalan supaya kucing tak teraniaya.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba