Langkau ke kandungan utama

Entri 187 : Anak Tentera

Sekitar tahun 1989 di sebuah perkampungan kecil bernama Binjul. Seingatnya pada waktu itu tidak ada bekalan elektrik. Bekalan air juga tidak ada, penduduk cuma bergantung pada air bukit dari Lata Bukit Hijau yang sejuknya seperti ais mencucuk ke tulang.

Ibunya seorang suri rumah dan ayahnya seorang tentera yang selalu tidak berada di rumah. Apabila mereka pindah di rumah lama dua tingkat, penduduk kampung tertanya-tanya siapakah penghuni rumah yang dikatakan berhantu itu?

Dia sendiri tidak pernah melihat atau mendengar apa-apa yang aneh, cuma rumahnya jarang dikunjungi orang selain saudara mara. Bapa mertua ibu yang dipanggil Che selalu datang melawat terutama jika ayah berada di luar kawasan.

Kadang-kadang air bukit tak mengalir kerana kemarau. Ibu terpaksa mengangkut air di perigi di belakang rumah. Jika cuaca panas, air perigi itu menjadi kering dek kemarau dan mereka terpaksa berjalan ke perigi lain  yang jauhnya hampir satu kilometer. Dia masih ingat pagi-pagi dalam keadaan gelap mereka berjalan melalui kebun getah untuk mandi dan sebagainya. 

Saat itu dia dan adik-adik cuma tahu seronok atau bergaduh seperti anak-anak yang lain jika disuruh ibu itu dan ini. Sekarang saat dia menaip entri ini, dia terbayangkan betapa susah payahnya hidup ibu sebagai isteri tentera.

Mereka bersyukur apabila Che datang. Ringan sedikit beban ibu.  Che akan mengangkut air perigi  siap-siap, membaiki apa yang patut. Dia masih ingat yang mereka mengerumuni Che sewaktu Che menyiapkan perangkap tikus. Masih terbayang-bayang wajah ceria seorang datuk menjawab soalan cucu-cucu.

Che seorangnya yang mahir bertani dan kerja-kerja kasar. Tanah di belakang di rumah dikerjakan, pokok-pokok buah-buahan seperti manggis, durian ditanam. Lumrah orang dulu, melakukan sesuatu bukan untuk diri sendiri. "Kalau aku mati, sekurang-kurangnya cucu cicit aku boleh merasa durian."Orang dulu-dulu kebanyakan rajin bertani dan meneroka hutan. Che seorang yang sasa walaupun berusia, mampu mengayuh basikal tua dari Ulu Bakai ke Binjul semata-mata melawat cucu-cucunya.

Pernah ibu terbangun lambat kerana keletihan menguruskan anak-anak apatah lagi ibu sedang mengandung. Seperti kebiasaan menantu tentulah berasa panik dan malu dengan bapa mertua. Tetapi Che sangat tenang malah menyuruh ibu berehat.

"Toksah dok gaduh Mek. Ayah dah jerang air, nasi goreng pun dah masak. Makanlah Mek." Dijemputnya menantu makan sarapan. Bila dikenang kembali, mana nak cari datuk yang menjaga menantu dan cucu sebegitu sekali.

Setiap kali Che hendak pulang ke kampung, akan dipujuknya cucu terutamanya yang sulung untuk ikut balik. Memang seronok balik kampung, membonceng basikal Che. Sepanjang jalan, jika Che terserempak dengan orang kampung dia akan memberi salam atau mereka akan menegurnya. Masih teringat riak wajah Che yang tersenyum bila ada orang berhenti dan  bertanya, "Eh, ini cucumu anak Karia ka?"

Rumah Che di hujung kampung, berhampiran sungai dan terasing sedikit dari rumah orang lain.  Seperti rumah mereka di Binjul, sumber air bergantung kepada air bukit melalui Lata Bukit Hijau dan tiada bekalan elektrik. Menggeletuk gigi si cucu setiap kali mandi walaupun di tengah hari yang panas terik.

Jika anda pernah membaca cerita Seorang di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah, suasana rumah Tuk Ya sangat mirip rumah Che. Itulah antara buku yang diulang-ulang oleh cucu ini selain dari cerita Mat Tain.

Menjelang malam, Che akan menyalakan lampu gasolin cap Butterfly dan juga pelita-pelita sambil berzikir. Che akan berzikir panjang selepas solat Maghrib sementara menunggu Isya sedang cucu akan menghabiskan membaca buku-buku novel atau cerpen bapa-bapa saudaranya yang tersimpan rapi dalam almari.

Rumah Che sunyi pada waktu siang apatah lagi pada waktu malam. Dek kerana terlampau sunyi, bunyi cengkerik, katak dan pelbagai serangga membuatkan cucu ini berasa segera mahu pulang ke rumahnya. Bukan kerana rumahnya tidak ada bunyi-bunyi binatang yang pelik tetapi kerana bunyi-bunyian itu selalunya akan ditenggelami senda gurau mereka adik beradik. Cucu ini akan merindukan ibu dan adik beradiknya walaupun Tuk menemaninya tidur di dalam kelambu.

Pada waktu siang, sepupunya akan singgah mengajaknya bermain sungai atau menangkap ikan di bendang. Kadang-kadang mereka leka bermain selut  sehingga dituruti oleh bapa saudara dengan batang senduduk.

"Balik cepat. Senja-senja ni tak baik mandi sungai."Laung bapa saudara sambil melibas batang senduduk dari tebing sungai. Walaupun mereka tidak pernah dirotan tetapi bunyi batang senduduk cukup membuat mereka lari tak cukup tanah.

Pada waktu  malam selalunya akan terjadi  drama apabila si cucu baru tersedar ada lintah melekat di kaki. Bapa saudara akan membebel sambil menyapu minyak angin, "Itulah buas sangat tak padan dengan perempuan."

Begitulah waktu kanak-kanaknya terisi. Sebagai anak tentera, dia tidak nampak jelas bayang karakter seorang bapa dalam hidup kanak-kanaknya. Waktu kanak-kanaknya terisi dengan ibu, datuk nenek, ibu dan bapa saudara.


Al-Fatihah buat Che dan Tuk dan juga orang-orang lama yang berjuang untuk kita dan mendoakan kita.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Entri 257 : Kisah Abby Choi yang tragik (Entri tak ada kaitan)

 Sekarang tengah heboh kes pempengaruh (influencer) terkenal Abby Choi yang dibunuh secara kejam. Dalam entri ini saya tidak mahu membahaskan bagaimana beliau dibunuh tetapi siapa yang terlibat. Walaupun kes masih dibicarakan, mereka yang disyaki membunuh adalah mereka yang rapat dengan beliau iaitu keluarga bekas mentua beliau. Perkara utama yang saya ingin tekankan ialah beliau menyara keluarga mentua beliau walaupun sudah bercerai. Dalam bahasa lain adalah memikul biawak hidup. Mengikut pemerhatian peribadi saya, hidup manusia yang memikul biawak hidup ni memang sangat sengsara. Dulu kes Johnny Depp, dia baik hati menyara ahli keluarga sahabat handai Amber Heard tapi akhirnya dianiayai oleh Amber Heard sendiri. Bertahun juga menanggung fitnah sebelum menang dalam perbicaraan akhir. Itupun dibuat secara live, kalau tidak sampai sudah orang tak tahu betapa sengsaranya hidup dengan narkisis ni. Biawak hidup ni dia bukan spesis yang bersyukur ya. Sepanjang hidup yang saya perhatikan, bi

Entri 253 : Hama Kucing

 Saya baru belajar tentang ini setelah memelihara Dodol dan Pandan. Sebelum ni cuma tahu kutu, sekenit dan terpiras(flea) . Hama kucing ini dalam bahasa Inggeris ialah furmite. Memang susah nampak. Saat pertama kali saya dapat tahu bukan sebab saya nampak tetapi kerana  kucing saya bersikap aneh. Asyik menggaru dan kelihatan tertekan. Bulu gugur seketul-seketul akibat menggaru dengan teruk. Apabila saya bawa ke doktor, doktor menerangkan pasal furmite. Antara ubat yang dicadangkan adalah Advocate. Ubat ini kecil sahaja, lagi kecil dari jari kelingking dan satu tiub ini hanya untuk seekor kucing. Harganya boleh tahan mahal dalam 30 ringgit lebih. Ubat ini sekali pakai kena habiskan satu tiub. Satu tiub dicadangkan sebulan sekali. Ubat ni tak boleh pakai selalu. Cara nak pakai, kena selak bulu kucing tu sampai terdedah. Agak mencabar juga apabila nak letak ubat ini pada Dodol dan Pandan sebab mereka ni berbulu panjang. Ubat ni akan serap dalam kulit dan menghilangkan hama. Seeloknya jang

Entri 132 : Surat surat buat Eusoff

Assalamualaikum Eusoff, Lama aku tidak menulis, adakah itu petanda baik?Rasa kekok pula, seperti sudah tidak ada apa-apa yang aku ingin luahkan kepadamu. Semalam aku memesan Nasi Goreng Ladna untuk pertama kali dan mungkin kali terakhir. Teringat bila engkau kata, itu nasi goreng kegemaran mu. Biar betul? Lama betul aku renung nasi goreng yang berlendir? Serius ? Seperti makan bubur nasi goreng layaknya. Baru aku sedar rupanya kita betul betul berbeza. Teringat waktu mula-mula aku terkena sakit angau.Menangis kegembiraan bila aku terima mesej pertamamu. Pendek saja tapi rasa seperti bulan jatuh ke riba. Sekarang baru aku faham perasaan Zulaikha terhadap Yusoff. Saat manusia manusia lain yang berlagak suci mengecamnya.Si Zulaikha itu perempuan tak sedar diri.  Tapi masuk akal bukan jika Zulaikha menyukai Yusoff sebab memang Yusoff itu baik, soalnya apa kelebihanmu membuat aku terpaut?Aku mengagau mencari jawapan. Tampan sangat ke? Kaya ke? Baik ke? Jujur...jikalah sahaba