Langkau ke kandungan utama

Entri 179 : Aku sebatang pensil ...


Aku sebatang pensil, berwarna biru. Di batang tubuhku terukir dengan tinta emas nama pelangganku, sebuah rangkaian hotel terkemuka di dunia.

Aku tidak berapa pasti dari mana asal usulku. Cuma menurut cerita aku ini kacukan dari dua bangsa yang sangat berbeza. Samada ayahku berasal dari kayu kayan yang hidup berakar di bumi ataupun ibuku mungkin galian dari tanah. Plumbum barangkali.

Aku masih ingat ketika aku diusung keluar dari kilang, bersama-sama dengan kawan-kawanku. Kami dibahagikan ke beberapa cawangan hotel di seluruh Malaysia. Setibanya kami di hotel, kami diletakkan di dalam bilik berasingan, di atas meja bersama buku nota kecil.

Tetamu datang dan pergi. Kadang-kadang mereka menggunakan aku, mencatatkan nombor-nombor dan kemudian aku ditinggalkan di atas meja semula. Aku tidak ingat berapa lama aku terdampar di atas meja,  jika ada tamu yang cemerkap aku terpelanting di bawah meja. Juru kemas akan memeriksa keadaanku dan meletakkan aku semula di atas meja.

Suatu hari ada seorang wanita menginap di bilik hotel. Wajahnya masam. Aku jarang sekali menerima tetamu yang berwajah serius. Melalui perbualannya di telefon aku menjangka dia akan menginap di bilik ini dalam jangka waktu yang lama.

Dia jarang berada di bilik, jika ada dia akan membuka laptop dan bekerja dengan tekun sekali. Aku ingat lagi tingkahnya yang tegang. Jarang tidur di atas katil. Kadang-kadang di tengah malam akan bangun, membuka laptopnya dan menaip laju. Malah di atas katil pun dia masih dengan laptop. Kadang-kadang jika ada hari yang dia tidak keluar, dia akan memesan makanan, kemudian dimakan sedikit sambil membuat kerjanya. Ada juga malam yang dia terjaga dari tidur dan menangis teresak-esak.

Sehinggalah suatu hari, aku rasa itu hari terakhirnya menginap di bilik itu. Dia sedang duduk mengadap laptop, kosong. Fikirannya seperti menerawang jauh. Bau kopi dari cawan yang diletakkan berhampiran denganku harum sekali. Tiba-tiba matanya menangkapku.

“Ahhh, pensil. Lama betul tak guna.” Dia mengambilku lalu melakar gambar-gambar comel. Ada arnab, bunga, kucing dan matahari. Jika melihat dari segi lakarannya sesiapapun takkan akan menjangka bahawa dia seorang yang comel. Aku akan ingat momen itu,  saat pertama kali aku melihat dia tersenyum. Akan kuingat selagi nyawa dikandung badan.

Dia berkemas-kemas dan juga menyimpanku ke dalam begnya. Eh, aku diculikkah?Apakah nasibku selepas ini? Aku menjadi gundah gulana.

Benarlah, setiap kejadian mempunyai hikmah yang tersendiri. Sampai sahaja di rumahnya aku dibiarkan di dalam beg selama berhari-hari sehingga suatu hari aku dikeluarkan dan diletakkan bersama beberapa pen mata bulat berwarna hitam.

Bermulalah kehidupanku yang bosan sekali, pen-pen mata bulat memahami perasaanku kerana mereka pun sudah tidak ingat berapa lama mereka di situ dan bila kali terakhir mereka digunakan. Salah satu daripada mereka mengalami kekeringan dakwat kerana terlalu lama terperuk di situ.

Menurut pen mata bulat, Siti; wanita yang menculikku itu selalu membawa sebatang pen mewah yang digunakan untuk tandatangan. Dia jarang sekali menulis di atas kertas. 

Rutin Siti di rumah atau di hotel sama saja. Mukanya sentiasa masam dan selalu menelaah depan laptop. Cuma satu hari aku sendiri tidak pasti apa yang telah berlaku tetapi Siti membawa pulang buku yang kosong dan beberapa set pensil berwarna warni. Waktu itu aku sedikit terkilan kerana siapalah aku yang bermata hitam ini jika hendak dibandingkan pensil-pensil yang cantik itu.

Tetapi keajaiban berlaku, Siti menggunakan aku. Dia melakar gambar-gambar comel dan kemudian mewarnakannya. Malah pen mata bulat pun digunakan juga. Itu adalah saat yang paling indah kerana kami bekerja dalam suasana yang riuh dan ceria terutama sekali pensil-pensil yang berwarna warni yang suka mengusik. Kami selalu bermain teka-teki mengenai lakaran Siti.

"Biru... bersedia Siti seperti akan melukis awan." pekikku. Tetapi Siti mencapai Sang Hijau.
"Awan apa warna Hijau?" Sang Hijau kehairanan saat dia digores di atas lakaran.
"Mungkin brokoli!" Usik Sang Biru.
"Brokoli dikeliling burung-burung???! Biar betul?" sahut Sang Hitam. Sukar untuk memahami fikiran seni Siti.

Keadaan bertambah riuh terutama apabila kami gagal meneka lukisan Siti. Kadang-kadang kami mengambil masa berhari-hari untuk mentafsir hasil seni Siti. Lukisannya semakin hari semakin bagus.

Siti selalu memastikan buku kosong itu diconteng sebelum tidur. Kadang-kadang ada hari yang dia lupa tetapi dia pastinya terus melakar.

Kami berbual-bual tentang Siti. Pensil warna menyangka Siti orangnya yang ceria tetapi aku dan pen-pen mata bulat lebih tahu yang Siti sudah berubah. 

Dulu wajahnya masam, tidurnya lewat. Kadang-kadang dia terbangun di tengah malam dan menangis. Tetapi sekarang jarang sekali. Wajahnya bersinar. Kadang-kadang dia membeli kertas putih yang lebih besar. Dilukisnya gambar yang cantik dan kemudian ditampal di dinding.

Sedar-sedar diriku semakin pendek. Pen-pen mata bulat mengatakan kerisauannya yang sama. Tetapi aku ingat pensil-pensil muda yang berwarna warni berpesan. Sungguh aku tak sangka aku banyak belajar dari pensil-pensil kecil yang gila-gila ini.

"Umur kita memang semakin pendek. Tetapi jika dengan umur yang pendek ini dapat membuatkan insan yang bersedih tersenyum, kami rela digunakan sehingga lenyap di dunia ini."


Ya, aku bersyukur. Dari sebatang pensil di bilik hotel yang dipandang sepi, kini makin pendek diasah Siti.

Hatiku bahagia bercampur terharu  mengimbas dulu Siti yang berwajah tegang tetapi sekarang selalu  tersenyum dan ketawa.  Saat Siti mengasahku mungkin buat kali terakhir, aku berbisik kepadanya.

"Terima kasih Siti kerana menculikku dan memberi makna dalam hidupku."

Siti berhenti sebentar seolah-olah mendengar suaraku, kemudian dia melakar sesuatu yang ku kenal. Dia melukis aku dan di bawahnya dia menulis suatu nota.

Tulislah impianmu dan percayalah apa yang kau tulis akan menjadi kenyataan.



 070221

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba