Langkau ke kandungan utama

Entri 178 : Kemegahan Empayar

Beberapa hari lepas saya terjerat menonton drama siri Turki yang bertajuk Magnificient Century dan kemudian berjangkit pula ke Kosem Sultan. Drama ini berlatar belakang Empayar Turki pada era Sultan Sulaiman dan anak-anaknya.

Walaupun kebanyakan karakter berdasarkan watak sebenar dalam sejarah akan tetapi saya secara peribadi ragu-ragu tentang ketepatan fakta sejarah dalam drama ini. Malah sangat menakutkan jika penonton mengambil drama ini sebagai rujukan sejarah kerana banyak fakta yang boleh dipersoalkan kebenarannya.

Namun saya tertarik dengan drama kerana ia menonjolkan  kebudayaan dan ketinggian seni. Turki negara di antara sempadan Eropah dan Asia. Pakaian wanita wanita istana dalam drama ini seperti drama drama klasik Eropah. Malah pelakon pacak dalam drama ini semua cantik-cantik dan tampan-tampan belaka. Sehingga saya tertanya sendiri, wanita kegemaran Sultan ini dikira paling cantik adakah kerana dia betul-betul cantik atau kerana Sultan suka. Sebab kalaulah dek kecantikan fizikal, saya pasti banyak lagi wanita dalam istana yang lebih cantik. Tetapi kalau Sultan dah suka, tiada siapa berani tegur kan.

Saya tidak menonton dengan teliti kerana terus terang saya katakan masa saya terbuang dengan teruk sekali dek drama ni. Ada hari  saya tidak sedar yang saya tak tidur semalaman kerana leka menonton drama ini. Sedar-sedar sudah azan Subuh dan jika dilihat komen-komen di YouTube, bukan saya seorang yang mengalami ketagihan ini. Terutama musim berkurung, ramai yang marathon drama yang panjang. Saya salahkan diri saya 100 % . Sebab itulah saya belum berani melanggani Netflix takut terbengkalai pula blog ni nanti.

Walaupun fakta sejarah boleh dipersoalkan dalam siri ini tetapi cinematografi, mutu lakonan dan segala terperincian memang hebat. Patutlah ramai yang suka drama ini sehinggakan  ada penonton yang komen 'Hollywood series is nothing compared to Turki series' dan saya tahu ada lagi drama hebat lain dari Turki dan buat masa ini biarlah saya berehat dari ketagihan ini.

Kenapa watak itu disukai? 

Setelah menonton drama ini, izinkan saya menulis tentang kenyataan pahit. Ia tidak menyenangkan hati saya menulis tetapi sebagai peringatan untuk diri sendiri dan mengelakkan ketaksuban terhadap watak secara melampau.

Walaupun drama ini episodnya beratus-ratus tetapi secara rumusan semua episod adalah plot untuk menjatuhkan Sultan yang tidak disukai dan menaikkan Sultan yang disukai. Jika anda menyokong mana-mana watak kerana anda rasa watak itu baik hakikat yang anda perlu sedar ialah dalam drama ini tidak ada watak baik. Yang ada watak utama tetapi bukanlah watak baik. Yang membuatkan watak utama baik adalah segala tindakannya dirasionalkan. Ironi kan, dalam hidup kita itu yang sebenarnya berlaku.

Contoh jika watak antagonis , membunuh orang lain kerana dendam maka dengan mudah kita mengecamnya sebagai jahat tetapi jika watak utama melakukan hal yang sama, kita akan merasionalkan tindakan tersebut. Atau mungkin dalam perkataan yang mudah ; hipokrit.

Contoh puteri raja (watak utama) membunuh seseorang kerana orang itu membunuh raja maka setiap langkah dikira baik akan tetapi jika seseorang (bukan watak utama) itu membunuh raja kerana raja itu membunuh ayahnya maka dia dikira jahat. Siapa itu akan menentukan perbuatannya baik atau tidak. Jika dia ialah heroin, maka semua perbuatan itu diterima. 

Jadi  anda menyukai sesuatu watak itu, fikir kembali kenapa?

Pertentangan agama yang melampau

Drama ini menceritakan kehebatan kerajaan Islam tetapi drama yang beratus-ratus episod ini tidak mencerminkan gaya hidup Islam. Memang ada episod tentang dialog solat Jumaat, pembinaan masjid tetapi melihat kehidupan wanita dan dalam istana saya tertanya-tanya tentang solat lima waktu.

Mungkin ada yang berkata, alaa takkanlah solat pun nak tunjuk. Memang perkara solat bukanlah intipati drama akan tetapi jika drama ini beratus-ratus episod menggambarkan prosedur mandi, pemilihan gundik untuk ditiduri sultan secara terperinci malah babak di atas katil pun ada takkanlah prosedur solat lima waktu dalam istana tidak ada sedangkan ini kerajaan Islam. Malah ada episod Sultan berbincang tentang pembangunan masjid yang gah, saya jadi lagi tertanya bagaimana solat diamalkan oleh setiap warga dalam istana?

Melalui drama ini kita boleh melihat kebanyakan perkara dosa yang menjadi kebiasaan seperti merancang plot-plot pembunuhan, hatta bayi kecil pun dibunuh, minum arak dan zina. Akal saya yang kecil ini tidak dapat menerima dosa-dosa besar yang menjadi kebiasaan jika solat lima waktu diamalkan.

Memang orang yang solat belum tentu baik tetapi saya melihat dari segi pembudayaan. Berdasarkan drama ini saya tidak melihat solat sebagai budaya.

Pembudaayan perkara-perkara berpahala akan mengurangkan dosa-dosa lain. Tetapi pembudayaan perkara-perkara dosa akan mengurang pembudayaan perkara berpahala.

Saya berharap sejarah sebenar berlaku sebaliknya.

Isteri Sultan menentukan Sultan

Melihat kehidupan wanita dalam istana membuatkan saya bersedih atas nasib Sultan dan anak-anak baginda. 

Mungkin mereka bernasib baik kerana istana mempunyai peraturan dan kelas-kelas untuk mendidik anak-anak sultan kerana jika pendidikan anak-anak bergantung kepada ibu mereka semata, saya boleh mengatakan hancur masa depan anak-anak.

Wanita-wanita yang dijadikan gundik Sultan terdiri daripada wanita-wanita yang dirampas dan dipaksa duduk di dalam istana dan satu-satunya cara untuk survive adalah menguasai Sultan. Jadi  apakah yang menjadi pegangan hidup mereka? Kerana kebanyakannya ialah hanya hidup untuk survive, buang anak, buang saudara malah buang banyak perkara hanya untuk takhta. Menyedihkan bukan.

Apalah beza cerita fairy tale barat yang happy endingnya perlu memiliki sang putra?

Saat saya bermain catur, saya melihat Sultan hanya mampu berjalan selangkah, sedang Permaisuri/Sultanah boleh berlari-lari ke sana sini. Ianya fakta yang menyedihkan, kejayaan seorang lelaki di belakangnya adalah wanita. 

Kawan saya menambah,'kejayaan seorang wanita di belakangnya adalah dirinya sendiri.' Pahit.

Saya berharap drama ini fiksyen semata-mata, saya berharap sejarah empayar Turki yang benar dipenuhi dengan wanita-wanita soleh yang lebih memikirkan akhirat dari dunia. 

Apa pendapat anda? Sudahkan anda menonton The Magnificient Century? Jika ingin menontonnya, saya nasihatkan anda supaya tidak mengambil siri ini sebagai rujukan sejarah.

Hurrem adalah salah seorang Sultanah yang berkuasa pada era Sulaiman. Foto Google 

Nota : Drama ini bukan drama yang sesuai untuk seisi keluarga. Saya jujur tidak akan membenarkan anak-anak kecil menonton drama ini.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba