Langkau ke kandungan utama

Entri 180 : Che Salmah vs Che Yah

Che Salmah kehairanan kenapa orang menjauhi dia. Orang tidak menyahut dan seolah-olah memulaukan dia. Dia menulis status di Facebook

"Tak apalah kalau orang tak suka, yang penting Allah suka."

Ada beberapa like. Kemudian dia menaip lagi.

"Aku ni tak baik, orang lain semua orang baik. Aku seorang saja jahat. Tak apa Allah itu Maha Adil."

Ada beberapa like. Tetapi bukan dari mereka yang terdekat, mereka yang sepatutnya terasa dengan status-status yang dikemas kini. 

Begitu hari-harinya berlalu. Kehairanan, kenapa orang tidak suka aku? Aku seorang yang bercakap benar, kenapa? Malah bukan sekadar di Facebook, di Whatsaap dan apa saja. Sudah tiada siapa yang menyahut. 

Dia menganggap mereka kejam dan sengaja memulaunya sedangkan mereka sebenarnya keliru dan tidak tahu ayat apa yang sesuai untuk menenangkannya. Kerana setiap kali mereka berkata, ada sahaja yang tidak kena.

Putar semula.

Dia seorang yang berumur mungkin 40 an. Seorang yang berhati baik sebenarnya cuma kata-katanya agak sukar mendapat tempat di hati ramai orang. Kadang-kadang menimbulkan trauma selepas perbualan.

Apabila dia menulis atau berkata-kata, orang akan memikirkan banyak kali sebelum menjawab. 

"Along kenapa tak kahwin lagi?" Che Salmah bertanya.

"Jodoh belum ada lagi." 

"Ahh... tak usah risaulah. Enjoy dulu waktu bujang." Dia kemudian memberi ceramah panjang lebar.

Terkulat-kulat Along yang mendengar. Bercampur baur perasaan, dia tidak risau pada mulanya tetapi kenapa makcik ini menyuruhnya jangan risau. Jadi mungkin dia sepatutnya risau tetapi makcik ini menyuruhnya enjoy pula. Tetapi umurnya sudah 40 lebih logikkah untuk enjoy.

Ketika pergi ke rumah yang ada kematian, Che Salmah memang seorang yang prihatin. Terus berjumpa dengan balu yang sedang bersedih.

"Kamu kena kuat, bawa bersabar. Allah sedang menguji kamu." begitu nasihat Che Salmah membuatkan Che Yah pening kepala. "Kalau kamu tak kuat, Allah takkan uji." begitu katanya sedang jenazah masih lagi terbaring di sebelah.

Che Yah menarik tangan Che Salmah ke tepi. "Orang itu sedang bersedih, kamu menyuruhnya kuat pula. Cuba jadi sensitif sedikit."

Che Salmah mencemuh,"Eh betullah apa yang aku kata. Ini ujian Allah, kita harus bersabar."

Che Yah menggeleng,"Betul. Tapi kan dia sedang menghadapi ujian. Tak perlu nak disuruh kuat, sekarang pun dia tengah menghadapinya. Tak perlu nak diingat ini ujian Tuhan, dia tahu itu." Che Yah menggeleng,"kamu ini bercakap seperti kamu tahu semua. Selama ini dia merawat suami dia susah payah bukankah itu sudah menunjukkan dia kuat? Kamu yang datang sekali sekala menyuruh begitu begini." 

"Alaa... kalau dia benar dia kuat tak perlulah nak terasa hati."Bidas Che Salmah.

Begitulah. Pergi ke kenduri kahwin, kebetulan sampai waktu sibuk. Dia akan berkata,"Banyaknya kerja, kenapa ya tak ada siapa yang menolong?"

Tercengang-cengang tuan rumah tak tahu nak jawab apa. Penat buat kenduri bertambah penat melayan tetamu seperti ini.

Saat kelahiran bayi, masuk ucapan tahniah satu-satu. Disambut dengan senyuman oleh ibu bapa yang baru pertama kali menimang cahaya mata.

"Kenapa tak ada seorang pun kata anak kamu comel?" itu yang ditanya oleh Che Salmah.

Yang mendengar terdiam. Adakah orang kata anak itu tidak comel? Hodoh? Tidak ada. Ramai orang mengucapkan tahniah. Mereka tidak menjawab kerana tidak tahu apa jawapan yang sesuai dengan soalan begitu.

Kadang-kadang dia bertanya umur, kemudian memberi komen."Alaa 50 muda lagi." Tercengang orang yang ditanya tu.

Begitulah, mula-mula ada yang juga mahu berbual. Tetapi bila berbual dengannya akan terasa terhukum, ini tak kena itu tak kena. Maka dari tersalah jawab lebih baik diam. Hendak menegur tak boleh, dia sentap.

Saat dia berhiba-hiba dengan Che Yah,  Che Yah memberi kata sedas dua. Che Yah mulutnya boleh tahan tetapi bertempat. Mungkin dengan Che Salmah ini kalau didiamkan bertambah sakit hati maka sebab itu Che Yah menjawab. Atau Che Yah memang berhati tebal jadi apa sahaja perkataan yang keluar dari  mulut Che Salmah berlalu macam angin.

"Bila aku nasihat kamu tak dengar. Kamu cakap memang perkara betul tetapi tidak sensitif. Tak fikir perasaan orang lain. Kamu yang bercakap tu kena ingat bukan kamu yang memikul beban. Kamu cuma memandang tetapi bila bercakap seolah-olah kamu ni jadi hakim. Orang itu kemalangan, sepatutnya kamu bersedih dan menolong tetapi kamu terus kata itu balasan Allah sebab dia tak solat."

"Bila kena hidung sendiri, pandai pula kamu marah." Che Yah layur saja. Che Salmah diam, bertemu buku dengan ruas. Orang lain tak berani nak ambil risiko macam Che Yah.  Che Yah berani ambil risiko sebab dia tahu busuk-busuk dia Che Salmah akan cari dia juga kerana siapa lagi yang sanggup melayan Che Salmah.

"Ya lah.Aku ni tak baik, orang lain semua orang baik. Aku seorang saja jahat. Tak apa Allah itu Maha Adil." Che Salmah menjawab. Ayat klise, menandakan dia mangsa keadaan.

"Lihat, bila bercakap saja nak masukkan nama Allah.  Asalkan kamu rasa teraniaya, maka Allah di pihak kamu macamlah orang lain yang makan hati dengan perangai kamu tu tak berdoa dekat Allah."

Disebabkan Che Yah tidak membela dia, maka dia merempan seorang diri di Facebook. Like, like yang diterima dari beberapa kerat kawan yang jarang berjumpa di alam realiti. Adik beradik yang lain sudah tekan butang "UnFollow", nak tekan "Unfriend" takut Che Salmah mengamuk macam hari tu.

Mereka malas nak layan drama Che Salmah. 

Akhirnya Che Yah nekad. Che Salmah ialah adiknya, kalau bukan dia yang menegur siapa lagi. Orang makin menjauh, Che Salmah masih dalam dunianya, perasan dia betul.

Walaupun Che Yah tak mahir dengan Facebook, tak apa biar dia cuba menyahut pada status Che Salmah yang belum ada balasan itu.

"Kalau aku jadi engkau, aku tutup akaun Facebook ini dan belajar berdiam diri. Kalau tak ada perkara baik untuk diucapkan, berdiam diri lebih baik.Memang apa yang kamu ucapkan boleh jadi benar tetapi ingat ubat perlu disediakan baik-baik kerana ianya pahit."

Tahu-tahu tulisan Che Yah mendapat berpuluh Like dari saudara terdekat. 

Kredit kepada @ierazuhaira





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba