Langkau ke kandungan utama

Entri 219 : Kronologi Tiga Kematian Berturut-turut

Saya sudah tenang dan Pandan pun mungkin sudah tenang. Dia kelihatan bertambah protective terhadap anak yang tinggal seekor ini. Saya sangat penat dan hampir berputus asa. Penat apabila semua diusahakan tidak menjadi akan tetapi apabila merenung muka Pandan yang sayu, saya menjadi kuat.

Kalau saya sedih dek kehilangan anak-anak kucing, Pandan tentulah lagi sedih kerana kehilangan anak-anaknya yang dikandung beberapa bulan. Pagi tadi saat saya mengebumikan anak Pandan, saya sudah redha. Air mata saya mungkin sudah kering. Apatah lagi ketika itu hujan renyai-renyai dan burung-burung berkicauan. Saya kebumikan anak Pandan ini bersebelahan dengan adiknya yang mati lebih awal.

Pada 22 hb Pandan sudah menunjukkan tanda-tanda jelas seperti hendak bersalin. Saat itu selepas Subuh, seperti biasa Pandan akan datang apabila dipanggil. Ketika itu saya terlihat seperti ada kotoran di ekornya maka saya bergegas ke bilik air untuk mencuci. Ketika mencuci saya dapati ianya bukan najis tapi ketulan darah, seperti jeli. Maka saya menelefon klinik haiwan yang pernah saya lawati malangnya klinik tersebut tidak menyediakan fasiliti untuk kucing mengandung seperti ultra-sound. Setelah mengoogle saya menemui KM Animal Hospital dan membawa Pandan ke situ untuk diperiksa. Entri lengkap boleh didapati di sini .

Malam itu saya tidak tidur lena. Pandan menggerakkan saya hampir setiap jam. Saya sudah menyediakan kelengkapan Pandan untuk bersalin. Dia tidak menggemari kotak kadboard seperti kucing lain-lain. Maka saya mengorbankan bekas plastik besar yang saya gunakan untuk pakaian-pakaian kotor dan saya lapik dengan kertas. Selain itu saya juga ada membeli khemah kecil untuk kucing seperti gambar di link .Malah saya mengubahsuai cat tree. Semuanya saya sediakan mengikut kriteria gelap, agak tersembunyi yang mana saya fikir Pandan suka. Tetapi semuanya seperti tak kena. Bayangkan saya mengekori Pandan dengan bekas plastik pukul dua pagi bertanyakan di mana tempat yang sesuai sambil berdoa janganlah Pandan memanjat balkoni dan memilih untuk beranak di atas kipas air-cond. Jika saya tidur, Pandan akan menjilat muka saya. Sudahnya sampai Subuh saya tak lena tidur.

23 hb Februari

Setelah Subuh saya mendapati ada darah tumpah setitik di lantai. Namun saya tidak risau kerana baru semalam saya membawanya ke hospital dan segalanya dipastikan sihat oleh doktor. Sepanjang hari Pandan resah, saya tidak mengambil perhatian sangat kerana sudah semalaman Pandan resah.

Pada pukul 12 tengahari, Pandan menunjukkan tanda-tanda yang besar seperti nafasnya turun naik. Dia mengiau dan kadang-kadang seperti mengeram. Saya jangka saatnya sudah hampir dan Pandan seperti tidak ketahuan. Maka saya membawanya ke dalam khemah kecil malah berbaring di sisinya.

Dia diam di situ sehingga beberapa lama. Kemudian saya bangun menyambung kerja-kerja saya. Tak lama kemudian Pandan keluar dan duduk di belakang rak buku. Tidak lama kemudian dalam pukul tiga petang dia berlari melompat masuk semula ke dalam khemah. Dia mengerang tanpa suara. Saya cuma memerhati tak berani nak datang dekat, bimbang mengganggu proses kelahiran.

Cuma kedengaran bunyi anak kucing. Saya memerhatikan Pandan, dia mengiau tetapi tidak berbunyi. Tidak kelihatan anak kucing di situ. Makin lama makin jelas, rupanya ada anak kucing di atas lantai di belakang rak buku. Cepat-cepat saya mengutipnya dan meletakkannya berdekatan dengan Pandan. Aduh, bagaimana boleh tercicir ni? 

Dalam pada itu anak kedua dilahirkan. Pandan kelihatan tenang kembali. Saya tertanya-tanya, bukankah semalam imej di ultra-sound semuanya ada empat ekor. Saya panik cepat-cepat saya menelefon hospital. Doktor memberitahu saya itu perkara normal tetapi jika tidak ada kelahiran sehingga 9 pagi keesokannya saya harus segera membawa Pandan ke hospital. Doktor juga berpesan untuk menyediakan makanan berhampiran kerana ibu kehilangan banyak tenaga dan menasihati saya supaya tidak panik.

Saya mengikuti nasihat doktor dan mendapati Pandan makan dengan lahap dan kemudian saya menyambung kerja saya di meja berhampiran. Tidak lama kemudian, kelihatan dua ekor baki anak kucing dilahirkan. Saya memastikan mereka  bergerak-gerak dari tempat kerja saya tetapi kerana takut mengganggu privasi Pandan dan juga dek kerana terbaca nasihat orang yang mengatakan 

jangan dipegang anak kucing yang baru lahir ditakuti nanti ibunya tidak dapat mengecam tetapi...

tidak beberapa lama kemudian setelah saya yakin Pandan sudah selesai dan tenang saya menghampiri untuk melihatnya lebih dekat. Seekor anak kucing kelihatan keras tidak bergerak. Saya pelik. Saya memegangnya dalam keadaan was-was tetapi naluri saya kuat menyuruh saya membeleknya. Rupanya badan anak kucing ini diselaputi kantung jernih. Tahulah saya anak yang ini sudah lemas. Cepat-cepat saya membuka kantung tersebut dan menghulurkan kepada Pandan. Pandan menjilatnya berkali-kali dan jauh di sudut hati saya memikirkannya ianya seperti sudah terlambat.

Beberapa lama kemudian, Pandan sudah mulai menjilat anak yang lain. Saya cuba sekali lagi supaya Pandan menjilat anak yang ini tetapi Pandan menjilatnya sekali dua dan terus menerus menjilat anak yang lain. Kesal kerana tidak berada dekat dengan Pandan ketika proses kelahiran jika tidak mungkin saya sedar saat anak ini menggelupur di dalam kantung. Saya sudah kehilangan anak yang paling bongsu.

Saya membelek anak yang lain. Kali ini saya tidak hiraukan petua orang supaya tidak memegang. Saya mendapati dua ekor anak lain mencari puting tetapi tidak yang seekor lagi. Apabila saya mengangkatnya, anak ini menjerit. Saya cuba kali kedua ianya menjerit lagi, rupanya tali pusatnya masih lagi terlekat dengan uri.

Cepat-cepat saya tarik Pandan,"Pandan, anak ini ada uri yang terlekat."

Seolah-olah faham Pandan bingkas bangun, menjilat dan memakan uri tersebut. Barulah anak tersebut bergerak menyertai yang lain. Saya cuma menggeleng, anak pertama tercicir, anak bongsu mati dan anak ketiga juga hampir mati.Pandan oh Pandan.

Anak yang bongsu itu saya kebumikan keesokan harinya. Biarlah saya namakan ia sebagai Bubu Junior supaya senang saya nak rujuk nanti.

24 hb Februari

Pagi-pagi saya mendapati Pandan memindah anaknya di belakang rak buku bersebelahan dengan katil. Tempat mula-mula dia melahirkan anak sulung. Saya tahu itu antara tempat kegemarannya. Tetapi ianya tidak selamat untuk anak-anak kucing. Kawasan itu seluas kurang lebih 15 cm dan disekat dengan katil yang ruang bawahnya yang rendah. Jika anak kucing terlepas masuk ke bawah katil, saya tidak dapat mengambilnya malah Pandan juga akan menghadapi masalah untuk mengawal anak-anaknya. 

Saya letak semula anak-anaknya ke dalam khemah tetapi Pandan berkeras. Setiap kali saya letak ia akan mengusung anaknya keluar semula. Malah saya pegang Pandan untuk menghalangnya, Pandan mengeraskan badannya tanda protes. Akhirnya saya mengalah tetapi tetap tidak bersetuju dengan pilihan Pandan. Tetapi saya perlu memikirkan alternatif lain yang paling selamat. 

Akhirnya saya memindahkan Pandan ke tempat yang saya yakin Pandan suka tetapi saya kurang gemar. Semasa mula-mula saya menemui Pandan, Pandan menyorok di balik tandas di rumah orang. Maka saya memindahkan Pandan di dalam bekas plastik yang besar dan meletakkannya ke bilik air yang tidak digunakan. Untuk perhatian, bilik air itu kering dan bersih. Ketika meletak anak-anak di dalam bekas plastik, hati saya sudah terdetik. Ada seekor anak kucing yang macam tersisih. Ia adalah anak kucing yang saya suruh Pandan jilat tali pusatnya yang tersangkut di uri sewaktu kelahiran.

Saya fikir Pandan suka anak-anaknya diletakkan dalam bekas plastik besar tersebut. Namun dia memindahkan berdekatan dengan mangkuk tandas. Dalam hati saya berkata, "kan dia suka benar menempel di situ". Saya biarkan dulu, risau jika ianya menjadi mudarat apabila anak-anak itu selalu dipindahkan.

Seperti biasa anak kucing yang saya perasan sebelum ini tersisih lagi. Biarlah saya namakan ia Arang supaya mudah untuk saya menulis. Jika Pandan dan anak-anak di sebelah kanan tandas, Arang akan keseekoran di sebelah kiri. Saya ambil dan letak berdekatan dengan Pandan. Begitulah rutin saya setiap kali Arang tersisih.

Pada malamnya hati saya tidak sedap kerana Arang tersisih. Saya rasa Arang mungkin tidak dapat susu yang cukup. Maka malam itu juga saya menggoogle, bagaimana hendak menyusu anak kucing?

Semua sumber yang saya dapat ialah jangan beri anak kucing susu lembu, malah susu kambing juga tidak baik. Tetapi buat masa sekarang saya cuma ada susu kambing. Saya teringat waktu saya kecil dulu, ada juga anak-anak kucing yang tidak beribu. Tetapi emak memberikan susu apa yang ada, alhamdulillah hidup juga mereka sampai boleh berjalan.

Maka saya cuba menyusukan Arang setitik dua. Itu sahaja yang dapat Arang telan. Saya merancang untuk membeli susu dan peralatan yang lengkap kerana saya fikir Pandan perlukan bantuan untuk menjaga anak-anaknya.

25 hb Februari

Ada sesuatu yang membuat saya ralat, kedai kelengkapan haiwan hanya buka pada pukul 10 pagi. Arang tentulah kelaparan waktu itu. Jadi saya menyusukan Arang sekali lagi dengan susu kambing sekadarnya. 

Selepas itu saya masuk bekerja dan kerana sibuk dengan mesyuarat saya tidak dapat mencuri masa untuk ke kedai, malah makan tengahari pun tak sempat. Yang saya sempat hanyalah menelefon kedai untuk memastikan stok susu dan botol ada. Saya juga sempat menyusukan Arang setitik dua sambil berdoa supaya Arang dapat bertahan.

Saya berhenti kerja awal, lebih kurang pukul empat lebih dan mendapati Arang sudah keras tidak bergerak. Saya memegang dan memicitnya tidak percaya. Badannya masih lembut, mungkin Arang masih ada. Maka saya segera membalut Arang dengan kain dan bergegas ke hospital. Hospital tutup pukul 6. Masih sempat. Saya tidak membawa Pandan dan anak-anak yang lain kerana ianya akan melambatkan saya.

Bayangkan memandu dalam keadaan hujan dan sesak pada petang Jumaat. Saya menekan minyak selajunya dengan harapan cepat sampai. Ketika terperangkap dalam kesesakan di Batu Caves, saya menelefon hospital supaya mereka maklum kedatangan saya.

"Maaf Cik kami sudah hendak tutup."

"Tolonglah kecemasan ni..."

"Maaf, Cik boleh bawa ke Animal Centre di Jalan Tun Razak. Maaf ye."

Saya bingung, jam baru menunjukkan pukul lima. Lagi sejam pukul 6 petang.Jika saya memandu ke Jalan Tun Razak, saya pasti tidak dapat sampai. Tentulah lagi sesak jika hendak dibandingkan sekarang.Air mata bercucuran sebenarnya kerana berada dalam situasi tidak berdaya.

Akhirnya saya berpatah balik ke klinik yang saya pernah lawati. Alasan kenapa saya ke hospital kerana sebelum ini klinik tidak ada fasiliti untuk kucing mengandung.

Sampai saja ke klinik, saya menerkam ke pintu masuk membawa Arang. Tentulah ditahan dengan staf kerana Covid SOP dan sebagainya.

Saya cuma ingat yang saya berkata,"Tolong tengokkan kucing saya, dia tak bergerak." Jujur ketika menulis ini saya tidak ingat apa yang saya katakan. Cuma masa itu air mata sudah bergenang.

Saya dapat rasakan pekerja yang menahan saya itu faham, cepat-ceoat dia mengambil Arang dan membawanya masuk. Sebelum itu sempat  dia menyuruh saya mendaftar.

Setelah selesai mendaftar, pekerja tersebut membawa saya ke bilik Arang dirawat. Doktor menggelengkan kepala. "Sudah tidak ada puan." kata doktor sambil melekapkan teleskop ke badan Arang.

"Tapi tengahari tadi dia masih hidup..." saya dalam penafian. 

"Masih baru lagi ni. Lihat bahagian kaki masih lembut. Mungkin dalam beberapa jam."

Air mata berlinangan sambil itu saya cuba bertenang. Saya memberitahu doktor apa yang saya buat sebelum ini. Saya masih ada dua ekor anak kucing yang berkemungkinan mengalami masalah yang sama.

"Selalunya apabila ibu kucing menjauhi anak kerana mereka sudah tahu anak itu tidak survive. " Doktor tentulah hendak menenangkan saya."It's okay. The baby in the better place, no more pain." Doktor cuba memujuk saya.

Setelah itu dia mengajar saya menyusu anak kucing. Untuk anak kucing yang sangat kecil, jika tidak ada botol yang sesuai picagari sudah mencukupi. 

Saya tidak membawa pulang Arang, saya menggunakan perkhidmatan pengebumian yang disediakan. Saya baru saja mengebumikan Bubu Junior, saya tak rasa saya berdaya membawa Arang pulang.

Saya pulang ke rumah dengan dua paket susu dan dengan perasaan yang sukar digambarkan. Kalau ikutkan perjanjian dengan tuan kucing jantan, saya sepatutnya membahagikan anak-anak kucing. Sebelum ini saya gembira kerana ada empat ekor anak kucing. Jadi cukuplah untuk saya dua ekor, itupun saya mahu seekor sahaja. Yang seekor lagi saya sudah merancang untuk menghadiahkan pada kawan yang memang dari mula lagi hendakkan anak kucing. 

Tetapi setelah rasa sakitnya kehilangan anak-anak kucing ini saya rasa ianya tidak berbaloi untuk menyerahkan pada orang lain. Pernah ada orang meminta anak kucing Pandan jika dia melahirkan, waktu itu Pandan tidak mengandung dengan percuma.

Saya gelak,"Percuma, ingat mudah ke nak bela kucing. Anak-anak dia perlu diberi makan sebelum diberikan pada orang."

Orang itu menjawab,"Alaa, awak dapat Pandan pun percuma."

Memang saya tak beli Pandan tetapi tenaga, wang dan komitmen yang saya berikan melebihi harga kucing di pasaran. Apabila musibah ini menimpa saya, saya memikirkan betapa dulu saya fikir bela kucing ini mudah. Jika ada orang mengatakan membela kucing itu mudah, bermakna mereka hanya sekadar bela. Nak hidup, hidup. Tak nak hidup sudah.

Tetapi jika mereka membela kucing, menjaga kebajikannya nescaya mereka akan faham kenapa sesetengah kucing menjadi begitu mahal malah sesetengah tidak dapat dijual. Pernah saya melihat seorang lelaki yang membawa kucingnya yang demam. Dia tidak mempunyai carrier pun, kucing itu dibedung dengan kain dan didukung seperti bayi. Sayu bila teringat yang lelaki tersebut bukan orang berada pun. Sanggup naik motosikal ke klinik demi merawat kucing yang sakit.

Maaflah, mungkin penulisan ini sukar untuk difahami tetapi saya pasti sesiapa yang membela kucing dengan kasih sayang akan berasa sakit apabila sesuatu yang buruk menimpa kucing mereka.

Malam itu saya menyusu kedua-dua ekor anak Pandan yang berbaki. Saya perasan anak yang sulung Pandan yang berbadan tegap dengan kuat dan menolak susu. Saya tidak memaksa lagipun anak yang sulung ini gemuk. Tetapi anak yang kedua agak kecil dan saya tak boleh kehilangan ini pula. Anak kedua ini rupanya comel. Seperti kucing dalam cerita Tom dan Jerry. Dia berbeza dengan adik beradik lain kerana bertopeng dan berstokin putih. Yang ini ada sedikit celupan dari Pandan sedang yang lain semua satu warna.

26 hb Februari

Pagi itu selepas Subuh saya menyusukan anak kucing yang kedua ini. Biarlah saya panggil dia Koci sempena nama kuih Koci yang lembut dan diperbuat dari campuran tepung pulut hitam. Warnanya kan seakan kekelabuan putih begitu.

Kemudian saya meneruskan rutin seperti biasa sehingga pukul 11 saya mendapati suhu badan Koci agak sejuk. Secepat kilat saya bersiap, kali ini saya membawa Pandan dan anak-anaknya. Kelam kabut saya ke klinik yang sama. Allah saja yang tahu perasaan saya, semalam saya sudah kehilangan seekor. Saya tidak mahu ada kematian lagi. Malah saya sudah memasang niat, jikalah yang seekor ini hidup saya tidak akan menyerahkannya kepada orang lain. Mungkin mereka mati sebab saya sudah awal-awal merancang untuk membela seekor sahaja, begitulah serabutnya pemikiran saya.

Sampai ke klinik staf lain pula yang menjaga pintu. Staf ini agak bertegas tentang temujanji tapi saya berkeras, semalam anak kucing saya sudah mati tolonglah selamatkan yang seekor lagi. Akhirnya dia membenarkan saya masuk.

Kali ini doktor yang lain pula memeriksa Pandan anak beranak. Pendapat doktor anak-anak Pandan sihat cuma Koci kelihatan tidak pandai menyusu. Kali ini doktor yang menunjukkan cara menyusukan Koci. Dia memberi saya picagari yang lebih kecil. "Kalau yang besar takut dia tersedak." Saya bertanya bagaimana hendak tepuk belakang anak kucing setelah menyusu? Saya ada melihat tip-tip di internet tetapi agak takut untuk mengamalkannya.

"Tidak perlu untuk anak kucing yang terlampau kecil. Mereka juga tidak minum banyak. Jangan paksa kalau mereka tidak mahu minum. Asalkan minum walaupun sedikit sudah mencukupi." 

Koci minum lebih kurang setitik. Setelah itu saya meninggalkan doktor dan jururawat menguruskan Pandan dan anak-anak sementara saya menyelesaikan pendaftaran. Apabila saya pulang mereka sudah menyediakan carrier saya dengan pelapik dan sarung tangan yang berisi air suam supaya anak-anak kucing tersebut hangat. Sebelum pulang saya sempat membeli setin susu kucing dan pulang terus ke rumah.

Saya pulang ke rumah dengan semangat. Perut berkeroncong lapar tetapi saya perlu mengeluarkan anak-anak kucing tersebut dan memastikan mereka selesa.

Saat saya mengeluarkan Koci, dia sudah keras.

Dia sudah keras.

Saya memegangnya dengan rasa tidak percaya. Saya tekan dan cuba rasa denyutan, seperti tidak ada. Saya terdiam dan saya tidak pasti berapa lama saya terkaku begitu. Malah perut saya berhenti berkeroncong.

Begitulah pengakhiran Koci. Dari empat ekor anak kucing yang dijangka hidup cuma tinggal seekor sahaja yang tinggal.

Malam itu hujan lebat, saya sudah berdamai dengan takdir. Keesokannya hujan renyai-renyai sewaktu saya keluar mengebumikan Koci. Kubur Koci berdekatan dengan kubur Arang, di bawah pokok yang paling redup. Saya fikir kucing-kucing ini pasti suka di sini. Tenang.

Begitulah kisah anak-anak kucing saya. Sudah lama saya tidak berperasaan seperti ini dengan kucing. Antara anak kucing yang paling memberi kesan kepada saya ialah Abi. Sehinggakan saya selalu tersasul memanggil Pandan dengan nama Abi. 

Ramai berteka-teka kerana apa anak Pandan mati. Mungkin kerana lemas, bersalin awal dari jangkaan, fitrah kelahiran pertama dan lain-lain. Saya tidak mahu berbincang tentangnya lagi kerana tidak apa yang dapat dilakukan. Biarlah saya bersedih dengan aman.

Saya harap anak sulung Pandan hidup dengan sihat menemani ibunya. Saya harap Allah memakbulkan doa saya, sekurang-kurang ada seekor yang menemani Pandan dan memberinya pengalaman menjadi seekor ibu.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba