Langkau ke kandungan utama

Entri 216 : Pandan mengandung?

Semalam seharian duti aku penuh. Pada mulanya aku berangan hendak mengedit video di pagi hari akan tetapi dikejutkan dengan tompokan cecair kuning di lantai dapur. Apa lagi, habis satu dapur aku cuci. Aku tak berani nak buat spot cleaning disebabkan was-was dengan deria bau. 

Deria bau manusia tak sama dengan deria bau haiwan. Bau adalah segala-galanya bagi haiwan. Kita rasa dah tak ada bau tetapi bagi kucing mungkin ada. Maka hampir sebungkus sodium bikarbonat aku campurkan bersama LOC Multipurpose. Sodium bikarbonat paling sesuai untuk membersih dan meneutralkan bau. Malah aku selalu mencampurkan sedikit sodium bikarbonat ke dalam mesin basuh apabila aku membasuh kain buruk atau baju-baju yang berbau.

Aku sudah tidak menggunakan antiseptik dan peluntur kerana Cik Pandan pernah kencing di tempat yang aku baru cuci. Maka dari situ aku belajar bahawa kalau hendak membersihkan najis kucing jangan guna pencuci sembarangan. Ada bahan kimia tak silap aku ammonia yang terdapat dalam bahan pencuci sama dalam kencing kucing. Ianya memberi isyarat yang salah pada kucing jadi kucing terusan mahu menanda tempat tersebut. Jadi jangan terkejut kenapa kucing atas tempat yang baru dicuci? Juga perlu berhati-hati kerana ada tindak balas kimia yang menghasilkan toksid apabila bercampur dengan kencing kucing. 

Selalunya aku akan clearkan dulu kencing, curah dengan air kemudian baru guna pencuci.Kemudian bilas sampai yakin. Masa membersih tu setkan hati supaya bersangka baik. Lagi pula Cik Pandan jarang kencing merata. Kalau tiba-tiba dia kencing bermakna ada sesuatu yang perlu aku perhatikan. Begitu fitrah haiwan, mereka berkomunikasi dengan bau. Malah jika mereka sayang kita pun mereka akan menandakan kita dengan bau. Kucing adalah binatang yang bersih sebagai manusia yang memutus untuk memelihara kucing, kita perlu jaga fitrah mereka. Lagi pula  Cik Pandan tak pernah melepak di dalam kotak pasir atau tempat mereka kencing. Kalau ada selalunya kerana stress

Kemudian itu aku bergegas menghantar Cik Pandan untuk grooming dan kemudian singgah ke Starling Mall untuk menghantar hadiah kepada seorang kawan. Banyak betul mall di KL ni, sebelum aku pergi sempat la aku google sebab tak pernah dengar nama Starling Mall. Rupanya starling tu adalah nama spesis burung dalam bahasa Melayu dipanggil burung jalak. 

Apabila aku google, banyak pula spesis starling ni ada yang aku pernah tengok dan ada yang tak pernah. Katanya konsep mall dalam taman tapi aku belum dapat lihat lagi tamannya. Disebabkan aku pun dah tak kuasa nak bertawaf dalam mall, aku cuma masuk Book Xcess saja. Perancangan awal sebenarnya aku nak beli barangan dapur tapi disebabkan parking aku jauh benar dari Jaya Grocery maka aku tewas di kedai buku.  Seperti biasa kalau masuk kedai baju belum tentu beli tapi kalau termasuk kedai buku - pasti beli. Jadi sepatutnya kalau nak berjimat cermat memang janganlah masuk kedai buku atau alat tulis.

Setelah itu aku terus jemput Cik Pandan dan ketika sampai tu baru aku perasan kukunya tak dipotong dengan teliti dan bulu paw langsung tak ditrim. Rasanya macam lagi baik kalau aku sendiri yang mandikan. Uisshh... rasa nak marah juga. Maka aku berteleku sekejap memujuk Cik Pandan untuk trim bulunya.  Inilah jadinya kalau tiba-tiba nak hantar grooming. Aku ada kedai grooming kegemaran, memang Cik Pandan balik dalam keadaan bersih dan kemas. Kuku dan bulu pun ditrim teratur. Akan tetapi kedai tu sentiasa penuh, memang kena buat temu janji awal-awal. Kadang-kadang bila tanya slot kosong cuma ada beberapa hari kemudian. 

Akhirnya aku keluar pergi ke Melawati Mall dan membeli barang dapur, termasuk sekali barang-barang Cik Pandan.

Balik terus aku kerjakan Cik Pandan. Aku boleh saja trim kuku dan bulu cuma treat tu kena bagi lebih sikit. Lepas tu bab bulu tu taklah sekemas seperti kedai yang aku hantar.  Sambil kena tahan dengan bebelan Cik Pandan. Dia bebel aku bebel. Maaflah Pandan, nasib kau dapat tuan yang partikular tentang kebersihan. 

Aku memang suka kucing tapi tak sanggup nak korbankan deria bau dan deria mata. Rumah divakum beberapa kali seminggu, lantai mesti berkilat. Bukan sebab aku OCD tapi sebab aku nak solat dan rumah ni rumah sewa. Lagi pula senang hati bila tetamu datang dan berkata, 'Rumah Along ni macam tak ada kucing.' Memang boleh beli bela kucing dan pada yang sama kebersihan terjaga tapi habit dan hati kena kuat. Kalau aku sejenis yang lantak lah tak ambil peduli maka kotorlah rumah dan kucing. Kucing akan ikut kita, macam anak. Kalau emaknya tak disiplin, semuanya ikut hati maka begitulah juga jadinya dengan anak.

Aku syak Cik Pandan mengandung tetapi belum dapat dipastikan benar kerana Pandan akhir-akhir ini kuat makan. Jika sebelum ini aku risau tentang pemakanannya namun sekarang tak lagi. Apabila diangkat Pandan bertambah berat.

Aku ada juga belek perutnya tetapi tak berapa ketara buncitnya. Entah kerana makanan atau kerana bunting. Mungkin seminggu dua lagi jelas. Tak sabar pula hendak menimang anak kucing. Mungkin lepas beranak Cik  Pandan boleh tutup kilang. Aku pun tak kuasa nak buka zoo. Hendak menjaga kucing biarlah realistik. Kalau tak mampu jangan jaga. 

Aku tak mahu jadi tuan yang menyebut sayang, comel malah siap menggelarkan diri mama lagi tapi bila tak mampu buang kucing dekat pasar. Moga-moga Allah memudahkan aku untuk menjaga Pandan dan anaknya.  Aku harap anaknya berwarna putih supaya boleh kunamakan Santan.

Story of Pandan

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba