Langkau ke kandungan utama

Entri 191 : Entiti

 Dia sedar siapa dirinya namun dia sudah nekad. Dia mesti menghubungi Doktor Azrin walau apa cabaran sekalipun kerana ada jiwa suci yang perlu diselamatkan.

Segalanya bermula beberapa bulan yang lalu saat Siti Nurbaya singgah bercuti di rumahnya. 

"Indah, rumah kamu ni keraslah. Semalam aku terdengar suara ketawa dari bilikmu." Nurbaya memberitahu dan dengan pantas dia menafikan.

"Aku tidak pernah dengar atau lihat apa-apa yang pelik. Jangan cuba-cuba takutkan aku." Dia memberi amaran, siapa tidak kenal sepupunya Nurbaya mulut puaka. 

Nurbaya ialah anak Pak Tua yang dikenali alim dan pakar dalam ilmu-ilmu mistik. Nurbaya selalu melawat Indah namun jarang sekali Indah ke rumah Pak Tua.

"Bukan aku tak mahu melawat Pak Tua tapi rumah kau tu sunyi. Sudahlah sunyi dalam hutan pula tu. Seram weh." Begitu jawapan Indah separuh bergurau. Sebenarnya dia kurang selesa kerana Pak Tua selalu berbual tentang perkara-perkara seram seperti dunia luar, makhluk pelik dan sebagainya.

Sekarang giliran rumahnya pula terasa seram. Seingat Indah, selama ini perkara-perkara yang pelik tidak pernah berlaku atau mungkin dia sendiri tidak pernah ambil peduli. Mungkin perasaannya menjadi sensitif setelah mendengar kata-kata Nurbaya. Puaka betul Nurbaya ni.

Pagi itu dia bangun awal sebelum Subuh. Dia menyucikan diri mahu berTahajud dan membaca alQuran seperti kebiasaannya. Kedengaran anjing menyalak sayu, hatinya berdegup pantas. Dia biasa mendengar salakan anjing, cuma kali ini lolongan anjing lebih panjang. Mungkin anjing tu cedera, dia menyedapkan hati sendiri.

Dia mengangkat takbir dan cuba khusyuk. Setelah selesai solat dia berzikir sambil matanya melorot di almari kecil, tempat alQuran disimpan bersama kitab-kitab lain.

"Eh, di mana?" Hatinya tersentap sendiri. Matanya melilau mencari al Quran. Selama ini al Quran tersusun di situ, bersama buku-buku yang lain!

Diselongkarnya almari kecil tidak ada. Bukan setakat al Quran, tasbih, kitab-kitab lama turut hilang. Siapa pula yang mengalihkan kitab-kitab ni?!!

"Hilang?!!" Dia kebingungan, selama dia mendiam di rumah ini buku-buku agama itu tetap di almari kecil, tempat dia beribadat. Tidak pernah berubah.

Dia masuk setiap bilik, menyelongkar setiap sudut dan akhirnya dia menemukan buku-buku tersebut berselerakan di satu bilik kecil. Siapa yang berani mencampak ayat-ayat suci ni? Perasaannya bercampur baur antara seram dan geram.

Hatinya menjadi tidak tenteram sepanjang hari. Mahu diadukan pada Pak Tua, malas sekali. Takut nanti sampai ke telinga ibu bapanya yang menetap di Mekah. Ibunya sentiasa mencari alasan supaya dia pulang ke Mekah sedang dia sangat selesa di sini.

Malam itu dia tidak lena tidur, terkebil-kebil memusing-memusing. Saat itu telinganya menangkap seperti suara keluhan wanita. Dia cuba menutup mata, terasa sejuk sekali. Kemudian bunyi ketawa pula.

Hatinya memejal. "Hoi!" Dia sendiri tidak pasti kenapa dia menjerit begitu namun bunyi-bunyian itu berhenti. Huh, tahu takut.

Akhirnya dia menghubungi Nurbaya. "Kan aku dah cakap." Tempelak Nurbaya.

Indah menelan air liur. "Kamu jangan beritahu Pak Tua lagi. Aku takut nanti disuruhnya aku pindah atau berita ini sampai ke ibu." pesannya pada Nurbaya.

"Kamu tak takut ke? Kamu tu sendirian di situ, macam mana kalau terjadi apa-apa nanti?" Nurbaya menyuarakan kebimbangan.

"Kita ni Muslim, kita baca quran, solat dan sebagainya.Kena yakin bahawa benda-benda tu takkan berani nak melampau batas." balas Indah, namun dalam hati Allah sahaja yang tahu. Dia takut cuma dia sangat sayangkan rumah tersebut. Selama ini rumah tersebut damai dan menyejukkan terutama pemandangan gunung ganang yang indah. 

Malam itu Indah masih tidak boleh tidur. Dia menghafal Surah ar Rahman, surah kegemarannya berulang-berulang kali. Sayup-sayup terdengar suara tangisan. Indah berhenti sejenak, cuba mendengar dengan teliti. Aku ini berhalusinasikah?

Semakin lama semakin jelas tangisan tersebut. 

AllahuAkbar. Indah meneruskan bacaannya namun  tunggang terbalik. Semakin kuat pula tangisan tersebut.

"Tak boleh jadi ni." Indah bingkas bangun, keluar dari bilik mencari bunyi tersebut. Terasa tubuhnya menggigil tetapi perasaan ingin tahu meluap-luap. Seperti dijangka, suara itu datang dari bilik kecil berhampiran dapur. Bilik di mana kitab-kitabnya dicampak sebelum itu.  

Dia memegang nob pintu, dadanya berdebar-debar serba salah, "Aku memohon perlindungan Allah dari syaitan yang direjam." terus dia menolak daun pintu.

Entiti tersebut merupa kanak-kanak berambut panjang mencecah pinggang menangis. Matanya merah dibasahi ... DARAH!

"Astaghfirullah..." Indah tercungap-cungap, terasa badannya sejuk. Mimpi ngeri rupanya.

*****

Mimpi malam tadi memang mengerikan dan pagi ini seluruh dapur berbau busuk. Dia menyelongkar dapur cuba mengesan punca bau tersebut. Seperti bau arak, namun dia tidak menjumpai apa-apa. Petanda apa ini? Hatinya bertambah tidak tenteram.

"Kenapa tak nak duduk saja dengan kami di sini? Keluarga kamu di sini, senang nak beribadat." Tempawan meleterinya. Leterannya bertambah panjang apabila cerita anaknya sampai melalui Nurbaya.

Seperti yang dijangka, sepupunya ini tidak  boleh menyimpan rahsia. Menyesal juga dia bercerita pada Nurbaya. Indah memaki di dalam hati.  

Memanglah Mekah itu tumpuan seluruh dunia, namun hatinya terlekat di rumah ini. Bersendirian di sini membuatkan jiwanya tenang, tidak perlu mendengar bebelan ibu atau hal-hal politik keluarga.

Aku harus menyelesaikan masalah ini jika tidak hidupku takkan aman. Hatinya berbolak balik, perlukah dia meminta tolong Pak Tua. Jika Pak Tua masuk campur maka bertambah panjang lagi cerita ini.

Maka Indah mendirikan solat Isthikharah. "Ya Allah, aku ini hamba Mu yang kerdil.Bantulah aku." Zikir Nabi Yunus a.s yang dipelajari daripada al Quran diulang-ulang sepanjang hari.

Malam itu dia tidak mahu tidur. Dia tidak pasti apa yang ditunggunya. Samada suara wanita mengilai atau tangisan budak. Pada masa yang sama dia berdoa supaya dia tidak mendengar apa-apa. Biarlah suara itu hilang terus.

Tiba-tiba suara tangisan itu kedengaran, sayu sekali. 

Indah bingkas, cepat-cepat dia ke bilik kecil itu. Ditolaknya daun pintu, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan berambut panjang berdiri di atas katil mengadap jendela. Serupa dalam mimpinya.

Perlahan-lahan dia menghampiri anak kecil itu. Tangannya terhenti seketika saat hujung jarinya hampir sekali dengan bahu entiti tersebut. Dalam kekeliruan yang mendesak jarinya tersentuh bahu anak itu, anak itu berpaling.

Dup. Indah terpinga sebentar. Kemudian dia menarik nafas lega, mata kanak-kanak itu basah dengan air mata bukan dengan darah seperti mimpinya.

Kanak-kanak itu mengesat air matanya, memandang Indah. "Siapa kamu?" Mata mereka bertentang. Cantiknya makhluk ini, detik hati Indah.

"Aku Indah. Kenapa kamu menangis?" Dia merendahkan dirinya supaya sama tinggi dengan anak kecil tersebut.  Entah bagaimana rasa takutnya berganti rasa simpati. Kanak-kanak itu seperti benar dan tidak menyeramkan seperti mimpinya.

"Aku rindu papa." jawab kanak-kanak itu pendek, seekor patung arnab berwarna putih yang lembik dan lusuh dipeluk erat.

Rupanya entiti ini tidaklah mengerikan sangat. "Jangan menangis. Mari tidur. Baca doa tidur, tahu tak?"  Indah bertanya, pantas anak itu menggeleng.

Indah mengajar anak itu doa tidur. Kemudian dia mendodoinya dengan zikir yang dia tahu. Dalam hatinya terdetik, jika makhluk ini jahat masakan dia mahu diajar doa tidur. Benarlah kata Pak Tua, kita ini selalu takut dengan perkara yang kita tidak tahu. 

Keesokan pagi entiti tersebut tidak kelihatan. Beberapa minggu berlalu, Indah sudah dapat melihat corak kejadian. 

Suara ketawa lelaki dan wanita dan selalunya dituruti tangisan kanak-kanak. Tidak terlalu kerap tetapi berlaku mungkin dalam sebulan sekali atau dua tiga kali. Entiti yang dikenali sebagai Anna itu makin rapat dengannya. Indah tidak berasa takut dengan Anna, malah dia merasakan Anna seorang anak yang kesunyian dan mungkin ketakutan. Cuma suara wanita dan lelaki masih lagi menjadi tanda tanya. 

"Banyak perkara yang perlu aku siasat." Dia memberitahu Nurbaya walaupun dia tahu Nurbaya mulut tempayan. Mujur juga Pak Tua bersikap gentleman, tidak datang menerjah selagi dia tidak meminta pertolongan. 

Malam itu Anna menangis lagi, kali ini Indah sudah tahu apa yang perlu dibuat. 

"Uncle jahat... mama pukul Anna. Indah tolonglah Anna. Anna rindu papa." Anna menunjukkan bekas lebam di lengan dan pehanya. Darah Indah menyirap ke muka. Kemungkinan besar Anna ini jelmaan anak yang mungkin mati didera, ditanam di mana-mana sekitar rumah ini. Indah merasakan dia terpilih untuk menuntut bela atas kematian Anna.

"SIAPA KAMU??? BERANI KAMU GANGGU ANAK CUCU ADAM???"

Indah terkejut dijerkah begitu, terasa dirinya melayang. Anna kelihatan terpinga-pinga apabila tiga lembaga menerjah masuk.

Jelas.

Indah dapat melihat semuanya; seorang wanita berambut perang, seorang lelaki dan seorang tua yang hodoh.

"Kamu bercakap dengan siapa Anna?" Wanita itu menerpa ke arah Anna sedang Anna seperti mahu menyorok di balik katil."Beritahu mama siapa?!" Wanita itu menggoncang bahu Anna, Anna menggeleng. Direnungnya Indah yang juga kebingungan di sudut bilik.

Lelaki tua itu membaca sesuatu, sesekali seperti ayat Quran tetapi Indah tahu itu bukan ayat Quran. Terasa menyirap darahnya, bukan kerana takut tetapi geram. Musyrik!

"Ayat apa yang kau baca ni bodoh!" Indah menjerit. Berani betul manusia ini mengubah kalam Allah.

"Tahu takut." Orang tua itu ketawa kecil memerli.

Berkerut Indah dibuatnya, bila masa pula aku ketakutan? Kamu baca Quran pun tak betul.

"Macam ni lah Tok Moh. Anna selalu bersembang seorang diri, badannya pula lebam-lebam. Kami yakin ada benda tu dalam rumah ni." Wanita itu bercerita kepada lelaki hodoh yang dipanggil Tok Moh. 

"Tipu!" Namun suara Indah tidak sampai ke deria mereka. Rupanya Allah cuma membenarkan suaranya menembusi Anna tetapi tidak Tok Moh dan yang lain-lain. Mereka manusia sedangkan dia jin. Dimensi berbeza, hanya boleh berhubung dengan izin Allah.

"Barang-barang kat rumah ni selalu berubah dan berselerak. Ada satu malam tu ketika kami-" Wanita itu terhenti apabila lelaki muda di sebelahnya menggelengkan kepala mengisyaratkan sesuatu.

"Tak apa. Jin betina ni. Kita manusia, kita lagi kuat dari dia. Jangan risau, malam ini kita test saja dulu." Tok Moh membalas.

Jijik Indah mendengar kata-kata Tok Moh. Nampak gayanya dia perlu mendapatkan pertolongan Pak Tua.

******

"Anna, seorang kanak-kanak berusia empat tahun. Keluarganya baru saja berpindah ke rumah tersebut. Ayahnya bertugas sebagai seorang doktor terkandas di Indonesia sudah hampir enam bulan kerana covid. Ibunya-"

Nurbaya dan Indah saling berpandangan mendengar cerita Pak Tua, masing-masing sudah menjangka apa yang terjadi dengan ibu Anna.

"Ibunya bermain kayu tiga dengan lelaki lain." Pak Tua menggeleng, diurut janggutnya yang panjang.Umurnya sudah mencecah 700 tahun lebih, dia sudah masak dengan kerenah makhluk bernama manusia ini.

"Kita mesti selamatkan Anna Pak Tua."

Pak Tua menggeleng. "Jangan diganggu hidup manusia, mereka itu khalifah di bumi."

"Khalifah apanya jika malam mengulit zina dan arak." Sebelum ini rumah itu didiami orang yang bertakwa sekarang didiami oleh manusia yang kaki maksiat. Patutlah aku rasa panas saja. Indah mencebik.

"Mereka diam di alam lain Indah, kita ini di alam lain. Dengar nasihat ibumu, pulang ke Mekah segera." 

Nasihat Pak Tua seperti mencurah air di daun keladi. Indah sedar dirinya siapa, dia juga makhluk Allah yang taat.

Dia mesti menghubungi Doktor Azrin walau dengan apa cara sekalipun demi Anna.

... bersambung suatu hari nanti. =')



















Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba