Langkau ke kandungan utama

Entri 185 : Empati

Emak masuk terus menonong ke arah Nurindah yang sedang membaca AlQuran.

"Kamu tahu tak? Adik kamu tinggalkan mak kat Tawar. Gamak dia tinggalkan mak." Emak mengadu, diikuti dengan hilai tawa Aishah yang masuk bersama bungkusan barang-barang yang dibeli tadi.

"Kamu tinggalkan emak?" Nurindah mengangkat kening ke arah Aishah sedang emak terus menuju ke dapur dengan muncung yang panjang. 

Aishah masih terbahak-bahak sambil memegang perut ketawa. "Shah mati-mati ingatkan emak dah masuk dalam kereta. Shah cuma perasan emak tak ada bila dah sampai kat Kampung Masjid." 

Aishah mula bercerita.

Apabila emak menutup pintu setelah membeli ayam, Aishah bertanya ,"Emak nak beli santan tak?"

Emak diam tak menjawab, Aishah menyangka mood emak tak berapa bagus maka Aishah pun terus memandu kereta. Sepanjang perjalanan Aishah berbual dengan emak walaupun emak diam sepanjang jalan. Nuh yang turut mengikut mereka langsung tak mahu duduk diam. Sekejap dia bergerak dari kerusi belakang ke depan. Aishah yang sedang memandu terpaksa memarahi anak saudaranya yang berumur dua tahun itu. Aishah berasa sedikit terkilan bila emak membiarkan sahaja cucunya bermain secara berbahaya. "Sampai hati emak biarkan Nuh kacau Aishah memandu." Aishah meluahkan perasaannya pada Nurindah dan meneruskan cerita.

Saat kemuncak mencabar kesabaran apabila Nuh cuba menarik gear dan dalam keadaan genting Aishah sempat menoleh ke belakang dan barulah dia tersedar bahawa emak tiada di dalam kereta. Waktu itu dia sudah sampai di Kampung Masjid yang mana hanya kurang satu kilometer dari rumah.

"Shah panik betul masa tu. Shah tengok cermin sisi takut-takut kain emak sangkut di pintu kereta. Sepanjang jalan Shah berdoa janganlah perkara buruk terjadi."

"Sebenarnya sewaktu Shah ambil emak, emak tak perasan pun Shah tertinggal dia. Dia perasan sebab Shah gelak." Aishah mengurut perutnya. Termengah-mengah dia bercerita menahan ketawa. "Rupanya emak buka pintu kereta cuma untuk letak ayam saja kemudian dia terus ke kedai runcit sebelah. Mati-mati Shah ingatkan dia dah masuk kereta sebab sebelum tu katanya nak beli ayam saja."

Nurindah menggeleng kepala sambil ketawa. "Pagi-pagi lagi kau buat  Che Odah merajuk. Di bulan puasa pula tu." 

"Memang Shah yang salah tadi. Mood emak tak berapa baik kebelakangan ni. Silap sikit saja habis. Salah beli sos cap lain pun sampai buka puasa dia berleter." Aishah mengadu.

Nurindah menanggalkan telekung sembahyang, tak jadi dia meneruskan bacaan AlQuran. Dia menuju ke dapur, dilihat emak sedang menyiang sayur.

"Sekarang pun dah kena tinggal dengan anak. Nyanyuk nanti tak tahulah macam mana." Emak berkata perlahan.

Nurindah diam. Kerisauan emak tidak boleh dinafikan tetapi tidak juga boleh dipersetujui seratus peratus. Ibu bapa makin tua, semakin cepat terasa hati. Dia sendiri juga sudah tua, jika terlalu memikirkan masa hadapan kita akan mati sebelum mati.

"Betul tu mak. Emak yang ada anak pun risau ditinggalkan." Nurindah membuka paip, membasuh tangan kemudian dia bertanya perlahan, "Emak rasa Along macam mana nanti ya? Along tak ada anak. Siapalah yang nak ambil peduli.  Entah-entah Along mati pun tak ada siapa sedar kan mak?"

Sayur yang emak pegang terlepas dari tangan, cepat-cepat emak pegang lengan Nurindah. "Along, Along jangan fikir macam tu sayang. Allah ada Along." Muka emak kelihatan pucat. Paling ditakuti apabila anak sulungnya ini bersedih hati.

Nurindah senyum. "Emak, jika emak yakin Allah ada dengan Along yang tak bersuami dan tak ada anak-anak ini, kenapa emak yang ada suami, anak-anak perlu risau kalau-kalau nanti anak-anak tinggalkan emak? Emak tak rasa ke, Allah pun tentu ada bersama emak kan?"

Emak senyum. Nurindah mengutip sayur dan menyiangnya. Kalau boleh dia tak mahu menyakiti hati emak tetapi kadang-kadang kita hanya dapat bersyukur apabila memahami ada orang yang lagi susah dari kita. 









Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan...

Entri 0: 2017 YANG BERMAKNA BAGIKU [KEMAS KINI]

DIUMUMKAN TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH 18 DISEMBER 2017 Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat menyambut Hari Maulidur Rasul, semoga kita diberikan kemudahan untuk mengikuti dan berusaha mencontohi Nabi Muhammad S.A.W. Amin. Ini kali pertama saya berhubung dengan anda secara terus.Semoga anda suka dan mendapat faedah daripada entri entri di blog ini. Dengan rasa rendah hati dan syukur, saya ingin menghadiahkan dua planner dan satu buku nota kepada kalian yang terpilih.Ianya sebagai tanda terima kasih atas kesudian anda membaca blog saya. Dua acara diadakan serentak, yang membezakan adalah satu acara adalah undian dan satu lagi dipilih secara ekslusif oleh saya sendiri.Berikut adalah syarat-syarat : Terbuka kepada mereka yang beralamat di Malaysia. Pilih entri selain dari entri ini untuk anda tinggalkan komen. Ciri-ciri komen: Komen tersebut tidak ditulis di entri ini.Entri ini terhad untuk contoh dan soal jawab mengenai acara ini sahaja. Mulakan komen dengan ...

Entri 52 : Trauma

"Kamu sudah ada kawan?" Nenek bertanya. Nurindah menggeleng."Tidak ada." Dia kalau boleh mahu mengelak soalan begitu bukan kerana jawapannya tidak ada. "Eh...cuba-cubalah cari."Makcik-makcik menyampuk."Umur kamu sudah tua, bila lagi kamu mahu berlaki?" "Tak biasa."Dia membalas.Malas. Kalau boleh mahu dibalas, dia tak berani, dia penakut.Di sekelilingnya lelaki berlagak sebagai Tuhan kerana agama menyuruh wanita mentaati mereka.Maka berleluasa lelaki yang berlagak alim , menunjuk kuasa. Bertimbun-timbun kes suami tak beri nafkah, tak cukup mendera anak isteri.Isteri dibuat bagai hamba.Lihatlah sekeliling, kenyataan itu pahit bukan?Keganasan terhadap wanita berlaku di negara Islam padahal Islam memberi hak yang adil untuk wanita. Di sini sahaja, lihatlah si isteri memberi peluang suami makan dulu .Memasak dan menjaga anak.Selepas makan, barulah isteri boleh hadap makanan, itupun sisa si suami sambil berebut dengan anak.Sedih b...